Wednesday, July 8, 2009

Model Ekonomi Baharu: apa yang saya faham sebagai orang biasa.


Artikel ini mengupas sudut pemikiran YAB DSN. Model Ekonomi Baharu diumumkan kalau saya tidak silap pada 30 Jun 2009 oleh DSN dalam majlis persidangan “Invest Malaysia 2009”. Artikel ini melihat apakah Model Ekonomi Baharu (MEB), yang diketengahkan oleh DSN dan sejauh manakah Pasaran Kewangan Malaysia mampu menarik lebih ramai penyertaan asing khasnya FDI. Artikel ini juga memberi penekanan kesan penghapusan peranan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) “Bersediakah bumiputera berdiri tanpa tongkat?”. Tindakan DSN mereformasikan sistem kewangan negara bagi menjadikannya lebih liberal suatu pemikiran yang dianggap berbeza dengan para Perdana Menteri sebelumnya yang mendukung DEB.


Perbincangan difokuskan kepada dua perkara yang saya rasakan perlu dibincangkan iaitu yang pertama Sejauh manakah MEB dapat meningkatkan aliran masuk FDI Dan yang kedua kesan MEB kepada bumiputera.


MEB bukan saja bersifat sebagai reformasi sistem kewangan negara, malahan sebagai memulihkan ekonomi negara kesan kegawatan ekonomi global yang berpunca masalah gadai janji sub-prima di Amerika Syarikat ditambah lagi masalah ketidaktentuan ekonomi global. Disamping itu bagi mengekalkan dayasaing pasaran kewangan Malaysia sebagai pusat pelaburan menarik di Asia memandangkan China dan India dewasa ini merupakan negara membangun yang mempunyai prospek menarik untuk FDI. Namun bagi sesetengah pemerhati politik, MEB diwujudkan demi perpaduan (1Malaysia) tetapi yang tersiratnya demi survival politik khasnya mengembalikan sokongan non-bumiputera kepada kerajaan.


Apa pun permasalahan di atas, dianggap menyebabkan matlamat kerajaan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju menjelang pada tahun 2020 akan tergugat. Dunia dilanda kegawatan ekonomi yang menyebabkan Malaysia tidak terlepas menerima tempiasnya. Ini ditambah masalah pergolakan politik tanahair rentetan daripada keputusan PRU-12 dan diikuti masalah perpaduan antara kaum disamping pergolakan dalaman parti politik pemerintah sendiri iaitu dalam BN. DSN beranggapan perkara ini akan menyumbang kepada ketidaktentuan masa depan negara dan masa depan BN khasnya menjelang PRU-13 yang akan datang dijangka pada tahun 2012. DSN berpendapat jika BN hendak kekal sebagai parti pemerintah harus keluar daripada belenggu masalah tersebut dan harus membina imej BN semula.


Terdapat beberapa aspek yang perlu DSN fikir sebagai penyumbang kesinambungan politik BN sebagai parti pemerintah. Antaranya sokongan serta keyakinan non-bumiputera harus dikembalikan dengan kaedah meliberalisasikan sistem kewangan negara. Dalam keadaan masa yang sama DSN harus menyelsaikan kemelut ekonomi yang membelenggu negara. Ini kerana sebahagian daripada keyakinan rakyat kepada kerajaan bergantung kepada kecekapan kerajaan menangani permasalahan perekonomian dan dari aspek yang lain moral DSN sebagai PM akan turut meningkat dari sudut pandang rakyat. Ini telahpun dibuktikan oleh Tun Dr. Mahathir yang mana kemarahan rakyat terhadap Tun ekoran pemecatan DSAI sebagai Timbalan PM, dapat diredahkan apabila Tun dapat memulihkan ekonomi dengan kaedah tambatan matawang ringgit kepada US dollar. Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akhirnya dipulihkan dan Tun akhirnya di sanjung rakyat sebagai wira ekonomi yang menundukan spekulator barat.


Menyentuh soal penghapusan peranan FIC dan peningkatan pemilikan ekuiti asing serta melonggarkan syarat pelaburan asing, harus dilihat dari sudut positif memandangkan walaupun bantuan asing tidak memainkan peranan, tetapi pelaburan langsung asing (FDI) telah memainkan peranan penting bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan demi kesinambungan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Dengan penghapusan peranan FIC akan menarik minat pelabur-pelabur asing walaupun bukanlah ukuran secara total yang dilihat oleh pelabur asing namun menjadi advantage, kerana banyak lagi aspek yang menjadi pertimbangan pelabur asing sebelum menanam pelaburan dalam sesebuah negara. Contohnya kestabilan politik, insentif cukai dan kos pengoperasian yang rendah seperti kos buruh dan bahan api. Oleh sebab itulah kerajaan cuba mewujudkan kestabilan politik melalui konsep 1Malaysia kerana kestabilan politik merupakan salah satu kayu pengukur yang dilihat pelabur-pelabur asing. Konsep 1Malaysia dari sudur tersuratnya adalah budaya tetapi yang tersiratnya adalah politik dan bagaiamana ia dilaksanakan adalah melalui kaedah psikologi.


Seperti sebelum ini, saya telah mewujudkan satu persoalan besar yang saya rasakan penting untuk diperbahaskan iaitu “Bersediakah bumiputera berdiri tanpa tongkat?”. Namun bagi saya bukanlah sesiapun mahupun kerajaan yang mampu menjawab persoalan ini melainkan bumiputera itu sendiri. Kerajaan hanya mampu menjawab berdasarkan fakta sejarah ekonomi khasnya pencapaian DEB dan kegagalan DEB memenuhi kouta 30% pemilikan ekuiti bumiputera. Namun jawapan tersebut hanya memenuhi skema jawapan bagi persoalan tentang DEB tetapi bukannya MEB.


Bersedia atau tidak bumiputera bersaing dengan non-bumiputera tanpa tongkat, pada fikiran saya, DSN tidak perlukan jawapan segera kerana biarlah bumiputera itu sendiri memberikan jawapan, cuma satu pepatah telah menyebut bahawa berlian adalah sebutir arang batu yang menjadi unggul akibat tekanan. Pepatah ini telah dibuktikan apabila Singapura yang ketika keluar dari Malaysia yang tidak mempunyai apa-apa pun sumber mahupun kelebihan yang ada untuk dijadikan modal membangunkan Singapura tetapi Lee Kuan Yew telah memahami konsep bagaimana sebutir arang batu menjadi berlian (Lihat dalam buku Berani Gagal). Ini sudah cukup untuk bumiputera bersedia jika tidak, sampai bilakah kita harus bersedia, bah kata orang kalau kita tidak memulakan langkah yang satu mana mungkin kita sampai ke langkah yang seribu. Mungkin ramai yang tidak bersetuju atau mempersoalkan kenapa kesediaan bumiputera tidak dilihat dari sudut teori ekonomi. Kegagalan DEB mencapai matlamat 30% pemilikan ekuiti bumiputera dan kesediaan bumiputera menyahut cabaran kerajaan terhadap MEB secara jelasnya dapat diperhatikan bukanlah berpunca atau bergantung pada mana-mana pun teori ekonomi secara total, sebaliknya pada attitude walaupun bukan semua tetapi sebahagian besarnya akan berasa selesa apabila berada dalam keadaan yang dipanggil comfort zone yang menyebabkan dayasaing bumiputera menjadi pertikaian selama 30 tahun DEB dilaksanakan. Kejayaan DEB mengubah nasib bumiputera tidaklah dipersoalkan tetapi yang menjadi persoalan kejayaan bumiputera memenuhi matlamat DEB.


Gagasan MEB yang dikemukakan oleh DSN sangat berbeza dengan para PM sebelumnya. Ia merupakan tindakan yang cukup berani bagi seorang pemimpin yang menerajui kepimpinan negara dalam usia lingkungan 100 hari, kalau seorang bayi rasanya belum punya upaya untuk berjalan apa lagi untuk berbicara. Namun demikian, rasanya DSN ingin menjadi bayi lain dari yang lain.

Bersambung...



No comments: