Wednesday, July 1, 2009

Lanjutan Dari Artikel: 1Malaysia Dari Sudut Pandang Roslan Hj Manshor

Memandangkan artikel ini menimbulkan pelbagai reaksi yang mewujudkan pertikaian beberapa pihak, maka rasanya menjadi tanggungjawab saya untuk memperjelaskan isu berbangkit supaya konsepsi difahami agar persepsi pelbagai level pemimpin tidak dimanipulasi dan rakyat bawahan tidak terkeliru.



Namun demikian sebelum itu, saya mengucapkan terima kasih kepada saudara Musli atas komen yang saya fikirkan menarik untuk diperbahaskan, dan saya telahpun membaca dan menghayati artikel saudara “Konsep negara bangsa. Apa itu 1Malaysia”. Buat saudara depu-depu dan paikankb terima kasih atas pandangan saudara.

Istilah perkauman dan berasaskan kaum harus dilihat dari perspektif yang berbeza sama ada dari sudut metafora, konotasi mahupun implikasinya. UMNO...United Malay National Organisation bukanlah parti perkauman Melayu tetapi yang jelasnya UMNO merupakan parti yang berasaskan kaum dengan memelihara hak-hak Melayu.

Menyentuh soal politik dan budaya, apabila berbicara soal politik hanya dua perkara pokok saja iaitu yang pertama berkenaan bagaimana politik, dan yang kedua berkenaan “mengapa politik”. Istilah politik bukanlah hanya berlegar pada soal perkara-perkara kepartian, soal-soal pemerintahan mahupun aspek-aspek berkaitan jentera negara dan penyelenggaraannya kerana bagi saya istilah politik itu harus dilihat dalam ruang lingkup yang lebih luas. Apabila berbicara soal negara bangsa secara tidak langsung kita berbicara soal politik kerana politik itu merupakan kandungan, cara penterjemahan dan metodologi negara bangsa yang bersifat subjektif, teoritikal dan normatif.

Bangsa bagi saya merujuk kepada penduduk yang mempunyai kerakyatan dalam sesebuah negara. Masyarakat tersebut tidak semestinya mempunyai persamaan budaya dan karekter tetapi apa yang penting mempunyai taraf kewarganegaraan. Contohnya di Malaysia sendiri, bangsa kita bukanlah Melayu, Cina mahupun India tetapi bangsa kita adalah Malaysia begitu juga di Amerika ada Red Indian dan golongan kulit putih yang berasal dari Britain di mana bangsa mereka tetap Amerika oleh kerana mereka warganegara Amerika Syarikat walaupun tidak ada persamaan langsung sama ada karekter, budaya mahupun nilai-nilai kemasyarakatannya. Oleh itu bangsa merujuk kepada sesebuah negara. Bagi komuniti yang tidak bernegara seperti Kurdis yang tinggal di antara sempadan Iran, Iraq dan Turki bukannya bangsa tetapi definisinya lebih kepada kaum. Jadi definisi kaum dan bangsa harus dapat dibezakan.


konsep negara bangsa adalah tidak tepat ditafsir dari sudut budaya secara total, namun saya setuju bahawa 1Malaysia adalah terjemahan daripada konsep negara bangsa. Kejayaan mewujudkan negara bangsa adalah bergantung kepada pemahaman kita terhadap “berkenaan bagaimana politik dan mengapa politik”, kerana politik itu mempunyai hubungan rapat dengan konflik... kenapa diwujudkan DEB? Bagaimana DEB diwujudkan? Adakah dasar pengenalan ekonomi yang berasaskan kaum itu yang telah diperkenalkan oleh British untuk tujuan budaya? Bagaimanakah pula dengan dasar pecah dan perintah? Kita semua tahu jawapannya ibarat kata pepatah sudah terang lagi bersuluh.


Jadi bagaimana 1Malaysia dikatakan tiada kaitan dengan politik sedangkan tujuannya menyelsaikan konflik yang agak serius sehinggakan membentuk ancaman gangguan masyarakat. Akhir sekali dalam membuat penilaian kita perlu menilai bukan saja pada yang tersurat malahan apa penting pada yang tersirat kerana itu politik tidaklah dapat diukur secara empirikal.


No comments: