Friday, March 20, 2009

Antara Adat Dan Ritual: Perkahwinan Dan Kematian Dalam Masyarakat Iranun


Masyarakat Iranun sangat berpegang kepada adat yang diwarisi turun-menurun dari nenek moyang. Perlanggaran adat merupakan sesuatu perbuatan khianat dan sumbang kepada bangsa. Adat ini berdasarkan kedudukan individu dalam hirarki sistem kemasyarakatan Iranun. Contohnya masyarakat Iranun dari golongan bawahan seperti yang digelar oripen maka tidak boleh mengadakan upacara keramaian seperti golongan Datu.

Peghaing (Perkahwinan) dalam tradisi Iranun, sama juga dengan masyarakat Islam yang lain, iaitu ghaing (kahwin) dalam masyarakat Iranun hendaklah berlandaskan ajaran Islam. Pertama dalam adat perkahwinan Iranun, selepas pihak lelaki menetapkan perempuan yang bakal dipinang terdapat beberapa peringkat yang perlu dilalui iaitu:

  • Panunuriman saatib (merisik)

Peringkat ini beberapa wakil yang dilantik oleh keluarga lelaki akan berjumpa dengan keluarga pihak perempuan. Dalam perjumpaan tersebut pihak lelaki akan cuba menyiasat samada pihak perempuan sudah berpunya atau belum, sekiranya belum berpunya maka wakil pihak lelaki akan menyampaikan hasrat lelaki tersebut yang mana hasrat tersebut disampaikan dalam nada bayuk (istilah pantun dalam bahasa Iranun

  • Pagidsah-idsah (Hari Peminangan Sebenar)

Pada hari pagidsah-idsah pihak lelaki akan membawa rombongan yang ramai untuk membuat perundingan serta menetapkan syarat-syarat perkahwinan berdasarkan adat iaitu kedudukan keluarga perempuan dalam hirarki masyarakat Iranun. Antara adat tersebut ialah pelit, sewakah , betang, bengah, pangerang, getas arirai yang semuanya ini dikira dalam unit pikul. Semakin besar bilangan pikul tersebul maka menandakan pihak perempuan tersebit datang dari keluarga yang berdarjat tinggi.

  • Dalam perkahwinan juga tersebut satu istilah yang dalam bahasa Melayu kalau tidak silap saya dipanggil langkah bendul maka dalam bahasa Iranun dipanggil palangkadan iaitu pihak terpaksa membayar denda yang dikenakan sekiranya meminang perempuan yang mempunyai kakak yang masih belum pernah berkahwin. Satu lagi istilah iaitu sikendoh atau palagoya (kahwin lari) yang merupakan satu perbuatan yang sangan dibenci oleh masyarakat Iranun. Sikendoh terjadi apabila lelaki dan perempuan pergi berjumpa imam, orang tua (ketua kampung) atau waris terdekat dengan tujuan minta dikahwinkan. Kesannya mereka ini akan dikutuk oleh masyarakat dan mereka terpaksa pamamanikan (memohon maaf secara dari rumah ke rumah keluarga mereka) untuk merayu kepada masyarakat supaya memaafkan mereka.

Semasa kematian juga terdapat beberapa perkara yang menjadi kelaziman masyarakat Iranun namun demikian ia tidaklah sampai menyalahi ajaran Islam. Perkara kelaziman tersebut adalah:

  • Mengumumkan kematian dalam Iranun dibezakan berdasarkan darjat simati dalam hirarki masyarakat Iranun. Apabila orang yang meninggal tersebut terdiri daripada kalangan orang biasa maka ia diumumkan mengunakan pukulan taboh (beduk), apabila mendengar paluan taboh tersebut maka masyarakat faham berlakunya kematian orang biasa. Bagi kematian dikalangan yang berdarjat tinggi seperti Datu maka kematiannya diumumkan melalui paluan gong dan bebendir yang dipanggil baluh atau pembaluan.
  • Seterusnya memandikan mayat, menurunkan mayat serta pengebumian mayat. Namun ada sesuatu perkara yang unik untuk dikongsi bersama iaitu tungguh sakuburan (menjaga kuburan) yang mana masyarakat Iranun tidak akan meninggalkan mayat yang baru dikebumikan begitu sahaja tetapi akan menjaga kuburan 24 jam sekurang-kurangnya selama tujuh hari. Namun demikian bagi golongan Datu, sekurang-kurangnya 21 hari atau paling lama 40 hari. Dalam masa tujuh hari kematian tersebut, setiap malam keluarga simati termasuk masyarakat kampung akan berkumpul di rumah tempat berlakunya kematian dan sepanjang tujuh malam berturut-turut akan diadakan bacaan tahlil dan pangadih sabangkai-bangkaian dan mereka juga akan berjaga setiap malam. Pada hari ketujuh atau pitu ah gawi, kenduri arwah akan diadakan serta pendulang, iaitu memberi sedekah kepada yang datang berbentuk makanan dalam bungkusan. Pada kesupuluh akan diadakan juga kenduri arwah dan seterusnya pada hari kedua puluh atau tengah ah paat puluh kenduri arwah akan dilakukan sekali lagi bersama bacaan tahlil. Seterusnya pada hari keempat puluh jenazah dikebumikan serta pada hari kelima pulah atau tengah ah gatusan kenduri arwah sekali dilakukan. Menjelang keseratus hari jenazah dikebumikan maka kenduri gatusan akan diadakan. Seterusnya pada ulang tahun kematian, kenduri untuk temegan akan diadakan.
  • Dalam soal kematian, masyarakat Iranun sangat bertimbang rasa dan menghormati waris simati. Perkara ini diterjemahkan dalam bentuk adat iaitu adat perkabungan. Menurut adat apabila berlaku kematian rakyat biasa daripada kalangan orang Iranun, maka tidak sesiapapun tidak dibenarkan melakukan keramaian atau peghalilang dalam masa 3 bulan (tetapi sekarang telah diubah hanya 20 hari sahaja). Bagi kematian daripada kalangan Datu maka sesiapapun tidak boleh melakukan keramaian atau peghalilang dalam masa 12 bulan (namun dewasa ini 40 hari sahaja). Sesiapa yang mengadakan khalilang atau majlis keramaian besar-besaran dalam tempoh tersebut maka akan didenda kecuali mendapat keizinan daripada waris simati.

No comments: