Monday, June 22, 2009

Melihat dari bebola kristal....

Kerajaan Perpaduan

Mengimbas secara ringkas sejarah penubuhan UMNO dan PAS... UMNO secara rasminya telah ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Johor Bahru. Presiden yang pertama Dato’ Onn Jaafar, kemudiannya telah digantikan oleh Tunku Abdul Rahman. Perjuangan UMNO pada peringkat awal (1946-1948) adalah kepada memperjuangkan nasib bangsa Melayu dalam bidang sosialnya. Mengikut perlembagaan UMNO 1946, cogankata UMNO ialah “Hidup Melayu”. Manakala penubuhan PAS ada kaitan dengan Pertubuhan Persatuan Ulamak Se-Tanah Melayu dan Hizbul Muslimin (Persaudaraan Islam). Dalam satu masyuarat pada 24 November 1954 di Kepala Batas, Seberang Prai, ahli-ahli yang hadir telah bersetuju untuk mengubahkan nama organisasi tersebut kepada PAS. Haji Ahmad Fuad bin Hassan iaitu bekas ketua hal-ehwal agama Islam UMNO telah dipilih menjadi YDP yang pertama.


Cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam senario politik tanahair. Sememangnya keberangkalian cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang diusulkan oleh DS Presiden PAS di dalam perbahasan beliau di Dewan Rakyat, merupakan keberangkalian yang telah dijangkakan akan berlaku sebagai strategi survival politik. DS Presiden PAS mencadangkan kerajaan perpaduan sebagai salah satu cara untuk menjadikan PAS lebih dominan dalam Pakatan Rakyat. Ia memberi isyarat yang jelas kepada PKR dan DAP bahawa PAS adalah “political player” yang boleh mencorakkan politik tanahair ketika ini. Justeru itu, suara dan pandangan PAS seharusnya diberi perhatian oleh kepimpinan DAP dan PKR atau lebih jelas PAS mahu dianggap pihak yang mendominasi PR.


DSAI yang sebelum ini yang menganggap dirinya sebagai “playmaker” dalam PR, perlu lebih menghormati PAS dalam membuat sebarang keputusan politik dengan lebih bertoleransi contohnya dalam soal pengagihan kerusi dengan PAS iaitu memulangkan semula sebahagian kerusi yang dahulunya sebahagian adalah milik PAS, memandangkan sebahagian yang dimiliki oleh PKR kini, jentera pilihanrayanya adalah dari PAS. Manakala DAP pula perlu menghormati PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam, dengan tidak mencampuri sebarang urusan yang berkaitan Islam seperti dalam kes cadangan pengharaman Sister In Islam oleh PAS baru-baru ini.


Bagi pihak BN khasnya UMNO, cadangan penubuhan kerajaan perpaduan merupakan perkara yang ditungguh-tungguh bagi menyelsaikan kemelut politik, rentetan landskap politik selepas PRU-12, ibarat “orang mengantuk disorongkan bantal”. Di samping itu DSN Presiden UMNO sedar bahawa cadangan ini tepat pada masanya memandangkan krisis ekonomi global yang mana Malaysia tidak terkecuali menerima tempiasnya. DSN Presiden UMNO khuatir persengketaan politik yang sedang dialami sekarang ini, disebabkan persaingan yang begitu sengit di antara PR dan BN akan menyebabkan ketegangan semakin meruncing sehingga menjerumuskan negara ini ke dalam suatu suasana yang tidak terkawal. Politik perkauman berserta pendekatan politik PR yang agak keras yang gemarkan demonstrasi jalanan di samping sandiwara politik yang tidak berkesudahan akan menyebabkan pertelagahan yang tiada kesudahan sehingga masalah kegawatan ekonomi tidak terurus. Ini akan menyebabkan semua pihak, bukan sekadar parti-parti politik tetapi juga rakyat jelata mengalami kerugian yang amat besar seperti kata pepatah “gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah”.


Sejarah telah menceritakan segala-galanya, bagaimana keadaan persengkitaan para pemimpin Melayu telah memberi ruang kepada British untuk campur tangan di Tanah Melayu. Pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu gemar meminta bantuan orang luar semata-mata kerana kuasa politik, kuasa memerintah. Contohnya, cuba kita imbas kembali Perjanjian Pangkor yang dimetarai pada 20 Januari 1874... atas sebab apa?, dalam perjanjian ini juga salah satu syarat utamanya ialah Perak terpaksa menerima Penasihat British (Residen) yang akan menasihati pemerintah Melayu dalam semua hal kecuali mengenai agama dan adat istiadat Melayu....Apakah kita sudah lupa J.W.W Birch dan tindak tanduknya? Walaupun situasi sekarang tidak boleh disamakan dengan apa yang berlaku pada zaman itu tetapi seharusnya sejarah mengajar kita sedikit-sebanyak ke arah kebijakan politik.


Pelbagai reaksi serta komen terhadap cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di mana ada yang menyokong dan tidak kurang pula yang membantah, mungkin disebabkan timbul prasangka yang mungkin hanya dapat dijelaskan melalui peribahasa ini “lautan dalam dapat diduga, hati manusia siapa tahu”. Namun nasihat saya kepada pihak yang membantah penubuhan kerajaan perpaduan... lupakanlah prasangka serta kepentingan politik demi kepentingan bangsa Melayu serta nasib dan masa depan bangsa Melayu. Kalau PAS boleh boleh duduk sekapal dengan PKR dan terutamanya DAP, kenapa dengan UMNO?... adakah PKR yang melaungkan liberalisme dan DAP yang jelas pendirian politiknya yang berfalsafahkan sosialisme itu lebih baik?... bahkan realitinya bersekongkol dengan DAP tidak keterlaluan diumpamakan seperti “mendukung biawak hidup”.


Walaubagaimanapun cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan perlu diperhalusi dan saya sifatkan sebagai cadangan yang ideal (win-win situation antara UMNO dengan PAS) memandangkan senario politik dewasa ini yang menuntut orang Melayu bersatu demi mengelakkan satu suasana persengketaan politik yang mampu memusnahkan segala apa yang telah bina selama ini, ibarat kata pepatah “buang yang keru ambil yang jernih”...barulah teguh peribadi.

Apa-apa pun “tinggalkan satu peluru!!!”


1 comment:

paikankb said...

salam tuan,
dulu umno war-warkan bahawa nak buat perbincangan dengan PAS sebelum timbul isu kerajaan perpaduan. Kita semua mengetahuinya, tapi akhirnya tetap tidak menjadi. Masalah bukan pada PAS tetapi pada UMNO sebab tak terima syarat PAS (kembali Pada ISlam). Sekarang ini bila timbul Kerajaan perpaduan, para pemimpin UMNO pula terus mempersoalkan Keikhlasan PAS. PONING DEN...! Terlupa pula tuan, tuan cerita pasai UMNO dulu sebelum di haramkan. Amcm UMNO yang baru pulak, Zaman mantan PM kita TM....?Sama ke cogan katanya....just bertanya aje takut tersesat kot-kot "Peluru Sesat".