Sunday, June 28, 2009

Proton Rugi USD5.78 Juta Ekoran Projek Usahasama Dengan Goldstar Gagal


KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kegagalan projek usaha sama Proton Holdings Berhad (Proton) dengan Goldstar Heavy Industrial Co. Ltd (Goldstar), Dongguan, China, mengakibatkan Proton kerugian kira-kira AS$5.78 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerugian itu juga merangkumi modal pusingan dalam syarikat usaha sama berkenaan.

"Kontrak usaha sama tersebut dengan jelas memperuntukkan bahawa semua pertikaian haruslah dirujuk kepada timbang tara. Oleh itu, selaras dengan Perjanjian Timbang Tara bertarikh 6 Julai 2007, Proton Automobiles (China) Ltd (PAC) telah memulakan prosiding timbang tara terhadap Goldstar di Singapura," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).

Lim bertanyakan mengapa projek usaha sama Proton dengan Goldstar di Dongguan, China gagal, dan nilai kerugian yang dialami Proton serta kemungkinan Proton boleh menang dalam kes tindakan undang-undang yang diambil oleh Goldstar di Singapura.

Najib berkata pada amnya, Proton mempunyai peluang yang tinggi untuk berjaya dalam prosiding timbang tara tersebut kerana tindakan Glodstar memulakan prosiding mahkamah di Mahkamah Rakyat di Dongguan City, jelas bertentangan dengan perjanjian.

"Ia merupakan pelanggaran langsung peruntukan dalam Perjanjian Timbang Tara serta injunksi antisaman yang diperoleh oleh PAC di Mahkamah Tinggi, Singapura," katanya.

Projek usaha sama itu buntu ekoran kegagalan Goldstar memenuhi obligasi kontrak bagi memulakan aktiviti perniagaan dalam tempoh yang ditetapkan, serta kegagalan memperoleh kelulusan daripada kerajaan China untuk membolehkan syarikat usaha sama mengeluarkan kenderaan penumpang di negara tersebut.

Sumber : Bernama

No comments: