Wednesday, August 26, 2009

PKR gagal satukan ahli: Mustapa


Tindakan ADUN Lunas, Kedah, Mohd Radzhi Salleh keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas menunjukkan parti itu tidak mampu menyatupadukan anggotanya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Mustapa Mohamed berkata krisis keyakinan terhadap kepimpinan parti itu sebenarnya bermula di Kedah yang kemudian menular ke Pulau Pinang dan kini kembali ke Kedah semula.

Beliau yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata parti itu juga sudah tidak menjadi ikutan orang Melayu dan rakyat Malaysia turut kecewa dengan janji-janji mereka.

"Kita berjuang untuk satu Malaysia iaitu rakyat didahulukan, tetapi PKR berjuang untuk seorang sahaja," katanya selepas majlis pengagihan bubur lambuk kepada warga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Kuala Lumpur semalam.

Sebelum ini, ADUN Bukit Selambau, Kedah, V Arumugam dan ADUN Penanti, Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, kedua-duanya daripada PKR meletak jawatan dan menyebabkan pilihan raya kecil terpaksa diadakan di kedua-dua kawasan itu pada April dan Mei lepas.

Sementara itu, timbalan menteri berkenaan Datuk Mukhriz Mahathir berkata tindakan ADUN PKR keluar parti membuktikan anggota PKR tidak mempunyai satu ideologi sebagai pegangan.

"Kita dapat lihat manifestasi perbezaan pendapat di kalangan barisan kepimpinan parti itu terutama apabila berlaku krisis seperti ini" katanya.

BERNAMA

No comments: