Tuesday, June 9, 2009

Kata-kata Obama tidak akan mengaburi penjajahan Amerika

"BERSAMA MENDOAKAN KEBEBASAN PALASTINE"


Apabila penjajah Eropah, Napoleon Bonaparte, menceroboh Mesir sebagai salah satu langkah untuk menguasai dunia, beliau berkata kepada penduduknya: Kamu sekalian sudah diberitahu bahawa saya datang untuk menghapuskan agama kamu. Jangan percaya kepada dakyah tersebut….Saya menghormati Tuhan kamu, RasulNya dan Quran berbanding golongan Mameluk (Raja)” dan berbagai lagi kata-kata manis yang lain.

Ucapan Barack Obama di Mesir disanjungi oleh mereka yang mengatakan bahawa akan berlaku polisi baru kepada dunia Islam. Walaupun ianya dilihat sebagai suatu perkembangan yang positif untuk dunia Islam, tindak-tanduk pentadbiran Obama pada hakikatnya adalah tidak banyak berbeza dengan pentadbiran Bush sebelum ini. Beliau hanya berbeza daripada Bush di mana Bush meluahkan perasaan benci secara terang-terangan terhadap umat Islam, tetapi Obama mengunakan kata-kata manis yang menutupi perasaan sebenarnya terhadap Islam. Daripada mempercayai retorik, marilah kita melihat kepada fakta-fakta berikut:

Pakistan: Dalam masa beberapa bulan menjawat jawatan sebagai Presiden Amerika, pentadbiran Obama telah mengakibatkan seramai 3 juta orang menjadi pelarian dengan mengarahkan rejim Zardari untuk melancarkan perang di wilayah Swat. Sebelum dia menjawat jawatan sebagai Presiden, dia telah mengatakan bahawa Pakistan adalah Negara yang paling merbahaya di dunia, dan dia akan mengebom Islamabad sekiranya perlu. Polisinya di rantau tersebut adalah untuk mengekalkan kekuasaan Amerika di Afganistan dan Pakistan, dan berperang menentang 'pemberontak yang disokong rakyat' -cuma dia terpaksa menggunakan tentera Pakistan dan bukannya Amerika untuk tujuan tersebut. Kita telah menyaksikan rancangan keji tersebut melalui tindakan CIA di Iraq dan di Amerika Tengah, yang mana mereka telah menanamkan rasa permusuhan sesama umat Islam, dan Obama telah berkali-kali melakukan pengeboman dengan menggunakan pesawat kawalan jauh di Pakistan.

Palestine: Obama mengatakan bahawa beliau mahu melihat pelan damai “road-map” untuk mewujudkan sebuah negara Palestin. Sesetengah orang melihat usaha ini sebagai suatu yang positif, sebab beliau terpaksa bertembung dengan ahli politik Israel yang menentang idea tersebut. Tetapi ramai tidak mengetahui bahawa pelan damai “road-map” penubuhan negara Palestin hanyalah suatu propaganda yang menjurus kepada suatu penjara yang besar, di mana pengawal penjara adalah orang Palestin dan bukan Israel. Sekiranya mereka (orang Palestin) tidak menjaga keselamatan Israel menurut piawaian yang ditetapkan oleh Israel, maka Israel akan menceroboh lagi.

Sokongan ke atas Israel: Obama telah melantik Rahm Emanuel, anak kepada kumpulan pengganas Irgun (semasa pemerintahan British), sebagai ketua kepada para pegawainya. Emanuel berkata bahawa Obama tidak perlukan pengaruhnya untuk mengarahkan “polisi Amerika untuk menyokong Israel”. Ini adalah benar kerana, sebelum Obama menjadi Presiden, beliau berkata: “Kita mesti memelihara tanggungjawab unik kita terhadap pertahanan Israel dengan membiayai ketenteraan dan pembuatan peluru berpandu Arrow dan program pertahanan yang berkaitan”. Beliau juga telah mengeluarkan perkataaan yang belum diungkapkan oleh mana-mana Presiden Amerika Syarikat sebelum ini iaitu: “Jerusalem (Baitul Muqqadis) mesti kekal menjadi ibukota negara Israel dan tidak boleh dibahagikan kepada sesiapa”. Beliau juga mengeluarkan komen terhadap keganasan Israel di Gaza: “Amerika mempunyai tanggungjawab besar terhadap keselamatan Israel, dan kami akan sentiasa menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri mereka terhadap apa-apa serangan”.

Berkenaan penderaan di Teluk Guantanamo: Obama mengisytiharkan bahawa beliau akan menutup penjara tahanan di Teluk Guantanamo, dan semua menjangkakan tribunal ketenteraan akan berakhir. Walau bagaimana pun, para tahanan sebenarnya akan dipenjarakan di tempat lain dan beliau masih meneruskan tribunal ketenteraan yang penuh kontroversi. Walaupun beliau telah membuat banyak kritikan terhadap CIA yang melakukan penderaan tahanan, beliau belum pernah melaksanakan hukuman terhadap pendera-pendera yang bersalah, malah beliau tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan penderaan bagi mendapatkan maklumat di tempat-tempat lain di dunia.

Mengenai pemenjaraan tanpa keputusan mahkamah: Pada bulan Mei 2009, Obama telah menyatakan sokongan beliau terhadap penahanan tanpa keputusan mahkamah di Amerika Syarikat. Beliau menggunakan retorik seperti Bush, dengan mengatakan bahawa terdapat segolongan “manusia paling merbahaya” di mana tidak ada bukti yang mencukupi terhadap mereka, oleh itu mereka mesti dipenjarakan.

Sokongan terhadap diktator dan penguasa zalim di negara kaum muslimin: Obama memberikan sokongan terhadap para penguasa zalim di negara-negara muslim sebagaimana Presiden-Presiden sebelumnya. Di dalam wawancara beliau dengan Perbadanan Penyiaran British (BBC), beliau mengatakan bahawa Mubarak, yakni Firaun Mesir yang membuat penahanan dan penderaan terhadap golongan yang membangkangnya sebagai: “Seorang yang merupakan sekutu kuat kepada Amerika Syarikat…dan merupakan individu yang bertanggungjawab kepada kestabilan dan kebaikan di rantau tersebut”. Beliau juga menyanjung Mubarak yang “melaksanakan pelan damai dengan Israel” yang termasuk menghalang penduduk Gaza daripada mendapat bekalan perubatan dan makanan semasa pencerobohan Israel.

Umat Islam haruslah tidak terperangkap dengan kata-kata palsu Obama. Amerika Syarikat adalah negara Kapitalis. Institusinya hanya mahu meneruskan penjajahan terhadap dunia, walaupun terpaksa mempergunakan orang lain dalam mencapai matlamatnya; yakni mereka mahu menghapuskan mana-mana kuasa yang bersaing dengan mereka, walaupun ini akan menyebabkan pesaing mereka ini hidup dalam penjajahan dan kezaliman. Oleh itu, tidak kira sama ada pemimpin mereka adalah Bush atau Obama atau mana-mana yang lain, asas kepada polisi dan kepentingan Amerika Syarikat tidak akan berubah.

Sebab sebenar mengapa Obama melakukan lawatan rasmi dan syarahan untuk memulihkan imej Amerika adalah mereka tidak mempunyai penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi AS sekarang. Asas kepada sistem ekonominya telah dibongkar sebagai rapuh dan akan runtuh bila-bila masa. Walaupun mereka mengatakan janji untuk memulihkan masalah kemiskinan dan menjana kekayaan, hakikatnya mereka telah menyebabkan kemiskinan kepada berbillion penduduk dunia. Laungan terhadap sistem politiknya yang dikatakan mulia dengan sistem demokrasi dan hak asasi manusia, telah dibuktikan palsu, di mana mereka telah melakukan pembunuhan, pemenjaraan dan penderaan terhadap orang yang tidak bersalah.

Apa yang Obama sedang lakukan adalah menghalang kemunculan kuasa saingan dari umat Islam. CIA telah meramalkan kemunculan sebuah negara Khilafah di negara-negara umat Islam pada tahun 2020. Negara ini merupakan negara yang tidak akan melancarkan keganasan seperti Amerika Syarikat, tetapi ia adalah negara yang akan menamatkan penajajahan dan mewujudkan keselamatan dan kestabilan kepada umat Islam. Negara ini adalah negara yang mempunyai sistem ekonomi yang didirikan di atas asas yang kukuh dan mampu menyelesaikan masalah kemiskinan dan memberikan kestabilan kepada penduduk dunia. Negara ini adalah negara yang mendirikan Ahkam Syariah, mempertahankan kemuliaan Rasulullah SAW dan rakyatnya.

Apa yang diperlukan dari umat Islam seluruh dunia adalah istiqamah di atas jalan dakwah, dengan mematuhi Sunnah Rasulullah SAW., menamatkan kekuasaan penguasa zalim di negara umat Islam dan mendirikan semula kekuasaan umat, iaitu negara Khilafah buat kali kedua.



"Dan Allah telah menjanjikan, kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih di antara kamu, sesungguhnya Dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada di dalam katakutan menjadi aman sejahtera, mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutu sesuatu pun dengan Aku. Dan barangsiapa yang tetap kafir sesudah janji itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [An-Nur, 24:55, Terjemahan Singkat Tafsir Ibnu Katsir Jilid 5]

Hizb ut-Tahrir

Wilayah British

11 Jumada al-Thani 1430 / 4 Jun 2009

http://mykhilafah.com/hizb-worldwide/1412-kata-kata-obama-tidak-akan-mengaburi-penjajahan-amerika

No comments: