Berfikir Kritikal
Oleh DR. SIDEK BABA
ISTILAH kritikal berasal dari perkataan Greek kritikos yang bermaksud judge atau menghakimi atau mengadili. Dalam tradisi orang-orang Greek dan Yunani, ia melahirkan pemikir-pemikir yang amat kritikal terhadap sesuatu subjek dan akhirnya menjadi ahli falsafah yang terkenal.
Barat menjadikan asas berfikir Aristotle, Plato dan Socrates sebagai landasan mengembangkan ilmu dan kehidupan. Dalam tradisi orang-orang Islam pemikiran kritikal memang menjadi landasan dalam membuat sesuatu keputusan, tafsir dan takwil . Menafsir al- Quran dan hadis dilakukan secara kritikal supaya hasil pemikiran selari dengan kebenaran. Kebenaran dalam Islam merujuk kepada sumber naqliah atau sumber wahyu. Wahyu adalah autoriti atau wibawa yang tertinggi dalam memandu manusia berfikir supaya kebenaran yang diterima tidak saja zahir tetapi memberi makna yang hakiki.
Berfikir secara kritikal membimbing pemikir ke arah kebenaran. Puncak kepada berfikir menemukan manusia mengenai kebenaran. Proses berfikir kritikal membolehkan seseorang membezakan yang benar dengan yang salah, yang buruk dengan yang baik, yang bermanfaat dan bermusibat, yang memberi faedah atau mendatangkan padah dan sebagainya. Sudah tentu asas yang memberikan kemampuan seseorang berfikir kritikal ialah ilmu, maklumat, pengalaman, pertukaran pandangan dan dalam tradisi Islam diakhiri dengan hikmah. Hikmahlah merupakan jalan terbaik membimbing manusia menemui kebenaran.
Para remaja adalah kelompok yang terbaik dilatih untuk berfikir kritikal. Kemajuan ilmu dan pemikiran atau idea bergantung kepada wujudnya suasana yang mengizinkan pemikiran kritikal berlaku. Apalagi untuk melahirkan modal insan yang berkualiti kemahiran berfikir secara kritikal adalah amat dituntut. Remaja bakal menjadi dewasa dan bakal memegang teraju kepimpinan dan pengurusan ilmu, sistem dan negara pada masa depan.
Amat penting remaja hari ini dididik dengan kemahiran berfikir yang kritikal supaya jenis cabaran yang dinamik berubah tidak menjadikan remaja gelabah untuk mencari arah diri dan arah tujuan dalam mengurus manusia dan kemanusiaan.
Di zaman pasca moden ini faham anarki (ketidakaturan) berkembang pesat dalam pemikiran, kesenian, bahasa, kebudayaan malah gaya hidup manusia. Globalisasi yang datang menjadi pemangkin terhadap jalur anarki. Kemajuan sains dan teknologi menyebabkan faham anarki semakin mengukuh dengan melebarkan jaringan komunikasi dan telekomunikasi dan akhirnya membentuk suatu budaya popular yang menghubungkan sesuatu dengan konsep realiti.
Konsep realiti sudah mula menolak jalur tradisi dan akhirnya bakal menjinjing manusia kepada kesamaran hala tuju hidup.
Untuk menjadikan remaja berfikir secara kritikal, pemahaman terhadap tradisi perlu kukuh, asas ilmu harus teguh, sikap terbuka terhadap perbezaan perlu ada, ketelitian terhadap fakta dan data perlu wujud. Kesediaan diri untuk dikritik dan mengkritik juga perlu ada. Tanpa asas ini pemikiran kritikal tidak akan berkembang. Pemikiran kritikal memandu remaja berfikir secara teliti, analitikal dan berupaya memberikan hujah-hujah yang baik dan bernas apabila fakta itu didapati tidak benar atau diolah dengan dangkal atau tidak berasaskan maklumat yang sahih dan jitu.
Perubahan
Menghadapi perubahan ruang dan waktu, para remaja tidak harus mengambil sikap menolak tradisi. Tradisi adalah mata rantai yang membangun tamadun. Kemajuan yang dicapai pada hari ini adalah hasil adanya tradisi berfikir dan berilmu yang menjadi tapak atau titik-tolak keunggulan ilmu pada masa lalu. Tidak mungkin apa yang akan berlaku pada masa depan tanpa tapaknya terbina di hari ini. Pemahaman terhadap tradisi ialah sesuatu yang berkesinambungan. Asas-asas yang baik dijadikan teladan dan mengembangkan budaya hidup yang beradab dan subur dengan nilai kemanusiaan.
Kemahiran yang perlu ada pada remaja di samping memahami dan menghargai tradisi ialah mengurus perubahan.
Dalam Islam yang berubah itu ialah bentuk atau sesuatu yang dikaitkan dengan kemajuan alat. Fitrah kehidupan tetap sama. Sejak zaman Nabi Adam sehinggalah ke zaman Nabi Nuh, Lut, Isa, Musa dan Nabi Muhammad dua perkara yang menjadi asas kecenderungan manusia iaitu sama ada manusia kekal berada dalam fitrah atau manusia yang melampaui batas fitrah. Alat yang digunakan dengan maksud yang baik bakal mengukuhkan fitrah manusia tetapi alat yang digunakan untuk maksud yang tidak baik boleh merosakkan fitrah manusia yang asalnya baik. Risalah nubuwah atau keNabian bermaksud mengajak manusia kembali dan kekal dalam keadaan fitrah. Manusia diberikan pedoman mengenai alam nyata dan alam ghaib, mengenai yang dicipta dan Pencipta, hubungan yang dicipta dengan persekitarannya supaya kebenaran yang hakiki menjadi asas membangunkan manusia dalam keadaan yang fitrah.
Sebagai remaja Islam, asas ilmu Mengurus Diri dan asas ilmu Mengurus Sistem perlu kukuh. Serangan fahaman sekular dan liberal masa kini boleh menjerumuskan kecenderungan kritikal kepada faham anarki. Banyak masalah kehidupan yang dialami oleh orang Barat yang berkembang hasil penolakan mereka terhadap hidup yang fitrah. Isu-isu seperti hak asasi, gender, feminisme dan pandangan terhadap agama lahir kerana asas berfikir mereka tidak lagi dipedoman oleh agama. Agama bagi mereka tidak relevan dan menganggap ‘Tuhan sudah mati’.
Sebahagian remaja dan dewasa apabila terdedah dengan orientasi ilmu Barat yang menolak agama, tiba-tiba menjadi ‘orientalis baru’ yang mengkritik asas keagamaan yang dianut oleh orang-orang terdahulu mahupun orang-orang terkini. Menghubungkan sesuatu dari Barat sebagai maju dan mengaitkan sesuatu yang datang dari agama sebagai kolot tidak datang dari daya kritis yang baik. Kalau begitu apa asas yang menyebabkan tamadun Islam berkembang berabad-abad sehingga Barat terhutang ilmu kepada Islam.
Hari ini, umat Islam menjadi pengguna kepada ilmu dan teknologi Barat.
Kemunduran umat Islam pada hari ini secara kritisnya berpunca dari renggangnya hubungan umara (pemimpin) dengan ulama' atau ilmuan. Umara' atau kepimpinan kini cenderung menjadikan Barat sebagai model terbaik dalam pembangunan dan kemajuan dan kurang cenderung memperkasa tamadun sendiri. Sebahagian besar ulama memiliki keupayaan yang baik mengenai ilmu Mengurus Diri tetapi amat kurang kepakaran dalam Ilmu Mengurus Sistem. Akhirnya dikotomi umara dan ulama melahirkan konflik yang bakal memberi kesan terhadap kesatuan umat.
Kedua, ilmu yang diteroka oleh generasi muda Islam tidak sifatnya integratif. Falsafah dan etika ilmu Mengurus Sistem tersisih dengan nilai-nilai murni Ilmu Mengurus Diri. Ia menyebabkan konflik keilmuan yang berterusan dan merugikan. Ketiga, tradisi tadabbur atau penyelidikan tidak berkembang, menyebabkan tidak lahirnya penemuan-penemuan dan karya-karya besar untuk dijadikan rujukan umat. Keempat kegagalan menjambatani tradisi turath atau menghayati kitab-kitab lama dengan metodologi baru dalam karya-karya terkini yang menyebabkan karya-karya terkini lebih dominan menguasai minda remaja dan generasi baru.
Bersikap kritis terhadap ajaran dan pengajaran dalam tradisi Islam tidaklah ditolak dan bersikap kritis terhadap watak umat Islam memang dialu-alukan. Tetapi kritis terhadap kebekuan dan tidak berkembangnya ilmu Islam bukan bermakna ajaran Islam itu tidak berdaya maju. Bersikap kritis kepada amalan umat Islam adalah perlu. Tidak semua amalan yang berlaku sama ada dalam proses pengilmuan dan kehidupan selari dengan ajaran Islam.
Oleh itu para remaja hari ini harus mempunyai daya kritis yang tinggi supaya dinamika agama dan kehidupan sentiasa seiring. Mengkritik kelemahan umat Islam tidak semestinya menolak kepentingan agama dalam kehidupan. Ada sebab-sebab lain yang menyebabkannya lemah. Ajaran agama memerlukan penyegaran dan penjernihan kembali. Ia tidak bermakna remaja Islam menolak prinsip-prinsip asasi yang ada pada Islam baik akidah, ibadah, mualamal, syariah dan sebagainya. Tetapi upaya kritis itu hendaklah mampu menjadikan prinsip dan ajaran Islam sesuatu yang hidup dan terus mampu mempedoman zaman dan memacu perubahan. Inilah asas pemikiran kritis yang harus disuburkan oleh remaja.
- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.
*Bicara Agama, Utusan Malaysia, 15 Julai 2006
5 comments:
salam sdr batugadung
artikel ini sgt menarik untuk individu yg mahu berfikir secara kreatif dan kritis.
saya hrp masyarakat KB khususnya akan bfkr scara kritis dlm bpolitik kerana isu yg sgt popular di kalangan masyarakat KB ialah politik, dimana mn perbualan politik juga kta dengar. jgn kta jd hamba kpd poltik sdh, biar lah kta jd hmab kpd Allah.
thanks.
salam pagari,
aku rasa kau pun layak juga bertanding. Mengikut bos kamu di kk, kamu pun hebat juga. Malahan boleh dikatakan sebagai pelapis kepimpinan dikemudian hari. saya sokong 100% bah.
saken aya pagari.
Salam sipengau...na manaya ka kilalah ko rekah, ka su paras ka dih ku peghailai...
salam. sila lah ziarah ke blog saya
salam sdr sipengau
saya rasa pun sdr batugadung ini layak untk jd calon, sbb itu saya cadangankan dia jd calon dia PRU13 nti..
Post a Comment