Falsafah merupakan satu perkataan yang ‘besar’ dan mempunyai pengertian yang amat luas. Martin Heidegger dalam bukunya What Is Philosophy? Berasa kecewa kerana falsafah sudah tergelincir daripada landasannya yang asal. Bagi aktiviti menganalisis alam sebenar yang wujud dan alam yang kelihatan sebagai wujud. Pengertian yang diperolehi melalui alam sebenar yang wujud akan bertindak sebagai cahaya dalaman bakal membantu kita memahami erti kewujudan kita dan juga memahami erti kewujudan itu sendiri. Manusia adalah makhluk yang wujud dengan alam sebenar yang wujud menjadi sumber kreativitinya dan keseorangannya sebagai manusia.
Realiti insan atau kewujudan tidak dapat diertikan dari sudut ekonomi, rasional atau politik; maka kewujudan hanya dapat diperolehi pada struktur ontopologinya. Falsafah bagi Heidegger tertumpu kepada realiti abadi yang kekal yang memberi makna kepada kewujudan; iaitu noumenon dijadikan asas untuk memahami phenomenon. Topik ahli-ahli falsafah yang hidup sebelum Socrates memenuhi deskripsi falsafah Heidegger. Heraclitus dan Parmenides, misalnya, menganalisis struktur realiti manusia yang asas dan analisis itu dilakukan melalui pendekatan ontopologi. Heraclitus takjub dengan struktur alam yang sementara sifatnya dan sentiasa melalui perubahan, manakala Parmenides kagum terhadap alam yang kekal sifatnya dan tidak mengalami perubahan. Parmenides berpendapat bahawa apa jua yang kelihatan sebagai perubahan pada alam adalah ilusi belaka. Lantaran sifatnya yang kekal abadi itu, maka alam ini tidak mengalami kemusnahan atau kejadian baru.
Kemunculan Plato dan Aristotle yang memisahkan dunia idea dan pendapat, merobohkan kubu falsafah Socrates dan zaman sebelumnya. Falsafah Plato merenggangkan alam sebenar yang wujud dengan alam yang kelihatan wujud dari sudut ontopologi. Untuk memahami manusia dan kewujudannya, segala ruang aktiviti manusia perlu dititikberatkan untuk dijadikan asas yang konkrit. Dengan hanya mengambil kira aspek metafizik dan mengetepikan dimensi ekonomi, sosial atau politik akan membatasi pemahaman yang sempurna mengenai alam wujud yang sebenar dan apa yang kelihatan sebagai wujud.
Falsafah, dalam takrifannya yang luas meliputi antara lain, hal-hal yang berkaitan tentang baik dan jahat, cantik dan hodoh; hidup dan mati. Dalam The Story of Philosophy, Will Durant menyenaraikan lima cabang falsafah iaitu logik, estetika, etika, politik dan metafizik. Logik ialah kajian mengenai kaedah yang ideal semasa berfikir yang betul. Estetika mengkaji bentuk yang ideal yang berhubung rapat dengan keindahan/seni. Etika ialah kajian kelakuan ideal yang mempersoalkan tentang baik dan jahat. Politik ialah kajian organisasi sosial yang ideal atau yang yang sebaik-baiknya (politik akan dikupas dengan lebih mendalam kemudian). Metafizik ialah kajian realiti mutlak bagi semua benda: mengenai sifat ‘jirim’ yang sebenar (ontopologi), mengenai ‘akal budi’ (falsafah psikologi), dan mengenai hubungan antara akal budi dan ‘jirim’ dalam proses persepsi dan pengetahuan (epitemologi).
Untuk memudahkan kita memahami apa yang dikatakan falsafah dapat dirumuskan bahawa falsafah adalah induk atau sumber segala ilmu. Daripada soalan-soalan falsafah akan muncul jawapan-jawapan pasti yang dijadikan ranting-ranting ilmu seperti botani, astronomi dan ekonomi. Segala apa yang tiada kepastian akan terbendung dalam falsafah.
Istilah ‘politik’ sering kali difahami hanya berlegar pada perkara-perkara kepartian, soal-soal hirarki pemerintahan dan aspek-aspek yang ada kaitan dengan jentera negara dan penyelenggaraannya. Di samping memaklumi maksud ini, istilah ‘politik’ yang digunakan di sini tidak menjurus secara total kepada maksud di atas, walaupun konotasi dan implikasinya tetap dihayati. Dalam ruang lingkup kupasan ini, pengertian istilah ‘politik’ diperluaskan untuk merangkumi soal kekuatan atau kuasa yang berpengaruh, yang justeru memungkinkan pendominasian.
Menyentuh soal dominasi dan pendominasian, antara dua perkara yang mengundang perhatian kita ialah pertama, mengenal pasti perkara dominan dan kedua, memahami mengapa dan bagaimana politik menjadi dominan dan terus mendominasi. Sesungguhnya kedua-dua perkara ini menarik untuk dibincangkan, tetapi keterbatasan waktu perbincangan dihadkan setakat ini.
“Mustika Diri-30-90”
No comments:
Post a Comment