Thursday, July 30, 2009

Ringkas: Pencapaian Ekonomi Iranun














Menjelang 16 September 2009, maka genaplah tempoh 46 tahun Sabah mendengar laungan keramat bergema “merdeka... merdeka... merdeka... merdeka... merdeka... merdeka... merdeka!!!” yang pertama kalinya dilaungkan oleh Bapa Kemerdekaan Sabah Allahyarham Tun Datu Mustapha, setelah Sabah menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, maka selama itulah kita menyaksikan satu pencapaian ekonomi suku kaum Iranun yang bagi saya amat sukar untuk diterjemahkan pencapaian tersebut dalam bentuk penulisan. Ini kerana, saya masih tercari-cari dari mana harus bermula, lalu pencapaian yang bagaimana harus saya ceritakan? Amat payah untuk saya membincangkan pencapaian suku kaum Iranun dalam bidang ekonomi.


Pencapaian ekonomi suku kaum Iranun sebenarnya tidak banyak yang boleh kita perkatakan. Sehingga saat ini 30 Julai 2009 yang pastinya belum ada seorang pun insan yang lahir dari kalangan suku kaum Iranun yang mempunyai nama dan kedudukan dalam bidang ekonomi.


Sejarah telah melakarkan bahawa suku kaum Iranun amat terkenal sebagai pelaut yang handal. Maka itu, nelayan merupakan antara pekerjaan utama mereka. Dalam pemerhatian saya, kehidupan para nelayan Iranun tidak banyak berubah hanya sekadar uyag ginawa, mana tidaknya kebanyakan mereka lazimnya hanya mampu menggunakan gubang sejenis perahu dayung kecil yang digunakan sejak zaman nenek moyang lagi dan selebihnya yang mampu memiliki bot kecil dianggarkan dalam lingkungan 35% daripada jumlah keseluruhan nelayan Iranun.


Dalam bidang pertanian atau ghilupah dalam basa Iranun terutamnya paguma/tanam padi, tidak dinafikan sektor ini mengalami permodenan dari segi teknologi penanaman dan penuaian padi, namun hasil tuaian masih jauh lebih rendah daripada sasaran kerajaan yang mana mensasarkan sekurang-kurangnya 4 tan bagi setiap hektar luas tanaman padi di Kota Belud. Masyarakat Iranun berasa gembira apabila kerajaan mengumumkan bahawa Kota Belud akan dijadikan kawasan jelapang padi, namun hingga ke saat ini masyarakat Iranun masih tercari-cari akan maksud jelapang padi tersebut, kerana lihat saja kawasan tanah sawah mereka dengan keadaan saliran airnya yang amat menyedihkan. Pesawah di Kampung Tamau dan sekitarnya bukan saja dibelenggu masalah pengairan sawah padi tetapi lebih daripada itu dihimpit masalah tauke-tauke jentera traktor yang mengenakan bayaran minyak yang sangat tinggi. Bagi cabang bidang pertanian yang lain, ceritanya juga hampir sama dengan tanaman padi. Ini kerana sehingga kini belum ada seorang pun daripada suku kaum Iranun yang memiliki ladang sama ada getah, kelapa sawit dan sebagainya yang diusahakan secara komersial. Begitu juga dalam bidang penternakan suku kaum ini masih jauh ketinggalan.


DEB mensasarkan pegangan ekuiti bumiputera 30% sebelum ia digantikan dengan MEB. Menurut Datu Bandira Datu Alang di dalam bukunya Iranun; Adat dan Tradisi menyatakan suku kaum Iranun diketegorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah. Persoalannya sekarang ialah saya mengajak manga pagari (saudara2) memikirkan dan bersama-sama mencari jawapan iaitu setakat ini berapakah pegangan ekuiti suku kaum Iranun? Berapa ramaikah usahawan Iranun yang berjaya? Berapa ramaikah yang terlibat dalam IKS? Berapa ramaikah kontraktor Iranun yang memiliki lesen PKK Kelas A dan CIDB G7? Berapa ramaikah Iranun yang memiliki hotel atau yang terlibat dalam industri pelancongan?....Usahkan gedung-gedung perniagaan malahan melihat sebuah restoran milik suku kaum Iranun di Kota Belud ada perkara mustahil. Tetapi tidak dinafikan terdapat juga dikalangan masyarakat Iranun yang terlibat dalam bidang perniagaan tetapi dalam skala yang kecil seperti peruncitan, bangkel, kedai komputer dan sebagainya.


Secara relatif, saya melihat bahawa suku kaum Iranun sudah berada di atas paras kemiskinan, tetapi daripada aspek penguasaan ekonomi suku kaum Iranun terlalu jauh ketinggalan. Menyedari hakikat ini, saya mencadangkan agar kita mewujudkan satu organisasi misalnya Dewan Perniagaan Iranun Sabah sebagai platform menangani permasalahan ini, jika ingin melihat suku kaum Iranun ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan suku kaum yang lain.


Apa pun inilah hasil pencapaian ekonomi suku kaum Iranun yang perlu diakui semua pihak...jadi haruskah kita berbangga???. Tetapi saya tidak sesekali menyalahkan mana-mana pihak kerana:

1. Jika kita telah merdeka selama 46 tahun, kita boleh bertanya kepada diri kita apa yang kita telah lakukan untuk memajukan diri selama 46 tahun ini?

2. Apakah yang telah aku lakukan untuk memajukan diriku, masyarakatku, bangsaku dan ekonomiku?

3. Apa planning kita, apa misi dan visi kita, bagaimana caranya, bila hendak mula, di mana hendak mula, siapa yang hendak lakukan?

4. Suku Kaum Iranun ada perancangan seperti di atas kah?.... perancangan pun tak ada langsung? Belum tanya tindakan lagi tu!

5. Kemudian, buat tindakan. Berusaha bersungguh-sungguh supaya matlamat kita berjaya dicapai.

6. Kalau kita pelajar, jadilah pelajar yang cemerlang. Sudah buat?

7. Kalau kita pekerja, jadilah pekerja yang cemerlang. Sudah buat?

8. Kalau kita PEMIMPIN, jadilah pemimpin yang cemerlang. Sudah buat?

9. Kalau kita berbangsa Iranun, jadilah orang Iranun yang cemerlang,? Sudah buat?

10. Kalau kita belum buat, buat sekarang!!!... Akan datang pun kita buat lagi dan lagi dan lagi!!!


InshaALLah pencapaian ekonomi suku kaum Iranun akan saya kupas dengan lebih terperinci berdasarkan pecahan sector pada siri akan datang. Saya juga sedang merancang untuk membuat kajian khas berkaitan faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian ekonomi Iranun di samping mencari pendekatan/teori yang harus digunakan dalam menangani kemelut keciciran ekonomi yang melanda suku kaum Iranun.

3 comments:

Ajin b. Gagah said...

Salam ziarah sdra Batu Gadung,
terus kan menulis cerita saperti yang sdra buat kini. Bagi saya,sangat menghiburkan

Penulisan berupa 'research' begini, selalu nya ( bagi saya) lebih menarik dari ulasan-ulasan politik sunsang yang tidak tentu fasal.

Walau pun saya belum ada ulasan berupa komen dan pertanyaan setakat ini, namun satu tetap mengikuti perkembangan blog sdra.

Banyak perkara yang saya tidak tahu sebelum ini fasal suku kaum Iranun, sdra telah kongsikan di sini.

Tahniah dan semoga sdra success selalu.

BATU GADUNG said...

Salam,

Terima atas kunujungan sdra Solymone...saya sangat terharu dan gembira dengan kunjungan seorang blogger seperti sdra...

paikankb said...

salam....

satu pendedahan yang amat menyedihkan...Bersatu lah kita wahai anak watan masyarakat Iranun...ngeri saya membaca ulasan saudara...

Harap kita temui penyelesaianya...isu PISBA pun terus senyap...apa dah jadi sebenarnya???