PRU-12 merupakan detik permulaan tafsiran politik alaf baru para politikus Malaysia. Pelbagai kritikan, idea, cadangan dan komen telah dikeluarkan dari kotak pemikiran para penganalisis politik berhubung PRU-12. Ramai yang melontarkan pandangan bahawa ini satu perkembangan sihat dalam situasi politik tanahair yang memperlihatkan kesuburan demokrasi telah wujud dan telah diterjemahkan dalam PRU-12. Walapun demikian tidak kurang juga penganalisis politik yang berpendapat bahawa keputusan PRU-12 hanya sebagai cara rakyat meluahkan perasaan terhadap ketidakpuasaan hati mereka terhadap wakil-wakil rakyat setempat dan mungkin dengan cara ini akan menyedarkan para pemimpin mereka terhadap keperluan serta keinginan para pengundi untuk didengari. Namun apa yang pasti keputusan PRU-12 sedikit-sebanyak telah mengganggu-gugat kestabilan politik negara. Lantaran daripada itu para pemimpin kanan parti pemerintah telah mendesak agar perubahan drastik mesti dilakukan segera demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti pemerintah.
Bertitik tolak daripada keputusan PRU-12, kita telah diperlihatkan dengan pelbagai sandiwara politik oleh politikus demi kepentingan survival politik mereka. Seringkali rakyat disajikan dengan menu yang sama.... antara hidangannya pilihanraya kecil yang tidak bernoktah. Pembangkang telah mengekploitasi sepenuhnya keputusan PRU-12 dengan mengadakan pelbagai bentuk gerakan politik demi mencapai impian master-mind mereka untuk menjadi pemimpin no. 1 negara. Tetapi timbul satu persoalan besar mampukah tiga parti tunjang utama pembangkang yang membentuk satu pakatan yang mempunyai tiga orang pemimpin yang berlainan selera politik, membentuk kerajaan impian rakyat? Bolehkah rakyat Malaysia percaya barisan pembangkang yang mempunyai dasar perjuangan yang berlainan?
Dalam keadaan sebegini menuntut kebijaksanaan politik daripada semua politikus dalam membuat keputusan politik demi kepentingan rakyat seperti kata pepatah “jangan sampai menang jadi arang, kalah jadi abu”. Isu-isu berkaitan politik kini semakin kronik, dan pasaran saham pun tidak stabil dan sering menimbulkan kegusaran keyakinan terhadap pasaran Malaysia. Ini memberi kesan kepada para peniaga atau usawahan IKS, badan-badan korporat serta seluruh agensi yang terlibat dalam pemacuan ekonomi Malaysia akan merasa tempiasnya nanti.
Saya tidak merasakan perkembangan positif dapat dibuat dalam masa terdekat ini kerana kestabilan politik tidak begitu baik berbanding sebelum PRU-12. Namun demikian saya menaruh harapan yang cukup tinggi bahawa saatnya akan tiba dimana kestabilan politik dapat dikembalikan kerana pandangan ini disandarkan dengan peralihan kuasa baru-baru ini. Dengan berlakunya peralihan kuasa ini dapatlah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti pemerintah dan parti pemerintah harus bersedia membuat perubahan dan memahami suara rakyat.
No comments:
Post a Comment