Friday, June 12, 2009

Kota Belud Berpotensi Dimajukan Pusat Pelancongan


Kota Belud terletak di Pantai Barat Utara Negeri Sabah. Daerah ini menyimpan seribu satu macam khazanah alam yang tidak terbanding nilainya. Sesiapa yang datang berkunjung ke Kota Belud pasti akan terpegun dengan keindahan alamnya yang cukup mendamaikan. Ia membuatkan pengunjung leka dan terlupa akan segala macam masalah, akibat keasyikan menghayati panorama alam yang cukup menakjubkan.

Deruan air terjun yang memecah kesunyian hutan seakan-akan menjemput pengunjung datang bertandang menghayati keindahan alam yang belum terusik oleh arus pembangunan. Manakala pantainya yang indah memutih, sesuai untuk tempat beriadah dan berkelah terutamanya pada hujung minggu bersama keluarga mahupun teman-teman. Bagi yang gemar memancing, Kota Belud merupakan tempat yang paling sesuai kerana memiliki sungai-sungai yang yang jernih dan terpelihara daripada masalah pencemaran alam. Keunikan adat serta kekayaan budaya masyarakat Iranun, Bajau dan Dusun mampu menjadi daya tarikan khasnya kepada pelancong-pelancong asing.

Daerah ini juga suatu ketika dahulu mendapat jolokan sebagai Pekan Cowboy kerana Daerah Kota Belud tidak keterlaluan saya umpamakan sebagai lost world of Kota Belud dengan kerbau dan lembu memenuhi padang ragut bebas ditambah dengan kuda padi yang merupakan sebahagian daripada identiti Kota Belud. Tamu merupakan sebahagian lagi keunikan budaya perniagaan bagi masyarakat khasnya Iranun, Bajau dan Dusun yang mana menjadi pusat urusniaga utama dan keunikan budaya perniagaan ini tercatat dalam kalendar pelancongan yang mana Tamu Besar akan diadakan pada setiap penghujung tahun di Kota Belud. Selain daripada itu dalam aspek pengangkutan, pastinya akan mengejutkan dan menjadi suatu pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan bagi mereka yang pertama kali datang ke Kota Belud yang mana pick-up menjadi kenderaan utama yang setanding dengan bas dan teksi bagi lain-lain tempat di Malaysia.

Dalam beberapa buah filem dari Filipina yang pernah saya tonton, saya lihat kenderaan awam yang digunakan di sana lebih kurang sama dengan di Kota Belud iaitu pick-up cuma bezanya di sana pick-up dihiasi dengan indah. Jadi para pengusaha kenderaan pick-up perlu mengambil inisiatif untuk menghiasi pick-up masing-masing kerana ini mampu menjadi daya tarikan pelancong.

Namun demikian kelebihan Kota Belud tidak akan dapat dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi sekirannya tiada perancangan serta implementasi kearah memajukan Kota Belud sebagai pusat pelancongan dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti insentif pelancongan daripada pihak berkuasa. Penduduk-penduduk kampung seharusnya diberikan galakan melibatkan diri dalam industri pelancongan untuk menyediakan kemudahan homestay memandangkan Kota Belud dewasa ini belum punya sebarang hotel yang sempurna cuma rumah tumpangan sementara serta beberapa resort kecil. Malahan pelancongan di Kota Belud juga berpotensi sebagai pusat agro-tourism memandangkan kebanyakan penduduknya menjadikan pertanian dan perikanan sebagai sumber pendapatan utama tambahan lagi Kota Belud telahpun diisytiharkan bakal salah satu jelapang padi di Malaysia. Usaha-usaha menarik para pelabur seperti promosi atau publisiti meluas serta insentif pelaburan seperti membantu pengusaha pelancongan mendapatkan tempat yang sesuai untuk mendirikan hotel dan sebagainya harus diberi perhatian bagi menjadikan Kota Belud sebagai pusat pelancongan terkenal dan menajdi tumpuan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.

2 comments:

Unknown said...

setuju dengan saudara. banyak produk pelancongan Kota Belud kita boleh dipasarkan. selain daripada tamu dan tamu besar Kota Belud yang terkenal itu, banyak lagi aktiviti lain yang tidak seasonal boleh menarik minat pelancong. masalah utama ialah kekurangan infra seperti hotel dan rekreasi, kemudahan tandas bersih dan sebagainya. Penduduk tempatan juga boleh berperanan dengan sikap mesra pelancong dan menjaga kebersihan. MP Kota Belud kerap bercakap mengenai perkara ini. Kita harap satu usaha dapat dimulakan segera buka hanya seruan dan cakap-cakap sahaja...

SI RENGIT said...

salam,
saya amat bersetuju dengan pandangan saudara, persoalannya sekarang siapa yang perlu menggalas semuanya ini dan merupakan "KETUA" untuk kita menghulurkan segala idea dan tenaga???