Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nampak seolah tidak terusik dan menampilkan wajah bersahaja ketika diminta mengulas kajian yang mendapati sokongan golongan muda terhadap PAS makin merosot selepas pilihanraya umum ke 12.
Reaksi seumpama itu ketika wartawan menemui beliau di kediamannya di Kota Bharu Ahad sehari selepas hal itu bergema di Seminar Memperkasakan Parti di Markas PAS Pusat di Taman Melewar pastinya menghairankan banyak pihak.
Apa lagi ramai yang sedang menilai siapa yang menang dan siapa yang kalah dari seminar sehari yang diadakan bagi mengantikan Muktamar Agung Khas (EGM) yang dicadangkan oleh Mursyidul Am PAS itu sebelum ini untuk membuat perhitungan keatas ‘ dua tiga kerat’ pemimpin yang dakwanya tidak hayati perjuangan parti.
Sebaliknya isu beberapa pemimpin parti itu seperti Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa,Setiausaha Agung Datuk Mustapha Ali dan Persuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali yang dikatakan mengusik perasaan Nik Aziz tidak berbangkit semasa perbahasan di seminar itu.Malah ada yang menegur cara Menteri Besar Kelantan itu mengoncang parti.
Dalam kertas kerja yang disampaikan di seminar PAS itu,Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah memberitahu kajian mendapati 70 peratus golongan muda yang percaya pentadbiran PAS sangat baik ketika Pilihan Raya Umum ke-12, kini berubah pantas.
Kajian itu juga menyebut perubahan ketara berlaku di kalangan golongan yang berusia 21 hingga 30 tahun dan golongan pertengahan antara 31 dan 40 tahun.
Komen Nik Aziz ringkas sahaja.Beliau tidak berselindung dalam menggangap walaupun EGM yang dicadangkannya diganti dengan seminar itu tetapi yang penting ia berjaya menyampaikan mesej yang diharapkannya yakni sokongan terhadap parti semakin berkurangan.
Katanya cadangan beliau untuk mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) adalah bagi menyampaikan mesej berkenaan.
"Itulah sebabnya, saya nak gerakkan supaya diadakan EGM atau seminar kerana kedua-dua itu telah cukup untuk disampaikan kepada anggota.
"Bagi saya EGM tak apa, seminar tak apa,…. mesej saya telah sampai, terpulang kepada ahli-ahli untuk menggunakannya atau tidak," katanya.
Ada pemerhati politik menilai komen itu seperti bermaksud itulah akibatnya kalau tidak dengar cakapnya.
Dalam ertikata lain ia boleh dianggap ditujukan khas pada ‘ dua tiga kerat’ pemimpin yang menjadi sasarannya.
Senang cakap Nik Aziz tahu dan mereka yang berkenaan pun tahu…ada perhitungan yang belum beres.
No comments:
Post a Comment