Monday, April 27, 2009

PENDEKATAN TAUHID DALAM PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

Pengurusan dan pentadbiran menggunakan pendekatan tauhid merupakan satu kaedah yang berpaksikan tauhid kepada Allah S.W.T untuk membina peradaban yang diredai oleh Allah S.W.T. Ia bertanggungjawab menghapuskan ‘al-fasad’ iaitu kerosakan berupa rasuah, penyelewengan, kezaliman dan penindasan yang mampu melumpuhkan sistem pentadbiran dan pengurusan apa jua organisasi di muka bumi ini. Bencana yang menimpa masyarakat Islam dewasa ini tidak lain berpunca daripada kurangnya pengukuhan ilmu tauhid dalam diri seseorang pekerja muslim. Malah, kerosakan aqidah mereka lebih ketara apabila diracuni dengan kefahaman meterialisme yang mengutamakan kepentingan duniawi melebihi segala-galanya.

Memahami tauhid akan menyelamatkan diri seseorang individu dan pentadbir daripada menjadi hamba kepada harta benda. Mereka pasti tidak lalai daripada tugas dan kewajipan yang diamanahkan demi semata-mata untuk keredaan Allah S.W.T. Mereka mencari rezeki yang halal dan membelanjakannya pada jalan yang boleh menghampirkan dirinya kepada Allah S.W.T.

Memahami tauhid boleh membentuk manusia supaya tidak bertuhankan nafsu. Ini disebabkan nafsu itu sendiri adalah salah satu daripada kurniaan Allah yang dianugerahkan kepada manusia untuk menyempurnakan sifat dan kejadian manusia. Nafsu dijadikan sebagai ujian kepada manusia untuk membezakan siapakah yang beribadah kepada Allah S.W.T dan siapakah yang pula kufur atau bertuhankan nafsu.

Mereka yang berpegang kepada tauhid ini selama-lamanya tidak akan diperhambakan oleh manusia melalui apa cara sekalipun. Ia tidak akan menjadi pengampu dan menjadi orang suruhan oleh sesiapa sahaja untuk untuk mendapatkan tempat, keutamaan dan perhatian. Ini disebabkan oleh keyakinannya bahawa segalanya itu menjadi hak milik mutlak Allah S.W.T dan manusia hanya menjadi sebagai pemegang amanah sahaja.

No comments: