Sunday, May 13, 2012

POLITIK BARU PERLU PENUHI HAK KEADILAN KEPADA SEMUA RAKYAT

Memadangkan wacana ‘politik baru’ boleh dikatakan masih diperingkat perkenalan dari sudut perkembangannya, masih ramai yang masih belum dapat menanggapinya dengan jelas. Oleh kerana itu, kita sering memberikan contoh bagaimana fenomena Revolusi Arab baru-baru ini sebagai salah satu dari peristiwa yang boleh menjadi asas untuk kita menanggapi apa yang dikatakan sebagai ‘politik baru’.

Dalam peristiwa tersebut, gambaran tentang peralihan pemikiran masyarakat Arab dari kerangka politik yang bercorak lama kepada baru amat ketara. Sebelum revolusi Arab, corak pemikiran masyarakat banyak dipengaruhi oleh isu-isu berkenaan ideologi, pembangunan dan keselamatan. Sekiranya kita meneliti perkembangan diskusi pemikiran di negara-negara Arab dalam era 70an hingga 90an, isu-isu yang dinyatakan tersebut amat mendominasi pemikiran rakyatArab.

Sepanjang dekad-dekad tersebut, kita menyaksikan pengalaman pertembungan ideologi yang amat ketara antara negara-negara Arab terutama di antara fahaman kapitalisme dan komunisme. Pertembungan ideologi dan fahaman ini mempunyai kaitan langsung dengan isu keselamatan dan kepentingan pemerintah. Para pemerintah Arab pada waktu itu sanggup berbuat apa sahaja bagi mengekang pengaruh pemikiran yang boleh mencabar kedudukan mereka sehingga ke tahap perperangan saudara sebagaimana terjadi antara Iran dan Iraq.

Kesibukan para pemerintah Arab tentang hal ehwal dalaman dan pertembungan ini memberi kesan tersendiri terhadap aspek kualiti pemerintahan mereka. Banyak persoalan sosio-ekonomi tidak diberi perhatian sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakatnya. Ini menjadikan isu berkaitan pembangunan, pendidikan dan kebajikan dibahaskan secara berpanjangan dalam masyarakat terutama bagi memastikan rakyat mendapat perluang partisipasi secara adil dan dapat memanafaatkan hasil minyak yang diperoleh secara setara. Begitulah antara beberapa persoalanyang menjadi persoalan utama dalam wacana politik sepanjang beberapa dekad sebelumini di rantau Arab.
Namun, bermula alaf baru, berlaku peralihan dalam wacana politik di dunia Arab. Hal ini disumbangkan oleh banyak faktor persekitaran dunia terutama periswa-peristiwa besar yang berlaku secara dekat disekeling mereka. Tentu kita masih mengingati peristiwa pengeboman bangunan berkembang di New York pada 11 September 2001. Tragedi yang menyayat hati ini yang dikutuk oleh seluruh masyarakat dunia, memberi kesan tersendiri dari sudut pemikiran terhadap masyarakat Arab secara khusus dan masyarakat dunia umumnya.

Peristiwa ini boleh dikatakan antara titiktolak yang telah mengalihkan perhatian para penggubal dasar, ahli politik,warga akademik dan kumpulan masyarakat sivil di rantau Arab terhadap persoalan-persoalan asasi dalam kehidupan harian masyarakat yang sebelum ini sering diabaikan dalam wacana peringkat nasional dan antarabangsa. Persoalan tentang hak dan keadilan untuk kumpulan yang dilihat sebagai minoriti dalam sistemgeo-politik dunia pada waktu itu mula mendapat perhatian kepimpinan di segenapperingkat.

Dalam tragedi 11 September ini sebagai contoh, ia telah menonjolkan perjuangan satu minoriti yang berasaskan ideologi agama yang ingin menuntut keadilan dengan caranya yang tersendiri terhadap ketidakadilanyang sedang berkembang dalam masyarakat dunia semasa. Bagi kumpulan ini, keadaan dunia akan menjadi lebih adil sekiranya sistem politik yang berteraskan corak neo-kolonialisme dapat diruntuhkan. Ia membahaskan tuntutan keadilan untuk negara-negara kecil seperti Palestin yang telah diabaikan sekian lama oleh sistem politik dunia sebelum ini.

Kita tidak bercadang untuk mengupas betul atau salah perjuangan kumpulan ini. Apa yang ingin ditonjolkan ialah gerakan kumpulan ini sedikit sebanyak dikatakan juga telah memercikkan semangat perjuangan terhadap kalangan individu dan kumpulan-kumpulan minoriti di rantau Arab untuk menuntut hak dan keadilan yang selama ini dikesampingkan oleh para pemerintah mereka.

Asas kepada keperluan menuntut hak-hak keadilan ini bagi kumpulan masyarakat ini kuat dan terserlah kerana layanan dan tekanan yang terlalu keras oleh pemerintah merela telah dilalui sekian lama. Tuntutan dan perjuangan ini telah dipermudahkan oleh perkembangan komunikasi baru dunia. Semangat dan kesedaran terhadap hak dan keadilan yang wajib dituntu tersebar meluas dan pantas sehingga tidak mampu lagi ditangani oleh para pemerintah. Kesedaran baru yang tumbuh mendorong kebangkitan rakyat. RevolusiArab ialah sebuah gelombang kesedaran tentang cita-cita bagi menuntut hak dan keadilan untuk dipenuhi dan dihormati oleh para pemerintah. Inilah antara latar yang menyumbang kepadakelahiran wacana politik baru pada hari ini.

Secara umum kita boleh mengatakan wacana politik baru ialah sebuah gerakan idea yang bertujuan bagi membangunkan satu kerangka pemikiran baru yang lebih terbuka, luas dan menyeluruh terutama di dalam bidang ketatanegaraan dan pemerintahan. Menerusi kerangka baru pemikiran politik ini, semua pihak tanpa kecuali akan berpeluang mendapat ruang secara berperlembagaan untuk tumbuh secara kreatif tanpa sebarang sekatan dan halangan yang tidak sah.Tiada lagi individu atau kumpulan yang terpinggir. Oleh kerana itu, isu-isu seperti prinsip demokrasi, keadilan, kebebasan dan kesetaraan menjadi antara tema utama baru dalam wacana politik baru.

Para pemerintah di rantau Arab hari ini harusberdepan dengan perubahan pemikiran masyarakatnya. Mereka tiada pilihan lain kerana semangat dan kesedaran jatidiri rakyatnya tentang hak dan kesaksamaan kini bertambah tinggi. Sekiranya hak-hak setiap rakyatnya tidak dipenuhi secara terhormat, masa depan pemerintahan mereka akan menjadi bahan persoalan dan taruhan. Begitulah antara iktibar pemikiran yang boleh terus dikutip dalam peristiwa revolusi Arab kepada kita di negara tercinta ini.

 Oleh Muhamad Razak Idris


No comments: