Tuesday, August 27, 2013

NADIM SINI, NADIM DI MESIR

DUNIA dikuasai oleh orang yang berfikir. Mereka asalnya orang perseorangan, kemudian membesar menjadi kelompok. Kelompok yang berjaya akan mempertahankan kejayaan. Kelompok yang gagal akan terus berusaha.
Tidaklah sia-sia pujangga lama kita mencipta watak genius Hang Nadim.  Hang Nadim telah menunjukkan jalan untuk menghadapi todak, tetapi dia dibunuh. Ternyata,  Hang Nadim dibunuh kerana kebijaksanaannya.
Kisah Hang Nadim ialah kisah tragedi.  Moral daripada cerita itu jauh melampaui segi kesedihan.  Kisah Hang Nadim memberitahu kita bahawa kecerdikan hendaklah disimpan dengan cermat, jangan ditunjukkan secara lurus tanpa pertimbangan politik. Hang Nadim ialah anak  kecil, jadi wajarlah dia silap.
Dalam senario politik tanah air dan dunia, peristiwa yang menyerupai kisah Hang Nadim berlaku dari masa ke masa. Di Malaysia, pada akhir dekad 1980an, seorang tokoh yang hebat dalam kerajaan telah menunjukkan kepandaiannya. Beliau gagal menjadi perdana menteri lalu memilih untuk menerima tawaran ke Bangsa Bersatu. Pada akhir tahun 1990an, seorang lagi tokoh telah terkeluar dari senarai calon perdana menteri, kerana terlalu segera menunjukkan kepandaian.
Tokoh ini kemudiannya memilih untuk menjadi pembangkang dengan slogan: lawan tetap lawan!
Dalam bahasa perlambangan, pembunuhan tokoh yang cerdik, adalah hakikat perhitungan politik. Menurut ajaran Nicolo Machialvelli,  segala tindakan  yang dapat  menjaga kepentingan atasan hendaklah diaplikasi. Prinsip utama Macialvelli ialah ‘tujuan menghalalkan cara’. Secara tidak disedari, penghapusan Hang Nadim ialah pelaksanaan Machialvellianisme.
 Machialvellianisme mengizinkan penipuan (fraud), kelicikan (guile), paksaan (force) dan keganasan (terror). Sekarang, muncul istilah realpolitik untuk melanjutkan kebiasaan tersebut.
Saya tidak akan segera menyalahkan sesiapa dalam hal seperti di atas. Adalah sia-sia  kita  memarahi harimau yang memburu rusa.  Itu ialah pemerintahan di dalam rimba. Segala-galanya bertolak daripada hakikat kehidupan, ada yang superior dan ada yang inferior. Sewajarnya manusia  mengutamakan keperluan (need), dan menolak ketamakan (greed). Namun, prinsip yang dikemukakan oleh Mahatma Ghandi itu hanya berada di tahap teori. Manusia tetap tidak pernah berasa cukup.
Sahabat saya dari utara, yang dulunya sama-sama semaktab,  mendorong saya mengemukakan teori berkaitan hal-hal seperti ini.  Teori Anjakan Makna mengatakan bahawa politik adalah abstrak, manakala perlakuan manusia adalah konkrit. Apabila kita pergi lebih jauh, iaitu mengaplikasi teori Porak Peranda yang dikemukakan oleh Datuk Mior Kamarul Shahid, kita akan tiba pada kesimpulan bahawa manusia yang ‘berkumpul’ dan bebas berkata-kata akan menghasilkan kacau bilau. Unit keluarga yang kecil pun tidak  bersih daripada kata mengata, konflik malah perbalahan. Apatah lagi unit negara.
Dr Muhamad Razak Idris yang membicarakan halangan demokrasi, menyatakan rasa kesal kerana ‘cita-cita luhur tidak dikongsi bersama oleh warga Asia Barat’.  (Berita Harian, Sabtu 17 Ogos 2013).  Memang Dr Razak mempunyai fakta untuk menyatakan rasa kesalnya.  Namun, pemerhatian yang rinci pasti akan tiba pada kesimpulan bahawa tiada sesiapa pun yang bersedia mengurangkan kelebihannya.  Di Asia Barat, demokrasi tulen ialah ‘budak bijaksana’, jadi mesti dihapuskan seperti Hang Nadim.
Tulisan Mohamad Sabu dalam Harakah 22 Ogos 2013 menyebutkan suasana di Malaysia. Apabila keputusan pilihan raya diumumkan, rakyat menerimanya dengan sedikit gerakan 505.  Rampasan kuasa tidak berlaku seperti di Mesir.
Pemerintahan yang baik adalah impian rakyat setiap negara. Namun, pencerahan  untuk rakyat selalunya palsu, kerana pihak yang berkempen  ialah kumpulan ahli politik yang berurusan dengan  kuasa. Mereka memburukkan pihak rival, dan hasilnya ialah kebencian merebak.
 
Rakyat tidak pernah memperoleh sekumpulan orang cerdik dan baik bekerjasama mentadbir negara. Orang genius dalam negara sentiasa berpecah belah: sebahagian di sebelah pemerintah, dan sebahagian  di sebelah pembangkang.
Peristiwa di Mesir, walaupun dikesali ramai, adalah biasa dalam arena politik. Rakyat Malaysia dapat mengelak daripada mengalami tragedi seumpama itu, bersyaratkan kita semua memahami hakikat politik.  Dalam politik, tokoh kerajaan boleh bergerak ke arah bertentangan, menjadi Ketua Pembangkang, kemudian diam-diam berusaha untuk balik ke kerajaan. Hang Nadim moden tidak akan mengabaikan kelicikan (guile) politik
Oleh RAHMAN SHAARI
Sinar Harian, 20 August, 2013