Tuesday, May 26, 2009

Wajarkah Perkataan Iranun Diberikan Definisi?


Iranun merujuk kepada suku kaum yang diklasifikasikan sebagai kaum bumiputera Sabah. Apabila kita menyebut perkataan Iranun dengan sendirinya tergambar jelas dalam pemikiran kita iaitu suku kaum yang terdapat di Sabah dan kebanyakannya menetap di Kota Belud. Namun di sini bukanlah tujuan saya untuk membincangkan asal-usul Iranun kerana ia telahpun dibincangkan dalam penulisan saya sebelum ini.

Apa yang menarik perhatian saya adalah soal pengertian Iranun. Ketika membaca beberapa blog saya terbaca bahawa Iranun itu bermaksud berkasih-kasihan dan pengertian ini dirujuk kepada sebuah buku yang bertajuk “Iranun:Sejarah Dan Adat Tradisi”. Saya pun berusaha mendapatkan buku tersebut dan memang sah buku tersebut mendefinisikannya sedemikian.

Namun di sini bukanlah bertujuan menidakkan definisi tersebut, cuma mengajak saudara-saudara untuk berfikir sejenak secara rasional dan analitikal tentang persoalan “Wajarkah perkataan Iranun diberikan definisi?”.

Perkataan Iranun sebetulnya tidak mempunyai perkataan seerti mahupun definisi yang sahih. Ini berdasarkan sepanjang pembacaan, saya tidak pernah menemui dalam kamus bahasa manapun atau penulisan ilmiah yang boleh membuktikan sacara fakta dan ilmiah yang boleh menyokong bahawa Iranun itu bermaksud berkasih-kasihan. Tambahan lagi saya membesar dalam suasana perkampungan masyarakat Iranun yang mana seingat saya, bahasa yang pertama kali saya mula tuturkan ialah Bahasa Iranun. Namun demikian sehingga saat ini tidak pernah ada orang tua (orang lama) yang memberikan definisi terhadap perkataan Iranun.

Dalam soal ini saya mengambil pendirian bahawa perkataan Iranun yang merujuk kepada Kaum Iranun hanya boleh didefinisikan berdasarkan sifatnya atau dari sudut persepsi semata-mata bukan secara mutlak.

Dengan meneliti contoh di bawah:

1. Manusia ( kata nama am) bermaksud: i. orang ii. Insan iii. Human iii. Homosapiens

2. Ali (kata nama khas) - wajarkah Ali mempunyai definisi, pada pandangan saya Ali hanya boleh ditakrifkan berdasarkan sifatnya iaitu: i. Tampan ii. Peramah iii. Rajin

Secara ilmiah definisi Ali di atas bukanlah definisi mutlak kerana definisi Ali itu berdasarkan persepsi individu semata-mata yang melihat atau mengenalinya. Bisa saja definisi terhadap Ali ini boleh berubah dan mungkin berlainan dari sudut kaca mata individu yang berlainan.

Apapun atas dasar mencari definisi yang tepat berdasarkan fakta yang sahih, saya sedia menerima pandangan dan mungkin pendirian saya terhadap definisi perkataan Iranun bisa saja berubah andainya definisi tersebut disokong dengan fakta sahih dan diungkapkan secara ilmiah.

Friday, May 22, 2009

Hakim: Zambry MB sah Perak



Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah. Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu, yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam, sebulat suara menerima rayuan Zambry. Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN. Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.

Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca. Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN.

Gembira dengan keputusan tersebut di Slim River, Zambry menyifatkannya "kebenaran telah tiba.". Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu. Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak. Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar. Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini. Sementara itu, Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. Manakala sekumpulan 200 orang di luar mahkamah, kedengaran melaungkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.


http://www.malaysiakini.com/news/104895



Al-Fatihah: ADUN Manek Urai meninggal dunia


Ini berita terbaru. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Kelantan, Paksu Wel, kembali ke rahmatullah jam 5.55 pagi tadi, demikian menurut SMS daripada Dato’ Ibrahim Ali kepada blog ini sebentar tadi. Semoga roh Allahyarham berada di kalangan orang yang soleh. Al-Fatehah!

http://kuda-kepang.blogspot.com/

Thursday, May 21, 2009

POLITIK IRANUN DI SABAH: Resensi Masalah Dan Prospeknya


Kita biasa mendengar ungkapan sinis dalam bahasa Inggeris yang berbunyi “the development underdevelopment”. Biasanya hanya orang-orang yang sinis juga yang memulakan sesuatu analisis mengenai sesuatu proses “pembangunan” yang menggunakan ungkapan ini sebagai paradigma mereka. Tetapi kerana paradigmanya yang sinis itu, analisisnya mungkin ditolak sebelum hujahnya diteliti.

Apakah kaitannya ungkapan ini dengan perkembangan politik Iranun di Sabah khasnya. Barangkali saudara-saudara telah menduga bahawa saya akan menggunakan paradigma ini dan saya dilabelkan sebagai orang yang sinis juga.

Sesungguhnya saya tidak melihat perkembangan politik Iranun sebagai suatu perkembangan yang mundur, saya agak kagum dengan kemajuan politik Iranun. Namun demikian, kemajuan politik tidaklah merupakan suatu pelayaran di laut yang tenang.

Dalam pelayaran ini sebetulnya terdapat banyak kapal dengan saiz yang berbeza-beza, ramai nakhoda dengan kepintaran dan pengalaman yang juga berbeza, banyak pelabuhan yang hendak dituju dengan membawa dan mencari muatan tertentu. Lautan yang dilalui begitu luas dan mungkin bergelombang. Sesungguhnya pelayaran yang dilalui oleh para pemimpin politik Iranun di Sabah khasnya saya anggap sebagai suatu dinamis yang bermasalah.

Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa politik Iranun masih lagi mempunyai masa depan yang cerah asalkan segala langkah yang positif ke arah memantapkannya dilakukan dengan strategik.

Halangan yang dihadapi begitu sengit dan potensinya untuk diperkasakan juga tidak terbatas. Tetapi jika perancangan dan strategi yang berkesan tidak dilaksanakan secepat mungkin, pengalaman berpolitik hanya akan tersimpan dalam ingatan dan sekali sekala timbul dalam nostalgia.

Akhirnya kita berhadapan dengan suatu teka-teki kehidupan: adakah kita bersedia dengan ungkapan “survival of the fittest?”. Atau masih memerlukan tongkat (terutamanya dari orang lain) supaya kita berada dalam situasi “survival of the weakest?”

Tuesday, May 19, 2009

BN SAH TIDAK BERTANDING PENANTI: KEPUTUSAN WARAS?


BN mengesahkan tidak akan bertanding bagi DUN Penanti. Tindakan BN ini mengundang pelbagai reaksi. Ada yang menyokong namun tidak kurang pula yang tidak senang dengan keputusan BN ini khasnya Ketua Umum PKR. Mungkinkah strategi atau percaturan Anwar tidak menjadi.

"Hujah ini satu helah kerana Umno selalu tabik dada (mengaku) kuat dan relevan," katanya kepada wartawan selepas ceramah di Taman Medan Petaling Jaya malam tadi, sempena pelancaran kempen penerangan "Krisis Perak: Kembali Pada Rakyat". Reaksi Anwar ini seakan-akan menjawab persoalan selama ini “kenapa PKR gemar mengadakan pilihanraya”. PKR menjadikan Pilihanraya sebagai pentas menunjukan sokongan dan kekuatan mereka kepada rakyat di samping sebagai salah satu kaedah meniup semangat perjuangan kepada ahli-ahlinya. Inilah semboyan perjuangan Anwar ‘pilihanraya yang tidak bernoktah’....“Arang yang merah membara kalau tidak dikipas selalu, akan padam jua”.

Perkara yang berlaku di Penanti tidak boleh disamakan dengan apa yang berlaku di Perak. Adalah perkara janggal dan tidak rasional bagi Anwar untuk menyamakan apa yang berlaku di Perak dengan apa yang berlaku di Penanti.

Secara rasionalnya keputusan BN untuk tidak bertanding di DUN Penanti merupakan keputusan yang waras, tepat dan bijaksana. Tahniah!!! kepada BN yang menunjukkan kebijakan politik....BN hanya perlu menyertai PRK jika sekiranya kerusi berkenaan kosong kerana ADUN penyandangnya meninggal dunia atau hilang kelayakan dari sudut undang-undang.


“jangan sampai menang jadi arang, kalah jadi abu...menang sorak, kampung tergadai”

Monday, May 18, 2009

Falsafah dan Politik


Falsafah merupakan satu perkataan yang ‘besar’ dan mempunyai pengertian yang amat luas. Martin Heidegger dalam bukunya What Is Philosophy? Berasa kecewa kerana falsafah sudah tergelincir daripada landasannya yang asal. Bagi aktiviti menganalisis alam sebenar yang wujud dan alam yang kelihatan sebagai wujud. Pengertian yang diperolehi melalui alam sebenar yang wujud akan bertindak sebagai cahaya dalaman bakal membantu kita memahami erti kewujudan kita dan juga memahami erti kewujudan itu sendiri. Manusia adalah makhluk yang wujud dengan alam sebenar yang wujud menjadi sumber kreativitinya dan keseorangannya sebagai manusia.

Realiti insan atau kewujudan tidak dapat diertikan dari sudut ekonomi, rasional atau politik; maka kewujudan hanya dapat diperolehi pada struktur ontopologinya. Falsafah bagi Heidegger tertumpu kepada realiti abadi yang kekal yang memberi makna kepada kewujudan; iaitu noumenon dijadikan asas untuk memahami phenomenon. Topik ahli-ahli falsafah yang hidup sebelum Socrates memenuhi deskripsi falsafah Heidegger. Heraclitus dan Parmenides, misalnya, menganalisis struktur realiti manusia yang asas dan analisis itu dilakukan melalui pendekatan ontopologi. Heraclitus takjub dengan struktur alam yang sementara sifatnya dan sentiasa melalui perubahan, manakala Parmenides kagum terhadap alam yang kekal sifatnya dan tidak mengalami perubahan. Parmenides berpendapat bahawa apa jua yang kelihatan sebagai perubahan pada alam adalah ilusi belaka. Lantaran sifatnya yang kekal abadi itu, maka alam ini tidak mengalami kemusnahan atau kejadian baru.

Kemunculan Plato dan Aristotle yang memisahkan dunia idea dan pendapat, merobohkan kubu falsafah Socrates dan zaman sebelumnya. Falsafah Plato merenggangkan alam sebenar yang wujud dengan alam yang kelihatan wujud dari sudut ontopologi. Untuk memahami manusia dan kewujudannya, segala ruang aktiviti manusia perlu dititikberatkan untuk dijadikan asas yang konkrit. Dengan hanya mengambil kira aspek metafizik dan mengetepikan dimensi ekonomi, sosial atau politik akan membatasi pemahaman yang sempurna mengenai alam wujud yang sebenar dan apa yang kelihatan sebagai wujud.

Falsafah, dalam takrifannya yang luas meliputi antara lain, hal-hal yang berkaitan tentang baik dan jahat, cantik dan hodoh; hidup dan mati. Dalam The Story of Philosophy, Will Durant menyenaraikan lima cabang falsafah iaitu logik, estetika, etika, politik dan metafizik. Logik ialah kajian mengenai kaedah yang ideal semasa berfikir yang betul. Estetika mengkaji bentuk yang ideal yang berhubung rapat dengan keindahan/seni. Etika ialah kajian kelakuan ideal yang mempersoalkan tentang baik dan jahat. Politik ialah kajian organisasi sosial yang ideal atau yang yang sebaik-baiknya (politik akan dikupas dengan lebih mendalam kemudian). Metafizik ialah kajian realiti mutlak bagi semua benda: mengenai sifat ‘jirim’ yang sebenar (ontopologi), mengenai ‘akal budi’ (falsafah psikologi), dan mengenai hubungan antara akal budi dan ‘jirim’ dalam proses persepsi dan pengetahuan (epitemologi).

Untuk memudahkan kita memahami apa yang dikatakan falsafah dapat dirumuskan bahawa falsafah adalah induk atau sumber segala ilmu. Daripada soalan-soalan falsafah akan muncul jawapan-jawapan pasti yang dijadikan ranting-ranting ilmu seperti botani, astronomi dan ekonomi. Segala apa yang tiada kepastian akan terbendung dalam falsafah.

Istilah ‘politik’ sering kali difahami hanya berlegar pada perkara-perkara kepartian, soal-soal hirarki pemerintahan dan aspek-aspek yang ada kaitan dengan jentera negara dan penyelenggaraannya. Di samping memaklumi maksud ini, istilah ‘politik’ yang digunakan di sini tidak menjurus secara total kepada maksud di atas, walaupun konotasi dan implikasinya tetap dihayati. Dalam ruang lingkup kupasan ini, pengertian istilah ‘politik’ diperluaskan untuk merangkumi soal kekuatan atau kuasa yang berpengaruh, yang justeru memungkinkan pendominasian.

Menyentuh soal dominasi dan pendominasian, antara dua perkara yang mengundang perhatian kita ialah pertama, mengenal pasti perkara dominan dan kedua, memahami mengapa dan bagaimana politik menjadi dominan dan terus mendominasi. Sesungguhnya kedua-dua perkara ini menarik untuk dibincangkan, tetapi keterbatasan waktu perbincangan dihadkan setakat ini.

“Mustika Diri-30-90”

Wednesday, May 13, 2009

Politik: Antara Realiti & Fantasi

Dr M. yang selama ini lantang mengkritik politik tanahair namun kebelakangan ini seakan-akan “berpuasa bercakap politik” khasnya berkaitan isu perkembangan kemelut politik di Perak. Malahan dalam tulisan terbaru beliau dalam blognya hanya berkaitan isu Bosnia Herzegovinia “Kita sudah lama tidak mendengar laporan berkenaan Bosnia-Herzegovina”. Mengimbas rentetan kemelut politik tanahair alaf baru yang bermula selepas PRU-12, kita melihat kelantangan Dr M. mengkritik kerajaan dan pemimpin politik khasnya kepimpinan mantan PM yang ke-5.

Jika kita perhatikan sejak kebelakangan ini suara Dr. M hanya sayup-sayup kedengaran berbicara soal politik terutamanya selepas PM ke-6 mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Apakah beliau sudah menemui jawapan bagi seribu satu persoalan khasnya berkaitan gagasan yang beliau ilhamkan “Wawasan 2020”. Mungkin juga dari sudut lain, melihat anakanda beliau Dato’ M telah mendapat ruang yang memungkinkan menjadi nakhoda bagi pelayaran politik dan kepimpinan negara kelak. Namun demikian hanya Dr. M yang tahu jawapannya.

Menyentuh kemelut politik di Perak, pagi ini saya terkejut apabila terbaca beberapa laman sesawang yang mengulas tentang Datuk Dr Zambry Abdul Kader yang mana menyamakan kedudukannya serta apa yang sedang berlaku di Perak sama seperti yang dialami oleh pejuang kemanusiaan Afrika Selatan dan Negarawan Dunia Nelson Mandela serta wira rakyat dan pejuang hak kesamaan manusia Mahatma Ghandi.

Sangat keterlaluan bagi Zambry untuk menyamakan dirinya dengan Mandela mahupun Ghandi apatah lagi untuk memetik ucapan pejuang hak asasi manusia Amerika Syarikat Dr Martin Luther King sebagai sesuatu yang nak membenarkan apa yang sedang dialaminya.

Melihat kepada keadaan politik di Perak yang seakan-akan hilang seninya...timbul satu persoalan besar; Bagaimanakah atau apakah bentuk penyelsaian hakiki kepada kemelut politik di Perak? Pagi tadi setelah bersembang dengan seorang kawan dan mengajukan soalan ini... kawan tersebut menjawap “soalan bocor”.

Tuesday, May 12, 2009

Zamry pula dapat perintah tangguh

Mantan MB BN Perak Datuk Dr Zamry Abdul Kader hari ini mendapat perintah dari Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi KL yang mengisytihar MB PR Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak yang sah.

Persidangan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini tidak dianggotai tiga orang hakim seperti sepatutnya tetapi oleh seorang hakim sahaja, Datuk Ramly Ali. Berikutan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan iu, maka kedudukan politik di Perak kembali kepada status kemelut dan kelam kabut. Siapa MB yang sah?

Awal-awal lagi peguam UMNO telahpun meminta Ir Nizar mengosongkan bilik atau pejabat MB. Apa akan berlaku selepas ini? Nampaknya, dunia akan terus dipertontonkan sandiwara politik yang melakonkan perebutan kuasa antara dua puak yang berlainan fahaman dan pendirian politik.


http://kudaranggi.blogspot.com/2009/05/zamry-pula-dapat-perintah-tangguh.html

Monday, May 11, 2009

Nizar menteri besar sah Perak

Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menggesa Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kair dan enam anggota exconya supaya melepaskan jawatan serta merta. Ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah.

Nizar kini dalam perjalanan pulang untuk memohon menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Nizar perlu mendapatkan persetujuan baginda bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan pilihanraya negeri yang baru. Sementara itu, seorang pembantu Zambry memberitahu media bahawa BN Perak akan menghormati keputusan mahkamah dan akan segera mengosong pejabat mereka. Sementara itu, dalam reaksinya, pemimpin DAP, Lim Kit Siang memuji keputusan tersebut. Menurutnya, ini merupakan kali pertama mahkamah memulihkan keyakinan rakyat terhadap bidang kehakiman. Bagaimanapun, BN masih mempunyai kelebihan di Dewan Undangan Negeri.

Manakala mahkamah tidak mengiktiraf pelantikan Zambry sebagai menteri, tetapi pelantikan Speaker baru DUN Perak, Datuk R Ganesan adalah masih sah. Ekoran itu, Ganesan boleh memanggil sidang khas DUN di mana usul tidak percaya oleh dikemukakan terhadap Nizar. Dengan sokongan '28 + 3' ADUN, berbanding 28 ADUN Pakatan, BN tidak menghadapi masalah untuk meluluskan usul tersebut.


http://www.malaysiakini.com/news/104055

Saturday, May 9, 2009

Glosari Kewangan - sekuriti

Belian Margin (buying on margin)
Pembelian Sekuriti menggunakan wang tunai untuk sebagian daripada urusniaga, manakala sebahagian lagi dipinjam,dengan sekuriti berkenaan dijadikan cagaran bagi pinjaman ini.

Belian Semula (buy in)
Pembelian semula sekuriti oleh pihak berkuasa pasaran kerana kegagalan pelabur berkenaan membuat penghantaran skrip sesuatu sekuriti yang dijual sebelum ini pada tarikh yang ditetapkan. Biasanya pembelian ini dilakukan pada suatu aras harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran yang wujud ketika itu.

Bentuk Kepala & bahu (head & shoulder formation)
Carta harga atau volum dalam analisis sekuriti yang seolah-olah menyerupai dua bahu dan satu kepala di tengah-tengahnya. Bentuk ini biasanya digunakan oleh pengalisis sebagai panduan menjual atau membeli sekuriti.

Bentuk W (w formation)
Pola carta dalam analisis teknikal yang berbentuk W yang menunjukkan dua aras harga terendah yang pernah dicapai. Bianya bentuk ini memberi petanda yang harga pasaran akan naik.

Bon (bond)
Sekuriti hutang yang mempunyai tarikh matang tertentu, yang membayar semula pokok pada akhir tempoh matang dan membayar faedah yang tetap secara berkala berdasarkan kadar kupon tertentu.

Bon Berkupon Penuh (full coupon bond)
Bon yang kadar kuponnya bersamaan atau hampir sama dengan kadar faedah semasa di pasaran.

Bon Berkusyen (cushion bond)
Bon yang dijual pada harga premium dengan kadar kuponnya lebih tinggi daripada kadar faedah semasa di pasaran.

Bon Berkupon Semasa (current coupon bond)
Bon yang kadar kuponnya bersamaan atau hampir sama dengan kadar faedah semasa di pasaran.

Bon Berlaras Dua (double barreled bond)
Bon majlis tempatan atau majlis berkuasa tempatan (municipal) yang pembayaran pokok serta faedahnya disokong atau dijamin oleh pihak berkuasa yang menerbitkannya, berserta dengan entiti yang lebih besar daripadanya, seperti entiti kerajaan negeri atau kerajaan pusat.

Thursday, May 7, 2009

Gurindam Kelebihan Bercakap Benar

Kalau diamal bercakap benar,
mulia peribadi akhlak bersinar.

Bohong menipu hasutan syaitan,
elok dihindar mengelak kejahatan.

Mahkota diri baik pekerti,
Sahabat taulan senang dekati.

Kata ditutur orang percaya,
bersih hati disirami cahaya.

Tulus bicara tidak berdusta,
tenangnya hidup tanpa sengketa.

Bercakap benar dalam perhubungan,
suasana harmoni kekal berpanjangan.

Bercakap benar bukti kejujuran,
tegak sentiasa tiang kebenaran.

Bercakap benar sepanjang masa,
amalan diperbaiki diampuni dosa.

Bercakap benar sempurna iman,
insan bertakwa hidupnya aman.

Bercakap benar banyak kelebihan,
amal ibadah diterima tuhan.


Dipetik Daripada penyair.wordpress.com/category/puisi-tradisional/

Hasil Nukilan:

NAZIM MOHD. SUBARI,
Endau, Johor.

Wednesday, May 6, 2009

Ke Manakah Arah Tuju Politik Iranun?

Politik bukanlah istilah baru dalam kamus hidup masyarakat Iranun. Ia juga merupakan perkataan ajaib dan penuh hikmat kerana ia boleh menyatukan masyarakat dan boleh memecahbelahkan masyarakat dalam konteks politik Iranun. Apabila berbicara soal politik, rasanya saya terlalu kerdil untuk mengungkap bicara dan telahan berkaitan isu politik namun demikian atas dasar tanggungjawab terhadap bangsa, saya terpanggil untuk mencoretkan secebis pandangan “arah tujuh politik Iranun”.

Berdasarkan pemerhatian saya terhadap sistem politik masyarakat Iranun, tidak kurang hebatnya berbanding kaum-kaum lain. Tan Sri Pandikar merupakan kayu pengukur pencapaian politik Iranun secara relatif. Sebut saja Tan Sri Pandikar... siapa tidak kenal? Beliau merupakan ikon besar politik Iranun. Namun demikian timbul satu persoalan besar yang memerlukan penelitian yang mendalam iaitu selepas Tan Sri Pandikar.... siapa??? Siapakah pemimpin yang boleh kita tonjolkan yang mempunyai semangat perjuangan berwajahkan Iranun, yang benar-benar berjiwa rakyat. Memang tidak dinafikan ramai dikalangan masyarakat Iranun yang mempunyai ketokohan sebagai pemimpin tetapi apa yang kita mahukan pemimpin yang terpimpin dengan ilmu perjuangan bangsa, berani serta berakhlak tinggi. Namun demikian jauh sekali untuk menafikan ketokohan para pemimpin dari kalangan masyarakat Iranun, saya akui bahawa kriteria ini memang ada pada kebanyakan pemimpin pelapis Iranun tetapi peluang membataskan mereka untuk maju ke pentas arus perjuangan politik perdana.

Berdasarkan senario politik kini, saya berat hati untuk menyatakan bahawa politik Iranun dilema persimpangan. Ini bukan bertujuan membuka pekung di dada tetapi inilah hakikatnya. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini tetapi pada fikiran saya kalau kita sangkal kenyataan ini wujudlah persoalan “KENAPA AKU TIPU AKU?

Pemimpin-pemimpin Iranun dewasa ini tiada kesepakatan dalam perjuangan. Masing-masing mahu kehadapan. Tidak salah untuk semua kehadapan. Tetapi dengan rendah diri, saya mencadangkan agar kita memilih seorang pemimpin yang boleh kita tonjolkan sebagai ikon kedua selepas Tan Sri Pandikar dan kesepakatan harus wujud demi survival politik Iranun.

“Usah menebas pohon pisang yang tumbuh subur menghijau, bajalah ia mungkin siapa tahu pisang tersebut boleh tersebut mendatangkan hasil yang diharapkan”. Dalam menempuh arus globalisasi politik, kita harus keluar dari kotak pemikiran zaman. Kalau lombong emas menjadi ukuran kekayaan dan kejayaan tetapi jangan lupa ada lagi satu lombong yang lebih menguntungkan iaitu lombong pemikiran. Nah!!! Kenapa kita tidak menggunakan lombong pemikiran sebagai cara bagi mewujudkan serta memantapkan agenda perjuangan politik Iranun.


“Sebatang anak tangga itu bukanlah dimaksudkan sebagai tempat merehatkan sebelah kaki sipemanjatnya, tetapi sekadar sebagai tempat berpijak sejenak cukup untuk membolehkannya meletak kaki yang sebelah lagi di suatu tempat yang lebih tinggi (Thomas Henry Huxley)”

Tuesday, May 5, 2009

RASUAH

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri serta bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “ memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Antara punca berlakunya rasuah ialah :

I. Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

II. Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

III. Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

IV. Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.

Sunday, May 3, 2009

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kontrak & Akta Rahsia Rasmi?

Undang-undang kontrak yang hendak dikupas adalah undang-undang yang terkanun di dalam Akta Kontrak 1950 (Disemak: 1974). Kecuali sekiranya dinyatakan sebaliknya. Akta ini merupakan enakmen semula Ordinan Kontrak (NNM), 1950 yang hanya terpakai dalam NNM. Akta semakan diperluaskan ke Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Apabila kita menggunakan istilah “kontrak” dari sudut undang-undang, kita takrifkannya sebagai perjanjian yang mengikat pihak yang terlibat daripada aspek perundangan: mengikut seksyen 2(h), kontrak adalah “suatu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang”. Oleh itu, semua kontrak mestilah berdasarkan kepada suatu perjanjian walaupun bukan semua perjanjian secara automatik menjadi kontrak. Bagi menjadikan sesuatu itu kontrak, maka perlu ada unsur-unsur selain perjanjian biasa. Unsur-unsur yang mesti ada ialah termasuklah ketentuan, balasan dan adanya niat untuk mewujudkan hubungan daripada aspek undang-undang di antara pihak-pihak yang berkontrak.

Kerajaan telah memperkenalkan Akta Rahsia Rasmi, 1972 (Akta 88) bagi tujuan memberi perlindungan undang-undang kepada ‘rahsia-rahsia rasmi’. Mengikut seksyen-seksyen 2 dan 2B Akta 88 (seperti pindaan di bawa Akta A 660/86), ‘rahsia-rahsia rasmi’ bermaksud sebarang dokumen, rekod keputusan dan penyampaian Jemaah Menteri atau Majlis Mesyuarat Kerajaan, dokumen-dokumen mengenai keselamatan negara, pertahanan dan perhubungan antarabangsa dan sebarang maklumat dan bahan berkaitan dengannya termasuklah juga sebarang dokumen rasmi, maklumat dan material yang dikelaskan ‘Rahsia Besar’, ‘Rahsia’, ‘Sulit’ atau ‘Terhad’ sama ada oleh seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau penjawat awam yang dilantik oleh mereka itu.

Akta 88 ini juga meliputi dokumen-dokumen dan bahan-bahan badan berkanun (seksyen 2 Akta). Mengikut seksyen 2 itu juga, takrif ‘dokumen’ termasuklah, sebagai tambahan kepada dokumen yang ditulis, ialah juga peta, pelan, model, geraf, lukisan, gambar, disk, pita, trek suara dan seumpamanya, filem, dan seumpamanya. Dan ‘bahan’ pula termasuklah sebarang alatan, perkakas atau objek. Jika jika perhatikan senarai itu, sebahagian daripada dokumen tersebut terdapat dalam milik pegawai yang menguruskan projek pembinaan, yakni memilikinya secara ‘corpus possesionis’ (yakni dalam kawalannya)(Bird, R. 1986), seperti pelan, peta, bil kuantiti, anggaran harga, anggaran peruntukan kewangan, dan lain-lain lagi).