Thursday, June 4, 2009

Mencari Cerita Bohong

sebuah cerita dari Timur yang diceritakan semula secara bebas


Seorang pengembara muda – Lawi tiba di sebuah kampung setelah mengembara terlalu lama. Dia singgah di sebuah gerai, memesan makanan dan minuman.

Dilihatnya begitu ramai penduduk kampung itu menjamu selera sambil bercerita tentang perkara-perkara yang tidak masuk akal. Setelah itu berderailah hilai tawa mereka.

Dalam banyak-banyak pelanggan gerai itu, terdapat dua pemuda yang sejak tadi memerhati gelagat Lawi.

“Itu nampaknya macam orang luar. Mari kita kenakan...” kata salah seorang pemuda itu, Hasaan kepada rakannya Hussin.

“Nak buat macam mana?” tanya Hussin.

“Apalah kau ni...kita ajak dia bercerita, tentu dia kalah.” Kata Hassan lagi lantas menyambung. “Dengan mudah kita akan dapat wang atau hartanya”.

“Kalau kita yang kalah?” kata Hussin spontan.

“Ah, tak kan kita kalah! Tengok rupanya dengan mudah kita dapat kalahkan dia”, kata Hassan.

Setelah yakin mereka akan menang, Hussin dan Hassan menghampiri Lawi. Kedua-duanya memperkenalkan diri masing-masing. Selepas berbual agak panjang, mereka pun menyatakan hasrat untuk mengajak Lawi bercerita.

“kalau tuan boleh bercerita tapi kami mengatakan cerita itu bohong, tuan dikira menang. Pertaruhannya ialah diri kami. Kami sanggup melakukan apa saja yang tuan suruh jika menang, tapi jika tuan kalah, segala harta yang ada menjadi milik kami. Setuju!” kata Hassan.

Lawi berfikir sebentar. Dia dapat mengagak, kedua-dua pemuda ini ingin mengenakannya. “Aku harus berhati-hati...” bisiknya. Kemudian dia berkata: “Baiklah, saya setuju”.

“Boleh kita mulakan sekarang. Kalau sudah sedia, saya akan bercerita dulu”, kata Hassan. Hussin cuma mengangguk-angguk sambil tersenyum simpul.

“Waktu ibu mengandungkan saya, ibu mengidam nak makan buah nangka. Saya pun keluar dari perut ibu lalu pergi keluar kampung masuk kampung mencari buah itu.

“Setelah jumpa, nangka itu saya bawa pulang dan berikan kepada ibu. Ibu bukan main seronok. Beberapa kali dia mengucapkan terima kasih kepada saya sambil memuji-muji akan kehebatan saya seaklipun saya belum patut keluar ke dunia daripada rahimnya”, kata Hassan.

Lawi mengangguk-angguk mendengar cerita Hassan. Sesekali dia tersenyum, pada masa yang lain dia mengerut-ngerutkan dahi.

Melihat Lawi diam, Hassan bertanya. Dia sudah dapat bayangkan betapa senang hidupnya kelak setelah mendapat wang daripada pertaruhan Lawi.

“Ya... saya percaya dengan cerita itu. Awak memang hebat”, kata Lawi membuatkan Hassan terkulat-kulat.

“Baiklah, dengar cerita saya pula”, kata Hussin.

“Semasa berumur seminggu, saya turun tanah dan masuk ke dalam hutan. Saya bertemu seekor harimau yang cukup besar. Segera saya melompat ke atas belakang harimau itu lalu saya patah-patahkan tengkuknya.

“Boleh tuan percaya cerita saya ini?” tanya Hussin sinis.

“Ah, memang boleh dipercayai!” jawab Lawi tersenyum.

Hassan dan Hussin terasa badan mereka mula berpeluh! Hasrat untuk menang tipis benar. Mereka saling pandang memandang dan kemudian terkulat-kulat.

“Ha... sekarang giliran saya pula bercerita”, kata Lawi. “Adakah kamu sedia mendengar cerita saya ini?” tambahnya lagi. Hussin dan Hassan mengangguk-angguk.

“Tidak lama dulu, ada dua orang hamba di rumah saya. Mereka melakukan semua kerja daripada menjaga lembu di kandang, membajak di ladang hingga kepada memasak untuk keluarga saya. Baru-baru ini mereka lari dari rumah. Saya mengembara ke sana sini mencari mereka. Rupa-rupanya mereka lari ke kampung ini. Hari ini baru saya jumpa!”

“Siapa mereka tu...?” tanya Hussin dan Hassan serentak.

“Kamulahhhhh...” jawab Lawi menuding ke arah mereka berdua.

“Pak cik bohong!!! Kami tak pernah jadi hambah pak cik!” kata Hassan.

“Ha...ha...ha...! Kamu mengaku cerita saya bohong. Kamu berdua sudah kalah. Sekarang kamu mesti ikut saya pulang ke rumah menjadi hambah!” sergah Mat Lawi.

“Oh... jangan begitu tuan. Kasihanilah kami”, rayu Hussin dan Hassan.

“Mana boleh! Kamu sendiri yang berjanji begitu tadi”, kata Lawi.

“Maafkanlah kami”, rayuHussin pula.

“Saya percaya, kamu berdua ini memang berniat jahat dan sombong. Kamu mesti berjanji mengubah sikap. Barulah saya maafkan”, kata Lawi.

“baik, kami janji tidak akan menganiaya sesiapa lagi”, kata Hussin dan Hassan.

Mereka berdua pun pergi dari situ dengan perasaan malu. Lawi meneruskan pengembaraannya.

1 comment:

musli oli said...

cerita teladan yang menarik. banyakkan paparan begini kerana saya betul-betul seronok membacanya