Tidak dinamakan Hari Raya Fitrah sekali sekiranya tidak didahului dengan puasa Ramadhan. Ia merupakan hadiah istimewa daripada Allah S.W.T kepada hambaNya yang berjihad dan berjuang selama sebulan pada bulan Ramadhan. Jihad yang dimaksudkan itu ialah jihad melawan hawa nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang dan seterusnya memperbanyakkan amal ibadat pada bulan yang mulia itu sesuai dengan bulan Ramadhan yang dikenali sebagai bulan ibadat.
Hari raya dipenuhi dengan suasana gembira dan riang-ria. Orang yang berpuasa bergembira sebanyak 2 kali. Kali pertama ia bergembira kerana menyambut hari raya dan kali kedua ia bergembira kerana dapat bertemu TuhanNya dengan membawa puasanya itu.
"لِلصَّائِم فَرْحَتَان , فَرْحَة عِنْدَ الْفِطَار وَ فَرْحَة عِنْدَ لِقَـاءِ رَبِّه"
“Bagi seseorang yang berpuasa 2 kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka atau berhari raya dan kegembiraan ketika bertemu TuhanNya (beribadah)”.
Kegembiraan menamatkan puasa dengan menyambut Hari Raya nampak kelihatan kerana mendapat pahala daripada Allah setelah puasanya diterima. Kegembiraan juga diisi dengan ziarah menziarahi untuk menyambung silaturrahim. Dan kegembiraan yang paling besar dan bermakna yang perlu diisi pada hari tersebut ialah bertakbir memuji kebesaran Allah kerana ia melambangkan kesyukuran kepadaNya yang telah menganugerahkan hari yang istimewa itu.
Memandangkan hari raya adalah anugerah Allah kepada hamba-hambaNya supaya mereka bergembira dan bersyukur kepadaNya pada hari tersebut, maka mereka dimestikan menyambut dalam suasana dan batas-batas yang diredhai oleh Allah S.W.T. Sambutan hari raya tidak akan menepati konsep dan falsafahnya serta jauh daripada rahmat dan kasih sayang Allah sekiranya ia disambut dalam suasana yang dipenuhi maksiat dan perkara-perkara yang dilarang dan ditegah.
Oleh kerana menyambut hari raya adalah untuk menyatakan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T di atas anugerah yang istimewa itu, maka menyambutnya dengan cara yang ditegah sudah pasti akan mengundang kemurkaanNya. Bahkan ia menggambarkan seolah-olah mereka bergembira dilepaskan daripada ibadah Ramadhan yang merupakan satu arahan yang membelenggu kehendak nafsu.
Sebaliknya jika disambut dengan cara-cara yang dibenarkan oleh syariat, maka umat Islam akan berpuas hati menyambutnya kerana diiringi rahmat dan kasih sayang Allah yang mencurah-curah sebagai tanda kemenangan menundukkan hawa nafsu dan menjalani pentarbiahan Allah selama sebulan.
أهلا يا شوال
http://disertasi.blogspot.com