Tuesday, June 2, 2009

Gelombang Kegawatan Ekonomi 2009 Dan Sistem Kewangan Islam


Masyarakat dunia amnya sudah sedia maklum bahawa dewasa ini dunia sedang menghadapi bahang kegawatan ekonomi yang kebanyakannya dirasai terutamnya di Amerika Syarikat. Penganalisis ekonomi mula khuatir kerana adalah diramalkan bahawa gelombang kegawatan ekonomi yang kita sedang hadapi lebih teruk jika dibandingkan dengan krisis kewangan 1997.

Semenjak penghujung tahun 2008 hingga suku kedua tahun 2009, dunia diselubungi dengan kelembapan ekonomi yang bakal memberikan impak besar kepada masyarakat dunia dan masyarakat Malaysia juga tidak terlepas menerima tempiasnya. Apapun teorinya, kenyataannya cuma satu, Malaysia terpaksa akur bahawa gelombang kemelesetan ekonomi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sudah pastinya akan menular ke Malaysia.

Berdasarkan dengan apa yang dapat kita perhatikan bahawa punca-punca berlakunya kegwatan ekonomi dunia bermula di Amerika Syarikat, United Kingdom, Ireland, Jerman dan beberapa negara maju di Eropah. Amerika Syarikat yang mana merupakan kuasa besar ekonomi dunia telah gagal menguruskan dasar kewangan dan polisi antarabangsanya yang akhirnya global kini diancam oleh gadai janji sub-prima. Gadai janji sub-prima yang berlaku di AS boleh diperhatiakan sejak tahun 7 tahun yang lalu ketika dunia dilanda kegawatan ekonomi sekitar tahun 2001 dengan langkah Presiden Amerika, George W Bush atas nasihat bekas, Pengerusi Rizab Persekutuan US, Alan Greespan ketika itu cuba merangsang perbelanjaan rakyat di Amerika Syarikat. Beliau telah melaksanakan dasar fiskal dan monetari yang kurang berkesan. Selain itu faktor kenaikan harga minyak dan seterusnya membawa kepada kenaikan harga makanan yang disusuli dengan kadar inflasi yang semakin tinggi menyebabkan prospek kelangsungan pertumbuhan ekonomi global menjadi tidak menentu.

Singapura mengalami krisis ekonomi yang paling teruk dalam sejarahnya, India semakin hilang taring gergasi industrinya dan Rusia semakin tandus krisis tenaganya. Baru-baru ini dalam ucapan Presiden Obama pun, dia telah menegaskan bahawa Amerika akan mula memandang ke negara-negara mundur kerana berjuta lepasan Ijazah/Master/PHD`nya sekarang masih lagi menganggur.

Timbul persoalan Malaysia bagaimana? Hakikatnya walaupun secara kasar tanpa teori sekalipun, kita dapat perhatikan bahawa tidak seteruk manapun kesan gelombang kegawatan ekonomi terhadap Malaysia. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak terjejas langsung. Dalam beberapa berita yang disiarkan melalui media arus perdana, telah terbukti bahawa semakin banyak pembuangan pekerja yang dilakukan dalam bidang industri khasnya industri pembuatan. Ini sungguh menyedihkan kerana beratus keluarga akan terjejas kehidupan mereka setelah bergelar penganggur.

Sektor perindustrian terjejas teruk. Pekerja-pekerja yang bekerja di sektor pembuatan banyak bergantung kepada kerja lebih masa sebagai pendapatan utama kerana gaji pokok yang kecil telah mengurangkan pendapatan mereka seawal suku keempat 2008 kerana ketiadaan kerja lebih masa. Kebanyakan kilang-kilang dilaporkan terpaksa mengurangkan pengeluaran sehingga 70% dari kapasiti biasa kerana kekurangan permintaan. “Mass Vacation” atau cuti secara beramai-ramai atau didalam ertikata lain penutupan kilang sehingga 2 minggu didalam satu bulan telah menjadi satu amalan biasa. Pihak pengurusan kilang-kilang terpaksa mengambil langkah tersebut untuk mengurangkan kos kerugian yang lebih besar. Kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka berpanjangan dan masih tiada kepastian penghujungnya telah menyebabkan kebimbangan pelabur-pelabur khasnya pelabur asing untuk melabur mereka lebih berhati-hati membuat pelaburan.

Hasil pertanian utama negara seperti kelapa sawit dan getah mengalami penurunan harga yang mendadak. Harga getah juga telah menguncup lebih dari separuh berbanding sebelum ini. Pekebun-pekebun kecil mahupun ladang-ladang besar menghadapi suasana sukar kerana penurunan harga yang begitu mendadak. Kesan kemelesetan ekonomi sudah pasti akan menjejas perolehan negara kerana hasil kutipan cukai akan mengurang. Petronas yang menyumbang lebih dari 50% pendapatan negara juga akan menguncup pendapatannya kerana harga minyak dunia telah menurun secara mendadak dari USD147 pada pertengahan tahun 2008 ke hanya sekitar USD40 bagi setiap “barrel” (Setiap 1 barrel adalah sekitar 159 liter) pada awal tahun 2009.

Dalam usaha menangani gelombang kemelesetan ekonomi global, para ahli ekonomi mencadangkan pelbagai teori atau pendekatan untuk menyelesaikannya. Namun yang menarik perhatian saya adalah kenyataan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown yang memberi petunjuk bahawa beliau mahu melihat terdapat pengurangan kos untuk peminjam, seorang pengasas Jawatankuasa Dasar Kewangan Bank of England, Charles Goodhart memberi pandangan luar biasa dengan mencadangkan supaya kadar faedah perlu dikurangkan pada tahap sifar. Goodhart bukan calang-calang orangnya kerana beliau merupakan profesor emeritus perbankan dan kewangan di London School of Economics dan anggota jawatankuasa dasar Bank of England antara 1997 dan 2000.

Goodhart menyatakan bahawa kaedah pengurusan kadar faedah ini pernah dilakukan oleh Jepun pada tahun 1990-an apabila Jepun berhadapan dengan kemelesetan. Cadangan Goodhart untuk mengurangkan sehingga sifar bermaksud tiada kadar faedah langsung. Ini bertepatan dengan sistem kewangan Islam yang mengharamkan riba. Maknanya di sini bahawa sistem kewangan Islam yang didukung serta diperluaskan oleh Malaysia merupakan satu kaedah yang mampu menyelsaikan kemelut ekonomi global. Pandangan Goodhart itu dianggap sesuatu yang luar biasa oleh kerana ia pastinya tidak sama dengan amalan sistem kapitalisme yang dianggap sebagai terbaik di dunia pada masa kini.

Dengan pengurangan kadar faedah sehingga ke tahap sifar (0%) ianya boleh merangsangkan semula kegiatan ekonomi terutama permintaan barangan dalam pasaran. Israel contoh paling dekat yang mana merupakan golongan minoroti di dunia tetapi mampu mempengaruhi perkembangan ekonomi dunia. Saya bukan memuji Yahudi tetapi kagum dengan kebijaksanaan mereka dalam pengurusan ekonomi serta kewangan yang mana turut membuat keputusan menurunkan kadar faedah sehingga 3.5 peratus pada November 2008, sebagai usaha mengurangkan kesan krisis ekonomi global. Alasan yang digunakan oleh Bank of Israel adalah untuk mengurangkan kos kredit para ahli perniagaan serta isi rumah yang menghadapi masalah kelembapan ekonomi berikutan krisis ekonomi global.

Namun demikian sehingga kini belum menampakkan sebarang reaksi yang lebih serius daripada pakar kewangan Islam untuk mengadakan musyawarah bagi membincangkannya dan seterusnya mengambil ketetapan untuk mengusulkan satu teori atau kaedah bagaimana kearah penyelesaian krisis ekonomi global memandangkan konsep kewangan Islam telah diperakui sendiri oleh Goodhart. Maka dengan ini golongan pakar ekonomi kewangan Islam seharusnya tampil untuk mengambil peluang membuktikan bahawa sistem kewangan Islam mampu menangani krisis ekonomi global dengan mengeluarkan teori dan penyelesaian berkonsepkan sistem kewanagn Islam.

No comments: