Saturday, December 26, 2009

PMBK: Siapa benar ? siapa salah ? mustahil semua benar ? mustahil semua salah ?






Antara TGNA, Ariffahmi, Nik Amalina dan Syed Azidi (penulis blog kickdeffela) serta pimpinan PAS, semuanya mempunyai alasan dan hujah yang telah dikemukakan kepada rakyat Kelantan, terserahlah kepada rakyat Kelantan untuk menilainya. Khususnya kepada TGNA  dalam mempertahankan kredibilitinya sebagai Mursyidul Am PAS dan MB Kelantan. Pendirian dan sokongan para pemimpin kanan PAS terhadap TGNA akan menggambarkan kedudukan sebenar sokongan rakan seperjuangan dan rakyat kepadanya.

Kalau para pemimpin kanan PAS sudah percaya kepada segala cerita yang dikemukakan oleh kedua yang lain, maka pucuk pimpinanan tidak akan menyokong untuk mempertahankan TGNA dalam dakwaan berhubung kes PMBK dan ia memberikan isyarat bahawa PAS hilang kepercayaan terhadap TGNA.

Awas tidak mustahil sokongan dan simpati pucuk pimpinan PAS Pusat terhadap TGNA kerana mereka akan bersimpati dengan beliau dan ramai akan mengundi beliau sekiranya parti berkenaan mengadakan undi tidak percaya terhadapnya. Tentunya kerana mereka tidak percaya dengan tuduhan yang dilemparkan kepada menantu beliau.

Mustahil semuanya pembohong kerana ada antaranya yang tidak berbohong, siapakah mereka ?. Demikianlah mustahil semuanya benar kerana antaranya pasti ada yang salah dan berbohong. Siapa pula mereka ?

Dalam Islam sesuatu yang ingin dilakukan sebagaimana dipesankan oleh Nabi, mestilah bertanya kepada hati. Lalu jawapan dari hati inilah sebenarnya jawapan anda sendiri dan termasuk pucuk pimpinan Pas pusat dan seluruh rakyat Kelantan ....siapakah yang berbohong ?





Mahathir: Siasat juga RM270 bilion zaman Pak Lah

Tidak cukup mempertahankan dirinya, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyalahkan seorang lagi mantan perdana menteri berhubung isu salah guna wang negara seperti didakwa dalam sebuah buku terbaru.


Mengulas dakwaan beliau menghanguskan RM100 bilion sepanjang 22 tahun pentadbirannya, Dr Mahathir meminta kerajaan turut menyiasat penggunaan wang RM270 bilion sepanjang lima tahun kepemimpinan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kelmarin, pelopor Wawasan 2020 mencabar kerajaan agar menubuhkan suruhanjaya bebas menyiasat dakwaan terhadapnya yang dimuatkan dalam buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, karangan Barry Wain.

Menulis di blognya hari ini, Dr Mahathir berkata syarikat petroleum negara Petronas hanya menyerahkan wang RM126 bilion kepada kerajaan sepanjang kekuasaannya tetapi RM270 bilion semasa dipimpin Abdullah, yang popular dipanggil Pak Lah.

Thursday, December 17, 2009

Ruh Hijrah bertepatan 1Malaysia: PM

kemaskini 3.58pm Datuk Seri Najib Razak berkata semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam sangat bertepatan dengan konsep Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perdana menteri berkata gagasan yang berteraskan kepada nilai murni yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan prinsip penerimaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Dalam perutusan Maal Hijrah 1431, beliau berkata cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia ialah membentuk perpaduan rakyat, tetapi ironinya ialah, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara.

"Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

"Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

"Sekarang, kita melaksanakan pula hijrah ke bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

"Ini semua bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global," katanya.

Najib berkata masyarakat negara ini harus berhijrah untuk sentiasa berprestasi lebih baik tanpa mengira peranan sama ada mereka pemimpin, kerajaan ataupun rakyat.

"Kita perlu mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

"Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif," katanya.

Perdana menteri berkata, formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep 'wasatiyah' (kesederhanaan) dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

"Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkovensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru," katanya.

Menurut Najib, semua kejayaan itu boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan daripada perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Perdana menteri bekata bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah', sebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

"Khaira ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

"Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha membangun pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan Satu Ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan," katanya.

Najib berkata konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira warna kulit, keturunan atau kedudukan.

"Masyarakat di Madinah waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan beragama Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah," katanya.

Sementara itu, majlis pelancaran TV al-Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan 1431H/2009M yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) esok, ditangguh.

Pegawai perhubungan awam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Asiah AlKharib Shah berkata terdapat ralat berhubung maklumat tersebut yang dimaklumkan melalui kenyataan akhbar jabatan itu semalam.

"Pihak Jakim ingin memaklumkan bahawa majlis sambutan Maal Hijrah yang akan diadakan esok hanya akan melibatkan sambutan Maal Hijrah dan tiada pelancaran berhubung TV Al-Hijrah sebagaimana yang dimaklumkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan Jakim berhubung sambutan Maal Hijrah, memaklumkan saluran televisyen Islam pertama negara TV al-Hijrah akan turut dilancarkan pada majlis berkenaan. BERNAMA

Monday, December 7, 2009

Kata Mahfuz kepada Nik Aziz...nasihat menantu cuti serta merta



Ini pandangan Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar kepada Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan kedudukan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).


“Nik Aziz sebagai Pengerusi serta Lembaga Pengarah PMBK sepatut buat ketetapan supaya Ariffahmi bercuti serta merta. Ariffahmi sudah pun buat komitmen (meletakkan jawatan) jadi sekarang mereka (Pengerusi dan Lembaga Pengarah) harus buat ketetapan,” katanya.

Sebagai contoh katanya, Ariffahmi boleh dibayar gaji selama tiga bulan tetapi tidak perlu lagi aktif memegang jawatan.

Dengan itu katanya, PMBK boleh melantik seorang bagi memangku jawatan CEO PMBK.

“Ini yang sesuai untuk jaga etika. Beliau bukan budak pejabat atau kerani yang masih boleh bertugas walaupun sudah hantar notis tetapi Ariffahmi mungkin akan buat apa-apa keputusan jika terus bertugas.

“Saya tidak tahu apa yang beliau akan buat tetapi kalau beliau terus ke pejabat, dan timbul sesuatu perkara atau buat macam-macam akan cetuskan kontroversi,” jelasnya.

Mahfuz memberikan kenyataan tersebut kepada wartawan ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru mengenai kedudukan CEO PMBK yang telah pun menyatakan kesediaan beliau meletakkan jawatan tetapi tidak serta merta sebaliknya terus bertugas sehingga 23 Mac 2010.

Sedangkan keputusan supaya beliau meletakkan jawatan dibuat atas nasihat Jawatankuasa PAS Pusat setelah Presiden, Timbalan Mursyidul Am dan pemegang jawatan utama parti itu bertemu Nik Aziz meminta agar menantunya itu berbuat demikian.

Desakan supaya Ariffahmi meletakkan jawatan timbul setelah pelbagai pendedahan yang dibuat oleh bekas Pegawai Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi yang juga penulis blog Kickdefella yang ditamatkan perkhidmatannya oleh Ariffahmi.

Kickdefella sebelum ini dibayar gaji oleh PMBK tetapi hakikatnya beliau bertanggungjawab kepada Exco Kelantan, Datuk Husam Musa.

Antara pendedahan yang dibuat ialah Ariffahmi merancang untuk ‘menggulingkan’ Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Keputusan Ariffahmi untuk terus memegang jawatan itu sehingga 23 Mac 2010 telah menimbulkan rasa kurang senang kalangan pemimpin PAS kerana ia memberikan imej yang tidak baik kepada parti itu jika amalan urus tadbir yang baik diambil kira.

Pandangan terbaru Mahfuz itu sekaligus mengesahkan kebimbangan pimpinan Pusat PAS kerana khuatir dalam tempoh sehingga Mac 2010, ada lagi tindakan yang akan diambil oleh Ariffahmi yang boleh menjejaskan kewibawaan PAS dan maruah kerajaan negeri Kelantan. – 7/12/2009

Sumber: http://www.agendadaily.com/

Saturday, December 5, 2009

Kejamkah Hukum Rimba?



“Saya kurang tahu kenapa suatu keadaan yang buruk, dimana tidak ada keadilan atau keadilan susah dicari, orang selalu mengaitkannya dengan hukum rimba” luahan beberapa insan yang cuba meluahkan rasa kekecewaan mereka. Apakah memang hukum rimba seburuk itu?

Namun pada hemat saya, hukum rimba justru menunjukkan adanya sebuah konsistensi dari para penghuni rimba untuk patuh dan taat menjalankan hukum di rimba tempat mereka hidup sesuai dengan yang telah ditetapkan dan digariskan oleh sang pencipta mereka. Ertinya, hukum rimba itu sebetulnya tidak seburuk mana pun, justru di dalam hukum rimba itu kita akan dapat temukan adanya konsep keadilan, keseimbangan dan keberlanjutan. Kurang percaya? Nah sekarang mari kita cuba kupas beberapa aspek yang ada dalam hukum rimba itu secara agak mendasar.

Dalam menggapai posisinya menjadi seekor pemimpin, binatang seperti singa jantan harus bertarung secara jantan untuk memperebutkan posisi tersebut dengan kekuatan sendiri. Lebih dari itu, yang kalah dalam memperebutkan posisi yang menjadi rebutan tersebut pun mau tidak mau terpaksa akur untuk menerima kekalahan mereka. Begitu pun ketika kejayaan harus terjadi, pemimpin generasi tua pun rela bersaing secara adil dengan generasi muda calon penerus mereka. Dan kalaupun si generasi tua kalah untuk mengekalkan kepemimpinannya seumur hidup, dia tak perlu berkomplot untuk melakukan konspirasi menggagalkan sang pemimpin muda.

Satu yang dianggap kejam (oleh manusia) dalam hukum rimba adalah kegiatan mangsa-memangsa, dimana yang kuat memangsa yang lemah. Nyatanya, apa yang terjadi di rimba mungkin tidak sekejam yang kita bayangkan. Kegiatan mangsa-memangsa memang terjadi, tetapi dalam situasi yang seimbang dan tidak ada keserakahan di dalamnya. Kegiatan mangsa-memangsa terjadi salah satunya justru untuk menjaga populasi para penghuni rimba agar tetap seimbang; tidak ada populasi haiwan tertentu yang berlebihan di satu sisi dan haiwan yang terancam populasinya di sisi lain. Haiwan yang menjadi mangsa pun biasanya diberi kelebihan oleh pencipta mereka untuk bisa beranak-pinak secara cepat, juga kemampuan untuk mempertahankan diri dari ancaman para pemangsa mereka. Ertinya, haiwan pemangsa pun harus punya kemampuan dan usaha yang keras jika ingin bisa mendapatkan haiwan buruannya untuk dimangsa. Selain dari itu, haiwan pemangsa pun punya sifat tidak serakah, ertinya ketika keperluan perut sudah terpenuhi (sudah kenyang), mereka tidak akan kemaruk menimbun makanan, walaupun haiwan yang biasa dimangsanya itu lewat di depan mata. Mereka tidak akan berusaha untuk mengejar binatang yang biasa dimangsanya kerana memang sudah tercukupi keperluan perut mereka pada saat itu.

Sekarang cuba bandingkan dengan ketidakpastian hukum (khususnya persada politik tempatan), jelas berbeza jauh bukan? Cuba perhatikan korupsi, penyelewengan dan penindasan , kecurangan politik dan dan sebagainya.

Justru malah ketidakpastian hukum yang banyak terjadi kitalah manusia yang mengancam “keadilan” yang ada dalam hukum rimba. Contohnya banyak seperti perburuan hidupan liar, pembalakan haram pembukaan tanah dengan membakar hutan, dan sebagainya. Sifat manusia seperti itu, yang sampai sekarang susah untuk dibawa ke pengadilan secara hukum, justru yang mengakibatkan banyak haiwan menjadi musnah dan terancam punah. Hukum rimba justru malah terancam oleh ketidakpastian hukum manusia.

Jadi, jangan analogikan hukum “chaotic” dengan hukum rimba, karena hukum rimba justru jauh lebih beradab (mohon maaf sebelumnya karena harus mengambil contoh perilaku hukum politik karena memang sangat tepat untuk dijadikan contoh). Sepertinya manusia yang suka bermain-main dengan hukum dan senang menciptakan sebuah keadaan dimana hukum menjadi chaotic perlu sekali-kali melakukan kajian perbandingan ke para penghuni rimba, atau sering-seringlah menonton acara dunia binatang… biar menyedari kalau ternyata hukum rimba masih jauh lebih baik dari itu.

Petikan dari buku BERANI GAGAL


Bill Gates (Sekadar Hiasan)

  1. Saya telah lebih banyak belajar daripada kesilapan2 saya daripada kejayaan2 saya (Sir Humphry Davy)
  2. Kita tidak belajar daripada kejayaan2 kita, kita belajar daripada kegagalan2 kita (John Naisbitt - Pengarang Megatrends Asia)
  3. Kita lebih banyak mendapat kebijaksanaan daripada kegagalan berbanding dengan kejayaan. Kita sering mengetahui apa yang akan kita buat dengan menentukan apa yang tidak akan kita buat. Dan semungkinnya orang yang tidak pernah membuat kesilapan tidak pernah juga membuat penemuan (Samuel Smiles)
  4. Watak tidak boleh dibina dengan mudah dan senyap2. Hanya melalui pengalaman2 dugaan dan penderitaan sahaja semangat boleh diperteguh, wawasan diperjelas, cita2 diilhami dan kejayaan dicapai (Helen Keller)
  5. Anda memerlukan sebanyak mungkin pengalaman2 getir untuk menzahirkan keunggulan anda (Richard Nixon)
  6. Hanya setelah menuruni lembah yang terdalam barulah anda dapat menilai keindahan gunung yang tertinggi (Richard Nixon)
  7. Terdapat faedah praktis yang terbaik dalam mengalami beberapa kegagalan awal2 lagi dalam hidup (Thomas Henry Huxley)
  8. Kesusahan dan kekalahan membolehkan kita mengembangkan akal kita dan maju ke hadapan (Thomas Henry Huxley)
  9. Berlian itu adalah sebutir arang batu yang menjadi unggul akibat tekanan (Tidak bernama)
  10. Kepuasan itu terletak pada usaha, bukan pada pencapaian. Usaha sempurna itu adalah kemenangan sempurna (Mahatma Ghandi)
  11. Kejayaan itu suatu perjalanan, bukan suatu tempat tujuan - separuh daripada keseronokannya terdapat dalam menuju ke sana (Gita Bellin)
  12. Orang yang gagal dalam hidupnya ialah orang yang hidup dan gagal belajar
  13. Kebanyakan orang membuat satu kesilapan yang sama ... dengan menganggap kegagalan sebagai musuh kejayaan.... anda semestinya mempergunakan kegagalan untuk kebaikan anda..... Teruslah mara dan buatlah segala kesilapan. Buatlah sebanyak mana yang mungkin anda buat. Kerana ingatlah bahawa disitulah tempat anda menemui kejayaan - di sebalik kegagalan. (Thomas Watson - IBM)
  14. Kekuatan dan perkembangan hanya terhasil melalui usaha dan perjuangan berterusan
  15. Kita tidak mungkin menemukan lautan baru jika kita tidak berani belayar jauh dari pantai
  16. Orang yang tidak mempunyai cukup keberanian untuk bermula itu sememangnya telah pun tamat (Unanimous)
  17. Hidup ini sama ada suatu pengembaraan yang mencabar dan berbahaya ataupun tiada apa-apa (Helen Keller)
  18. Sebatang anak tangga itu bukanlah dimaksudkan sebagai tempat merehatkan sebelah kaki sipemanjatnya, tetapi sekadar sebagai tempat berpijak sejenak cukup untuk membolehkannya meletak kaki yang sebelah lagi di suatu tempat yang lebih tinggi (Thomas Henry Huxley)
  19. Satu-satunya orang yang tidak membuat kesilapan adalah orang yang tidak berbuat apa-apa. Janganlah takut kepada kesilapan dengan syarat anda tidak mengulangi kesilapan yang sama (Roosevelt)
  20. Tiap-tiap orang mempunyai bakat. Apa yang berkurangan adalah keberanian untuk menyusuli bakat itu ke tempat gelap yang ditujuinya (Enic Jang)
  21. Orang terganggu bukannya oleh perkara yang berlaku, tetapi oleh pendapat mereka tentang yang berlaku (Epitetus)
  22. Banyak bakat yang terbazir hanya kerana kekurangan sedikit keberanian. Setiap hari menyaksikan pengebumian orang-orang yang sungguh menghampakan yang sifat penakut mereka menghalang mereka daripada membuat percubaan pertama (Sydney Smith)
  23. Bersusah hati tentang apa yang tidak anda miliki adalah membazirkan apa yang anda mlliki Ken Keyes
  24. Muda atau tua itu bukannya bergantung pada tarikh masa, tetapi keadaan jiwa. Tugas kita bukanlah menambah usia kepada kehidupan kita, tetapi menambah kehidupan kepada usia kita (Myron J. Taylor)
  25. Fikiran yang disemai, tindakan yang dituai.Tindakan yang disemai, tabiat yang dituai
  26. Tabiat yang disemai, peribadi yang dituai. Peribadi yang disemai, nasib yang dituai (Unanimous)
  27. KEJAYAAN DAN KEGAGALAN

v Aku tidak memilih untuk menjadi insan biasa

v Adalah hakku untuk menjadi berbeza

v Aku mencari kesempatan, bukannya keterjaminan

v Tidak kuingin menjadi warga pelihaharaan

v Lemah dan terpedaya dek terbiasa dengan jagaan negara

v Aku ingin mengambil risiko terhitung

v Untuk mengimpikan dan membina, untuk gagal dan berjaya

v Galakan tidak kan kutukarkan dengan elaun pengangguran

v Lebih kusukai cabaran hidup daripada elaun pengangguran

v Lebih kugemari cabaran hidup daripada elaun pengangguran

v Lebih kugemari cabaran hidup daripada kewujudan lesu yang terjamin

v Keghairahan pencapaian daripada kesempurnaan hambar

v Tidakkan ku perdagangkan kebebasan dengan derma sumbangan

v Tidak juga maruah dengan sedekah

v Tidak kan aku ketakutan di hadapan sebarang tuan

v Tidak juga kan kutunduk kepada sebarang ugutan

v Sudah menjadi warisanku untuk sentiasa berdiri teguh

v Bangga dan tidak gentar

v Berfikir dan bertindak untuk diri sendiri

v Dan menghadapi dunia dengan penuh berani

v Dan berkata 'Inilah yang kulakukan'

v Inilah erti sebenarnya menjadi seorang insan

Friday, December 4, 2009

Dorongan Umat Islam Memperjuangkan Kekayaan.




Kehidupan di dunia dan perniagaan pada hari ini semakin kompetetif. Krisis ekonomi yang melanda dunia kini membimbangkan banyak pihak kerana ia mengakibatkan kehilangan pekerjaan secara besar-besaran dan merugikan banyak perusahan. Sesungguhnya apabila kita membimbangkan harta benda, ia pasti tidak ada penyelsaiannya.

“Sekiranya kamu lebih mencintai bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaanmu, perniagaanmu dan rumah-rumah kamu daripada kamu mencintai dan rasulnya dan daripada berjihad di jalannya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (at-Taubah, ayat 24)


Orang-orang yang fasik dalam ayat di atas tidak menerima petunjuk ataupun ilham daripada Allah. Dengan demikian, kebimbangan mereka semakin bertambah. Akhirnya, ia menjadi tekanan yang mengakibatkan penyakit, keluarga yang terbiar, hidup kehilangan arah dan kehilangan kehormatan. Akibatnya, harta yang dikumpul bukan lagi mententeramkan jiwanya serta akhirnya ada diantara yang hartanya semakin terhakis dan hal ini menjatuhkan ramai orang dalam kemiskinan sekaligus kehinaan.


Oleh sebab itulah, dunia bukan segalanya apabila manusia mengejar kekayaan dan bukan memperjuangkan kekayaan. Mari kita ambil contoh soal kemerdekaan, mereka boleh berbincang dengan pihak penjajah dan bersedia melakukan apa saja bagi mencapai kemerdekaan. Namun, bangsa yang memperjuangkan kemerdekaan dengan cara apa sekalipun sama ada berperang sekaligus berbincang demi mempertahankan harga diri, memperjuangkan kemerdekaan mereka dengan sebenar-benarnya.


Keusahawanan adalah langkah bagi memperjuangkan kekayaan supaya dunia ini tidak menjadi penjara. Dalam hal ini, kekayaan kerap disebut sebagai ‘kebebasan kewangan’. Umat Islam perlu menambahkannya menjadi ‘keberkatan kewangan’. Dengan kata lain, kekayaan yang kita usahakan dan miliki mengundang berkat daripada Allah sehingga kita memiliki kekuatan untuk berkongsi kekayaan itu dan menguruskannya dengan sebaik-baiknya.

Wednesday, December 2, 2009

Pemikiran Kritis









Berfikir Kritikal


Oleh DR. SIDEK BABA


ISTILAH kritikal berasal dari perkataan Greek kritikos yang bermaksud judge atau menghakimi atau mengadili. Dalam tradisi orang-orang Greek dan Yunani, ia melahirkan pemikir-pemikir yang amat kritikal terhadap sesuatu subjek dan akhirnya menjadi ahli falsafah yang terkenal.

Barat menjadikan asas berfikir Aristotle, Plato dan Socrates sebagai landasan mengembangkan ilmu dan kehidupan. Dalam tradisi orang-orang Islam pemikiran kritikal memang menjadi landasan dalam membuat sesuatu keputusan, tafsir dan takwil . Menafsir al- Quran dan hadis dilakukan secara kritikal supaya hasil pemikiran selari dengan kebenaran. Kebenaran dalam Islam merujuk kepada sumber naqliah atau sumber wahyu. Wahyu adalah autoriti atau wibawa yang tertinggi dalam memandu manusia berfikir supaya kebenaran yang diterima tidak saja zahir tetapi memberi makna yang hakiki.

Berfikir secara kritikal membimbing pemikir ke arah kebenaran. Puncak kepada berfikir menemukan manusia mengenai kebenaran. Proses berfikir kritikal membolehkan seseorang membezakan yang benar dengan yang salah, yang buruk dengan yang baik, yang bermanfaat dan bermusibat, yang memberi faedah atau mendatangkan padah dan sebagainya. Sudah tentu asas yang memberikan kemampuan seseorang berfikir kritikal ialah ilmu, maklumat, pengalaman, pertukaran pandangan dan dalam tradisi Islam diakhiri dengan hikmah. Hikmahlah merupakan jalan terbaik membimbing manusia menemui kebenaran.

Para remaja adalah kelompok yang terbaik dilatih untuk berfikir kritikal. Kemajuan ilmu dan pemikiran atau idea bergantung kepada wujudnya suasana yang mengizinkan pemikiran kritikal berlaku. Apalagi untuk melahirkan modal insan yang berkualiti kemahiran berfikir secara kritikal adalah amat dituntut. Remaja bakal menjadi dewasa dan bakal memegang teraju kepimpinan dan pengurusan ilmu, sistem dan negara pada masa depan.
Amat penting remaja hari ini dididik dengan kemahiran berfikir yang kritikal supaya jenis cabaran yang dinamik berubah tidak menjadikan remaja gelabah untuk mencari arah diri dan arah tujuan dalam mengurus manusia dan kemanusiaan.

Di zaman pasca moden ini faham anarki (ketidakaturan) berkembang pesat dalam pemikiran, kesenian, bahasa, kebudayaan malah gaya hidup manusia. Globalisasi yang datang menjadi pemangkin terhadap jalur anarki. Kemajuan sains dan teknologi menyebabkan faham anarki semakin mengukuh dengan melebarkan jaringan komunikasi dan telekomunikasi dan akhirnya membentuk suatu budaya popular yang menghubungkan sesuatu dengan konsep realiti.
Konsep realiti sudah mula menolak jalur tradisi dan akhirnya bakal menjinjing manusia kepada kesamaran hala tuju hidup.

Untuk menjadikan remaja berfikir secara kritikal, pemahaman terhadap tradisi perlu kukuh, asas ilmu harus teguh, sikap terbuka terhadap perbezaan perlu ada, ketelitian terhadap fakta dan data perlu wujud. Kesediaan diri untuk dikritik dan mengkritik juga perlu ada. Tanpa asas ini pemikiran kritikal tidak akan berkembang. Pemikiran kritikal memandu remaja berfikir secara teliti, analitikal dan berupaya memberikan hujah-hujah yang baik dan bernas apabila fakta itu didapati tidak benar atau diolah dengan dangkal atau tidak berasaskan maklumat yang sahih dan jitu.

Perubahan

Menghadapi perubahan ruang dan waktu, para remaja tidak harus mengambil sikap menolak tradisi. Tradisi adalah mata rantai yang membangun tamadun. Kemajuan yang dicapai pada hari ini adalah hasil adanya tradisi berfikir dan berilmu yang menjadi tapak atau titik-tolak keunggulan ilmu pada masa lalu. Tidak mungkin apa yang akan berlaku pada masa depan tanpa tapaknya terbina di hari ini. Pemahaman terhadap tradisi ialah sesuatu yang berkesinambungan. Asas-asas yang baik dijadikan teladan dan mengembangkan budaya hidup yang beradab dan subur dengan nilai kemanusiaan.
Kemahiran yang perlu ada pada remaja di samping memahami dan menghargai tradisi ialah mengurus perubahan.

Dalam Islam yang berubah itu ialah bentuk atau sesuatu yang dikaitkan dengan kemajuan alat. Fitrah kehidupan tetap sama. Sejak zaman Nabi Adam sehinggalah ke zaman Nabi Nuh, Lut, Isa, Musa dan Nabi Muhammad dua perkara yang menjadi asas kecenderungan manusia iaitu sama ada manusia kekal berada dalam fitrah atau manusia yang melampaui batas fitrah. Alat yang digunakan dengan maksud yang baik bakal mengukuhkan fitrah manusia tetapi alat yang digunakan untuk maksud yang tidak baik boleh merosakkan fitrah manusia yang asalnya baik. Risalah nubuwah atau keNabian bermaksud mengajak manusia kembali dan kekal dalam keadaan fitrah. Manusia diberikan pedoman mengenai alam nyata dan alam ghaib, mengenai yang dicipta dan Pencipta, hubungan yang dicipta dengan persekitarannya supaya kebenaran yang hakiki menjadi asas membangunkan manusia dalam keadaan yang fitrah.

Sebagai remaja Islam, asas ilmu Mengurus Diri dan asas ilmu Mengurus Sistem perlu kukuh. Serangan fahaman sekular dan liberal masa kini boleh menjerumuskan kecenderungan kritikal kepada faham anarki. Banyak masalah kehidupan yang dialami oleh orang Barat yang berkembang hasil penolakan mereka terhadap hidup yang fitrah. Isu-isu seperti hak asasi, gender, feminisme dan pandangan terhadap agama lahir kerana asas berfikir mereka tidak lagi dipedoman oleh agama. Agama bagi mereka tidak relevan dan menganggap ‘Tuhan sudah mati’.

Sebahagian remaja dan dewasa apabila terdedah dengan orientasi ilmu Barat yang menolak agama, tiba-tiba menjadi ‘orientalis baru’ yang mengkritik asas keagamaan yang dianut oleh orang-orang terdahulu mahupun orang-orang terkini. Menghubungkan sesuatu dari Barat sebagai maju dan mengaitkan sesuatu yang datang dari agama sebagai kolot tidak datang dari daya kritis yang baik. Kalau begitu apa asas yang menyebabkan tamadun Islam berkembang berabad-abad sehingga Barat terhutang ilmu kepada Islam.
Hari ini, umat Islam menjadi pengguna kepada ilmu dan teknologi Barat.
Kemunduran umat Islam pada hari ini secara kritisnya berpunca dari renggangnya hubungan umara (pemimpin) dengan ulama' atau ilmuan. Umara' atau kepimpinan kini cenderung menjadikan Barat sebagai model terbaik dalam pembangunan dan kemajuan dan kurang cenderung memperkasa tamadun sendiri. Sebahagian besar ulama memiliki keupayaan yang baik mengenai ilmu Mengurus Diri tetapi amat kurang kepakaran dalam Ilmu Mengurus Sistem. Akhirnya dikotomi umara dan ulama melahirkan konflik yang bakal memberi kesan terhadap kesatuan umat.

Kedua, ilmu yang diteroka oleh generasi muda Islam tidak sifatnya integratif. Falsafah dan etika ilmu Mengurus Sistem tersisih dengan nilai-nilai murni Ilmu Mengurus Diri. Ia menyebabkan konflik keilmuan yang berterusan dan merugikan. Ketiga, tradisi tadabbur atau penyelidikan tidak berkembang, menyebabkan tidak lahirnya penemuan-penemuan dan karya-karya besar untuk dijadikan rujukan umat. Keempat kegagalan menjambatani tradisi turath atau menghayati kitab-kitab lama dengan metodologi baru dalam karya-karya terkini yang menyebabkan karya-karya terkini lebih dominan menguasai minda remaja dan generasi baru.

Bersikap kritis terhadap ajaran dan pengajaran dalam tradisi Islam tidaklah ditolak dan bersikap kritis terhadap watak umat Islam memang dialu-alukan. Tetapi kritis terhadap kebekuan dan tidak berkembangnya ilmu Islam bukan bermakna ajaran Islam itu tidak berdaya maju. Bersikap kritis kepada amalan umat Islam adalah perlu. Tidak semua amalan yang berlaku sama ada dalam proses pengilmuan dan kehidupan selari dengan ajaran Islam.
Oleh itu para remaja hari ini harus mempunyai daya kritis yang tinggi supaya dinamika agama dan kehidupan sentiasa seiring. Mengkritik kelemahan umat Islam tidak semestinya menolak kepentingan agama dalam kehidupan. Ada sebab-sebab lain yang menyebabkannya lemah. Ajaran agama memerlukan penyegaran dan penjernihan kembali. Ia tidak bermakna remaja Islam menolak prinsip-prinsip asasi yang ada pada Islam baik akidah, ibadah, mualamal, syariah dan sebagainya. Tetapi upaya kritis itu hendaklah mampu menjadikan prinsip dan ajaran Islam sesuatu yang hidup dan terus mampu mempedoman zaman dan memacu perubahan. Inilah asas pemikiran kritis yang harus disuburkan oleh remaja.

- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.
*Bicara Agama, Utusan Malaysia, 15 Julai 2006

Tuesday, December 1, 2009

Membina Generasi Pewaris


Membina Generasi Pewaris Yang Bertaraf Tinggi



Di saat kita mengharungi pergelutan zaman yang semakin pantas berubah dan juga semakin menjurus ke arah kehidupan kebendaan yang begitu dahshat, kita tidak seharusnya lalai dalam memberikan asuhan dan bimbingan yang sewajarnya kepada generasi muda masa kini. Menyedia dan mencorakkan daya fikir serta mengasuh mereka dengan kefahaman Islam yang betul adalah satu keperluan yang mesti dilakukan kerana ianya ternyata dapat memberikan kesan mendalam kepada golongan ini. Hal ini berdasarkan kepada keupayaan golongan muda untuk mencerap dengan mudah apa sahaja bentuk pendidikan yang diberikan sama ada yang baik ataupun yang sebaliknya.


Oleh itu bentuk pendidikan yang bakal dimasukkan ke dalam akal fikiran golongan ini perlulah sesuatu yang berupaya untuk membentuk pemikiran mereka yang sihat dan pada masa yang sama berupaya pula menyediakan mereka sebagai pelapis yang akan mewarisi bumi Malaysia ini. Usaha ini juga pastinya menjadi matlamat untuk mewujudkan satu generasi yang cintakan ilmu yang seterusnya melahirkan golongan pemikir dan juga pewaris kepimpinan yang bertaraf tinggi. Cita-cita yang sebegini pastinya suatu yang sukar untuk dicapai terutamanya dalam suasana kehidupan masa kini yang begitu mencabar, namun ianya bukanlah suatu yang mustahil.


Sebenarnya hasrat untuk memiliki dan melahirkan generasi yang hebat bukanlah perkara baru, malah ianya juga pernah disuarakan oleh Sayyidina Umar al Khattab suatu ketika dahulu. Pernah suatu ketika bersama-sama dengan para sahabat yang lain Umar bertanya kepada para sahabatnya apakah yang diinginkan oleh mereka. Lalu antara mereka ada yang bercita-cita untuk memiliki sejumlah harta yang banyak, dan dengan harta itu dapat mereka sedekah dan belanjakan pada jalan Allah. Namun keinginan Umar jauh berbeza daripada para sahabatnya, apabila beliau mengatakan "Aku inginkan sekumpulan manusia yang hebat seperti Abu Ubaydah al Jarrah, Muaz ibn. Jabal dan Salim Maula Abi Hudhaifah untuk membantu aku mendaulatkan agama Allah."


Ternyata apa yang diungkapkan oleh Umar ini merupakan satu pengertian yang besar tentang peri pentingnya membina satu generasi yang bertaraf mulia untuk memikul dan melaksanakan impian dan cita-cita umat Islam. Lembaran sejarah juga telah memperlihatkan kepada kita bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. sendiri dalam rangka usahanya menjayakan risalah Islam telah melaksanakan usaha pembinaan satu kelompok manusia yang menjadi teras utama sebagai benteng dan tulang belakang pembentukan umat yang baru. Kelompok manusia inilah yang dinamakan oleh Syed Qutb sebagai ‘generasi al Quran yang unik', iaitu kelompok teras yang mulia dan yang telah menjayakan segala bentuk perancangan yang dibuat oleh baginda Rasulullah s.a.w.


Golongan teras yang bertaraf mulia ini telah melalui pendidikan dan penghayatan nilai-nilai dinamik al Quran yang ditampil dan diterjemahkan dalam setiap ciri kehidupan Rasullullah s.a.w. sebagai pendidik serta pembimbing kepada generasi al Quran yang unik ini. Sebagai pemimpin dan juga pendidik kepada pengikutnya, Rasulullah s.a.w. berupaya mengenali setiap potensi yang ada pada setiap diri pengikutnya, dan potensi ini digilap dan diasuh secukupnya oleh Baginda sehingga dari generasi inilah lahirnya peribadi-peribadi agung yang masih sesuai untuk diteladani hingga ke hari ini.


Di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. semua orang mendapat peluang untuk menampil dan mengembangkan potensi masing-masing, termasuk mereka yang pernah memusuhi Baginda sebelum memeluk Islam seperti Khalid al Walid dan Umar al Khattab sendiri. Tidak ada di kalangan umat Islam yang dianaktirikan atau amalan diskriminasi dipraktikkan, malah setiap pengikut Rasulullah s.a.w. dianggap sebagai ‘aset' yang sangat bernilai.


Suasana kepimpinan Rasulullah s.a.w. juga memperlihatkan kepentingan amalan budaya baik yang menyeluruh dan meluas di dalam masyarakat Islam ketika itu kerana taraf kebaikan tidak mengenal rupa paras, warna kulit, bangsa, umur atau keturunan. Dalam suasana demikianlah lahirnya pemuda Usamah bin Zayd yang diberi kesempatan untuk memimpin ketumbukan tentera Islam ketika usianya masih belasan tahun. Di bawah kepimpinan baginda jugalah buah pemikiran Salman al Farisi diberi ruang ketika keputusan diambil untuk membina benteng di sekeliling Kota Madinah ketika Perang Khandak, sedangkan Salman bukanlah anak watan tanah Arab melainkan beliau merupakan anak kelahiran bumi Parsi. Begitu juga kehebatan taraf iman yang dipamerkan oleh Bilal ibn. Rabah, seorang manusia berkulit hitam yang asalnya seorang hamba abdi, tetapi diangkat darjatnya sebagai sahabat kanan baginda Rasulullah s.a.w. yang dijamin syurga kerana ketinggian taraf keimanan yang dimilikinya.


Begitulah juga hasrat dan cita-cita kita hari ini untuk melihat lahirnya golongan muda Islam yang bertaraf mulia tampil ke hadapan dan memimpin masyarakat masa kini. Di Malaysia, jumlah penduduk yang boleh disenaraikan sebagai golongan muda membentuk lebih 40 peratus daripada penduduk negara. Ini merupakan satu jumlah yang besar. Sekiranya separuh daripada jumlah ini dapat berperanan sebagai golongan yang bertaraf baik, itu sudah memadai untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang cukup kuat di persada antarabangsa. Namun dengan jumlah yang ramai tetapi tanpa taraf kemuliaan yang diharapkan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Bahkan kita telah diingatkan oleh Allah SWT bahawa yang baik dan mulia itu tidak sama dengan yang buruk walaupun yang buruk itu kelihatan banyak, sebagaimana firmanNya dalam surah al Maidah, ayat 100.

Justeru, pembinaan golongan muda yang bertaraf tinggi yang akan mewarisi tanah air ini sewajarnya diberi perhatian utama dalam agenda pembangunan negara. Pembangunan modal insan sepertimana yang diwar-warkan kebelakangan ini oleh pemerintah mestilah diberikan perhatian yang wajar dan kesungguhan yang tinggi. Tanpa kesungguhan yang jitu maka tidak mungkin keinginan kita untuk melihat golongan pewaris yang kuat dan berkemampuan lahir untuk menghadapi cabaran hari depan. Kejayaan membina masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang lebih banyak bergantung kepada keupayaan generasi masa kini membina kecemerlangan generasi pewaris tersebut.

Perit getir kehidupan masa kini telah memperlihatkan kepada kita bahawa masyarakat akan datang lebih merupakan masyarakat yang penuh dengan persaingan. Bahkan sekarang ini pun kita sudah merasakan bahang persaingan yang cukup hebat dan betapa cemasnya kita menyaksikan generasi anak-anak kita berhempas pulas menghadapi persaingan di pelbagai bidang. Keadaan ini memperlihatkan sekali lagi kepada kita bahawa hanya mereka yang bertaraf tinggi sahaja yang mampu mengungguli persaingan ini.


Maka dengan itu, langkah-langkah dan usaha pembinaan generasi pewaris ini perlulah diberi perhatian dengan lebih gigih lagi terutamanya melengkapkan mereka dengan ilmu-ilmu yang betul dan sesuai dengan perkembangan zaman. Kewujudan generasi ilmuan yang mulia dengan kekuatan daya saing yang tinggi sudah pasti akan menghasilkan kesan yang baik dalam pembentukan generasi pewaris. Iaitu generasi pewaris keilmuan yang terlatih dan terdedah kepada unsur-unsur pembinaan diri yang terarah dan turut menghayati serta memiliki jiwa Islam yang kental.


Justeru, pembinaan generasi pewaris yang bertaraf mulia yang kita idamkan sangat bergantung kepada arah tuju, semangat dan kegigihan yang kita lakukan sekarang. Mana mungkin kita dapat melahirkan generasi pewaris yang kuat dan bertaraf mulia sekiranya kita sendiri mengabaikan tanggungjawab untuk membina generasi yang cerdas akal fikirannya, murni jiwanya dan lebih-lebih lagi yang beriman dan beramal serta berilmu dan berakhlak mulia.


Rujukan


Abu Bakar Yang, 2007. Membina generasi pewaris bertaraf tinggi. 22 Febuari 2007.

Najib musykil dengan 'doa' Nik Aziz




Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak akan meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon maaf berhubung hasrat Menteri Besar Kelantan itu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan beliau dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Perdana Menteri berkata Nik Abdul Aziz perlu sedar ramai umat Islam melihat kenyataannya (Nik Abdul Aziz) itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keIslaman.

"Saya tidak faham mengapa perlu berdoa sedemikian sebab memang kita bagi wang ihsan kepada rakyat Kelantan.

"Apa juga nama yang diberi, royalti atau wang ihsan, jumlahnya tetap sama. Dan rakyat Kelantan yang akan terima, bukan kita akan guna untuk tujuan lain," kata Perdana Menteri kepada wartawan
Malaysia ketika ditanya mengenai perkara itu di Port of Spain,Trinidad and Tobago Ahad.

Bernama melaporkan Najib berkata sebelum ini pun kerajaan pusat memperuntukkan lebih RM7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk rakyat Kelantan walaupun negeri itu diterajui pihak lain.

"Jadi, macam mana pula mereka nak tuduh kita ni tidak adil dan sebagainya," kata beliau yang berada di Port of Spain untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 yang berakhir Ahad.

Menurut Perdana Menteri, segala isu boleh dibincang untuk mencari jalan penyelesaian, dan bukannya digunakan untuk mencetus pergaduhan.

"Berbalah sesama sendiri merupakan sesuatu yang tidak diterima dalam Islam, begitu juga bila kita mengutuk orang lain tanpa asas," kata Najib.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun hadapan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Menyentuh krisis dalaman MCA, Najib berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan. Saya telah pun menyerahkannya kepada timbalan saya Tan Sri Muhyiddin Yassin (untuk menyelesaikan masalah itu)," katanya.

"Jika tidak, saya mungkin perlu bercakap dengan kumpulan (yang berbalah) itu," kata Najib.-30/11/2009

Sumber: http://www.agendadaily.com/