Tuesday, May 22, 2012

FORMULA 2:1:1 SEBAGAI PENGIMBANG DAN PENUTUPAN LOMPANG POLITIK ANTARA SUKUBANGSA KOTA BELUD

Semua orang boleh menjadi pentadbir tetapi bukan semua boleh menjadi pemimpin. Menjadi pemimpin kepada mana-mana pertubuhan atau parti politik tidak sama dengan menjadi pemimpin kepada masyarakat. Untuk menjadi seorang pemimpin yang benar-benar boleh memperjuangan aspirasi masyarakat  yang dipimpinnya bukanlah suatu perkara yang senang. Untuk itu, seseorang pemimpin yang berkesan hendaklah menguasai kemahiran- kemahiran tertentu, mengamalkan tingkah laku yang sesuai dengan memadankannya dengan keadaan-keadaan tertentu. Dalam konteks ini ada pepatah arab mengatakan bahawa “jika engkau terlalu keras, nanti engkau dipatahkan. Jika engkau terlalu lembut, nanti engkau diramas. Justeru bertindaklah secara sederhana kerana sederhana itu adalah bijaksana”.

Berbicara dalam konteks UMNO Kota Belud. UMNO pada paparan cermin kelihatan segak dan bergaya. Parti itu kelihatan tenang. Namun akhirnya seperti dijangka ada kekalutan. Permainan Politik yang dipertontonkan oleh beberapa orang tokoh pemimpin di Kota Belud adalah sangat halus sehingga ada yang menganggap bahawa hubungan mereka yang terlibat suatu dinamis yang bermasalah, ini samada hubungan sesama pemimpin pertengahan mahupun dengan pemimpin peringkat akar umbi. Adakah ini benar? Sebagai contoh terdapat beberapa program yang dilaksankan dan bakal dilaksanakan tanpa melalui atau tidak  berkerjasama dengan pemimpin peringkat akar umbi. Mungkin agaknya sudah terbiasa pakai payung terjun, menurut seorang pemimpin akar umbi ketika minum pagi bersama penulis. Inikah ‘politik mendidik’ yang ingin ditonjolkan oleh pemimpin berkenaan kepada pemimpin peringkat akar umbi. Justeru, pemimpin yang inginkan dinamika dalam kempimpinan perlu memahami ‘part and parcel of politics’. Namun apa yang cuba disampaikan di sini oleh penulis bukanlah lompang kepimpinan. Penulis sebenarnya cuba mengajak pembaca melihat kembali kesan penafian Formula 2:1:1 yang mengakibatkan wujudnya lompang politik di antara sukubangsa di Kota Belud.

Kita tidak perlu bersembunyi dan tidak perlu mengelakkan diri dari menangani isu lompang politik ini. Apakah dia lompang ini. Lompang ini adalah tuntutan Sukubangsa Iranun di Kota Belud supaya diwakili dalam saf kepimpinan parti pemerintah melalui semangat toleransi dalam setiap kali menjelangnya PRU.

Jawapan kepada wujudnya lompang politik  antara sukubangsa di Kota Belud telah diketahui. Formula 2:1:1 merupakan suatu keperluan satu bagi menutup lompang politik yang kini wujud diantara sukubangsa di Kota Belud. Walaupun PRU-12 telah menyaksikan penafian perlunya formula berkenaan atas dasar pemimpin atasan beranggapan pemimpin pertengahan yang dicalonkan boleh memainkan peranan tersebut namun pengembalian formula berkenaan dijangka dapat menutup lompang politik tersebut. Lompang politik ini seperti yang telah sedia maklum wujud kerana kerana atas faktor terdapatnya dasar kesukuan yang masih wujud diantara sukubangsa di Kota Belud bahkan di Malaysia amnya. Impian pihak-pihak tertentu untuk menguasai parti pemerintah atau UMNO melalui kaedah pencalonan mee segera atau payung terjun dengan bercagar kepada kekuatan melobi atau cable nyata menikam UMNO hinggah mengakibatkan kalah bagi beberapa daerah-daerah mengundi yang majoritinya terdiri daripada sukubangsa Iranun pada PRU-12.

Dalam kekalutan pengaruh cable candidates untuk mengatur strategi menguasai daerah kepimpinannya agar segerabak dengannya tiba-tiba sana sini rakyat mula menagih kewajipanya ditunaikan. Kepimpinannya mula menuntut agar prinsip perjuangannya tidak dicela. Pemimpin peringkat akar umbi di daerah kepimpinan telah mula mempersoalkannya. Penyokongnya mula goyah kerana kepentingan mereka di daerah kepimpinannya tidak menjadi agenda besar bagi menidakkan tanggapan prestasi pemimpin berkenaan sebelum ini. UMNO cukup bernasib baik kerana Pakatan Rakyat masih belum berpadu dalam ertikata perjuangan dalam penyatuan politik.  Para pemimpin Pakatan Rakyat masih dalam adunan. Masih kepanasan dan melecur. Masing-masing tidak peduli sesama sendiri kerana ingin mengubati parah kelecuran.

Jika Pakatan Rakyat memperolehi majoriti mudah dan memiliki kepimpinan yang kuat, utuh maka pada hemat saya, legasi UMNO Kota Belud akan berkubur tanpa nisan. Sekiranya pemimpin berkenaan masih terbawa-bawa dengan prinsipnya maka dia akan menjadi seperti Sukarno. Memang dia petah berucap tetapi ia tidak cukup untuk membeli undi rakyat yang menagih sejahtera. Sukarno berjaya bertapak lama dalam politik Indonesia kerana aras pendidikan rakyatnya pada masa itu masih setara dengan kehendak politik semasa. Dengan taraf pendidikan rakyat terutama bagi generasi muda Malaysia kini maka pemimpin berkenaan tidak boleh bertahan lama dengan prinsipnya itu.

Menuding jari untuk menunjukkan kesalahan orang lain khasnya pemimpin akar umbi UMNO dengan gagalnya mendapat majoriti di beberapa daerah mengundi pada PRU-12 memang mudah tetapi rakyat juga ingin melihat prestasi dan kelainan gaya pemerintahan bagi pemimpin berkenaan. UMNO Kota Belud perlu sedar sekiranya UMNO hilang kepercayaan rakyat maka impian UMNO turut terkubur. UNMO hanya ghairah memancing tetapi di luar sedar, penyokongnya juga akan masuk jaring atau lari kerana pertentangan prinsip.

Hakikatnya PAS sebagai Parti "All Islam" dan DAP sebagai Parti "All Chinese" dapat diimbangi dengan kehadiran PKR sebagai "multi racial political establisment". Tidak dapat tidak kita harus mengakui hakikat pengaruhnya terhadap rakyat Sabah dengan slogan “INI KALI LAH!!” sebagai  dimensi yang memungkin merubah landskap poltik di Sabah dan khasnya di Kota Belud. Menolak Formula 2:1:1 secara langsung memungkinkan kita kehilangan beberapa kelompok pengundi yang memegang pada prinsip pengagihan kuasa dan kesamarataan. UMNO harus mengakui bahawa Sukubangsa Iranun ini wujud dan kolompok ini memainkan peranan penting dalam mempengaruhi undi di Kota Belud dan ini harus di jadikan ikhtibar untuk PRU-13.


1 comment:

SUARA RAKYAT said...

Tulisan cantik. cuma,, mengenai soekarno... soekarno bukan ditolak rakyatnya... soekarno.. memberi kuasa kepada soeharto berasaskan SUPERSEMAR (surat perintah sabelas maret) untuk memerintah ekoran cubaan komunis merampas kuasa melalui G30SPKI....ramai para jeneral terbunuh di Lubang Buaya.. Halim Perdana kusumah.