Wednesday, July 28, 2010

Perpaduan ummah bukan hanya isu politik

DISKUSI perpaduan ummah di negara kita pada kali ini harus berbeza daripada kebiasaannya sekiranya kita ingin melihat cita-citanya terjelma. Sejak mengikuti wacananya beberapa minggu yang lalu mengenai perkara ini, kita mendapati, ia seperti akan mengulangi kegagalan seperti sebelumnya. Ini disebabkan oleh dua faktor berikut:

Pertama, kita mendapati, tema perbincangan berkaitan agenda perpaduan ummah ini masih berkisar sekitar aspek penyatuan politik antara dua parti terbesar yang mewakili umat Melayu-Islam di negara ini iaitu UMNO dan PAS. Seperti yang kita sedia tahu, tema ini sudah kesekian kali dibahaskan dan ternyata tidak dapat direalisasikan.


Faktor kedua pula ialah kerana penonjolan matlamat bagi usaha perpaduan ini yang sering dirujuk bagi memastikan kuasa politik Melayu di negara ini terus kekal dan kebal. Matlamat ini murni, namun dari sudut berlainan, ia sebenarnya sudah tidak lagi sejajar dengan perkembangan struktur nilai dan budaya baru yang tumbuh dalam negara sejak beberapa dekad terakhir ini.

Pada saya, sekiranya kita ingin melihat agenda perpaduan ummah di negara ini dapat benar-benar dijayakan, maka ia harus memenuhi beberapa prasyarat berikut:
Pertama, agenda perpaduan ummah ini harus merentasi dua parti politik terbesar UMNO dan PAS ini. Sekiranya kita masih terikat dengan dua pertubuhan ini dan menganggap bahawa perpaduan kedua parti ini akan membawa kepada perpaduan ummah seluruhnya, maka ini bererti kerangka pemikiran kita tidak sejajar dengan pertumbuhan struktur sosio-politik di negara kita mutakhir ini.

Apakah asas kepada penyataan ini? Asasnya ialah, secara hakikatnya, kedua-dua pertubuhan politik UMNO dan PAS cuma mewakili sebahagian daripada aspirasi umat Islam di negara ini dari sudut politik. Harus diakui iaitu, kedua-dua pertubuhan ini kini hanya antara pilihan yang ada bagi umat Islam menyatakan cita-cita dan hasrat politik mereka.

Ada beberapa lagi pertubuhan politik yang dianggotai oleh sebahagian besar juga umat Islam secara sah di negara ini yang tidak boleh sama sekali dikesampingkan di dalam konteks perbicaraan berhubung agenda perpaduan ummah.

Dalam keadaan sama, kita juga harus menyedari iaitu proses pembangunan ummah di negara ini kini tidak hanya lagi disumbangkan menerusi saluran politik saja. Mutakhir ini, elemen masyarakat madani atau pertubuhan sivil sudah menyumbang secara berkesan terhadap pembangunan ummah. Pertubuhan masyarakat madani ini tumbuh di dalam pelbagai bidang dan pengkhususan sama ada berorientasi agama, sosial dan ekonomi, sudah mengambil daya usaha tinggi menjayakan pembangunan ummah pada peringkat akar umbi.

Dalam hubungan ini, aspek politik kini hanya menjadi sebahagian daripada keseluruhan unsur yang pelbagai di dalam struktur ummah di negara kita hari ini. Rentetan itu, kita juga perlu mengambil kira sumbangan dan peranan dewan perniagaan, yayasan malah syarikat yang dipimpin oleh warga umat Islam yang juga mempunyai pengaruhnya dan kekuatannya yang tersendiri di dalam konteks pembangunan ummah seluruhnya.

Dalam erti kata lain, struktur sosio-politik umat Islam di negara ini kini sudah begitu dinamik dan rencam. Seluruh unsur saling berkait dan berperanan di dalam mewakili dan menjayakan agenda ummah. Tidak ada mana-mana unsur ini yang memonopoli yang lain kerana semuanya berada dalam suasana hidup bersifat organik yang saling di dalam keadaan memerlukan.

Inilah antara asas berfikir secara keseluruhan yang harus menjadi aspek penting untuk diperhalusi sekiranya usaha menggerakkan perpaduan ummah ini ingin dijayakan.

Dalam maksud lain, sekiranya kita ingin melihat agenda perpaduan ummah ini dapat direalisasikan, maka ia harus merentasi sempadan dua politik terbesar UMNO dan PAS.

Agenda perpaduan ummah ini harus bersifat menyeluruh dengan membabitkan seluruh sektor kehidupan ummah masa kini meliputi unsur ekonomi, sosial dan budaya. Agenda perpaduan tidak harus hanya tertumpu kepada aspek penyatuan politik semata-mata.

Antara perkara lain yang juga perlu diperhalusi semula ialah berkaitan matlamat akhir bagi usaha perpaduan ummah ini. Seperti yang dinyatakan sebelumnya, matlamat yang ditonjolkan ialah berkaitan kepentingan bagi memastikan kuasa politik Melayu sentiasa terpelihara. Seperti disebutkan, walaupun cita-cita ini murni, pada pandangan saya, penghuraiannya harus lebih meluas dan teliti.

Matlamat utama agenda perpaduan ummah ini harus tertumpu kepada cita-cita bagi membina kekuatan umat Islam di dalam memastikan ketahanan negara Malaysia mendepani cabaran sezaman. Menerusi kaca mata ini, agenda perpaduan ummah ialah satu bentuk daya usaha umat Islam bermatlamat untuk mengukuhkan kedudukan mereka dari pelbagai aspek kehidupan meliputi  seperti keilmuan, kebudayaan, ekonomi, keutuhan sosial dan politik.

Selaku kelompok tonggak, kekuatan umat Islam dari pelbagai sudut akan menyumbang secara langsung terhadap pembangunan keupayaan dan kualiti kepemimpinan Malaysia di pentas nasional dan antarabangsa.
Kita yakin perluasan huraian mengenai matlamat dan cita-cita perpaduan ummah ini mustahak sekali. Kejelasan dan dinamika matlamat ini mampu menarik penyertaan yang menyeluruh segenap unsur dari struktur kehidupan umat Islam semasa ke arah menjayakannya.

Perluasan huraian matlamat ini juga boleh mendorong kepada suatu perbahasan yang sihat dan produktif mengenainya dari segenap peringkat masyarakat. Sekiranya agenda perpaduan ini dipandang prejudis dan ditanggap mempunyai tujuan tersirat oleh mana-mana pihak, maka ia tentu tidak akan mencapai kejayaan.
Apatah lagi sekiranya agenda perpaduan ummah ini dilihat mempunyai tujuan dan kepentingan politik tersendiri oleh mana-mana pertubuhan atau kumpulan masyarakat.

Inilah antara beberapa aspek penting yang perlu terlebih dulu diperdebatkan dalam media arus perdana berhubung agenda perpaduan ummah yang kini semakin subur diwacanakan.

 Diskusi berkaitan aspek ruang lingkup dan cita-cita murni daripada agenda perpaduan ummah ini adalah asas pemikiran awal yang harus digiatkan kerana ia boleh menyumbang kepada mewujudkan sebuah persekitaran yang sihat ke arah penterjemahannya.
Dipetik dari: http://razak.wordpress.com/2010/07/21/perpaduan-ummah-bukan-hanya-isu-politik

Saturday, July 3, 2010

Dipimpin Dan Memimpin

Perihal kepimpinan tidak dapat dipisahkan dengan manusia. Secara semula jadinya manusia diciptakan untuk hidup secara berkelompok atau bermasyarakat. Seorang yang lebih gemar hidup seorang diri di tengah-tengah hutan pasti dianggap tidak normal kerana ia memang bertentangan dengan fitrah dan kesemulajadian manusia.

Fitrah manusia yang hidup secara bermasyarakat inilah menjadi pendorong utama bagi manusia untuk memilih pemimpin yang akan membantu membuat keputusan yang akan diterima oleh semua ahli masyarakat yang ada. Ketika taraf kehidupan manusia berkembang, manusia semakin bertamadun, kelompok-kelompok manusia semakin banyak dan semakin beragam. Hampir setiap cabang aspek kehidupan mempunyai tuntutan untuk berkelompok.

Hari ini dimana mula bermunculan negara-negara yang mengakui sebagai negara maju, kelompok-kelompok manusia berkembang semakin pesat. Mereka bahkan mengorganisir pertumbuhan kelompok-kelompok dan menetapkan apa yang akan diperjuangkan dan dijalankan oleh masing-masing kelompok. Tidak hanya itu kelompok-kelompok mula dibentuk di dalam pelbagai bentuk yang berbeza. Mereka yang gilakan seni mula mencipta kelompok mereka masing-masing sesuai dengan aliran mereka. Jutaan kelompok mula bermunculan pada kehidupan hari ini.

Melihat dari sisi ini, jelas keperluan akan kepemimpinan dan kemustahilan untuk lari daripadanya. Seorang bahkan mungkin menjadi pimpinan disuatu kelompok dan menjadi orang yang dipimpinan di dalam kelompok yang lain.

Sebuah team bola sepak memilih pimpinannya sesuai dengan kreteria yang dapat membuatkan team itu gagah dengan keberadaannya. Kelayakan paling rendah adalah mampu bermain bola dengan baik. Ini kerana pemimpin sebuah tim diharapkan dapat membawa team tersebut untuk mencapai apa yang mereka kehendaki. Peranan pemimpin team itu adalah sangat besar, apa lagi ketika anggota-anggota team memerlukan semangat ketika menghadapi masalah. Pemimpin harus tanggap dan mampu membaca situasi lalu membuat keputusan. Ketika saat terdesar pemimpin team diharapkan segera bertindak dengan mengganti strategi atau menyusun taktik bertahan. Belum lagi jika ada anggota tim yang tiba-tiba panas dan mula bergaduh. Pemimpin team perlu pantas mengambil langkah sama ada gagah membela anggotanya dan menghentam lawan atau meleraikan suasana dan menenangkan anggota yang bersangkutan itu. Itu kelompok kecil sebuah team bola sepak.

Secara rasionalnya, semakin besar kelompok itu, semakin luas bidang gerak dan fokus sasaran suatu kelompok semakin berat tanggung jawab yang bakal dipikul pemimpinnya. Wawasan pemimpinnya juga perlu semakin luas demi menjamin perkembangan yang sehat dan pesat serta kelangsungan survival kelompok tersebut.

Perkara yang tidak kalah pentingnya adalah imej. Pemimpin dalam sedar atau pun tidak mereka merupakan public figure yang akan diberi perhatian oleh ramai pihak. Pergerakkan, pakaian, tingkah laku, gaya, cara bercakap bahkan cara mengedip mata sekali pun akan diperhatikan. Tentunya sebahagian akan mencela dan sebahagian lagi akan memuji. Tidak kalah pasti ada yang akan meniru dan mengagumi.

Secara luaran saja kita dapat melihat betapa besar tanggung jawab dan beban yang ditanggung seorang pemimpin. Belum lagi jika dia merupakan pemimpin sebuah daerah, negeri atau negara contohnya. Urusan yang tidak kelihatan tentunya lebih berat dari yang nampak didepan mata. Tidak kalah hebatnya pemimpin gerakkan. Gerakkan pembaharuan yang ingin mendatangkan sebuah perubahan entah itu berubahan fizikal mahupun perubahan konseptual atau perubahan-perubahan lainnya.

Menyedari hakikat amanat yang perlu ditanggu, rela atau pun tidak, suka atau pun sebaliknya, perjuangan tetap perlu diteruskan. Memperjuangkan sesuatu sebenarnya bukanlah semata-mata demi perjuangan itu sendiri. Ia hanya pilihan diri dan demi kebaikan diri sendiri. Jika bukan kita yang memperjuangkan sesuatu yang hak dan benar, orang lain bakal melakukan perjuangan tersebut. Cepat atau lambat, sekarang atau nanti itu bukan urusan kita. Jika kita melakukan perjuangan itu kitalah yang merasakan kenikmatan bila apa yang diperjuangakan itu tercapai. Kenikmatan dan kepuasan atas usaha dan titik peluh adalah suatu yang sangat berharga.

Itu fakta. Perkara paling utama dalam memimpin adalah memberi. Entah apa saja bentuk pemberian itu yang jelas ia harus berupa pemberian. Memberi idea, tenaga, semangat, harapan, keselamatan atau apa-apa saja yang perlu diberi. Apa yang aku miliki untuk aku beri? Belum terjawab.
 Dipetik dari kitab2 lama.......