Wednesday, November 11, 2009

Mengukuhkan Integriti Politik

Pemimpin politik memainkan peranan penting dalam usaha membina kejayaan negara. Rakyat pula sentiasa melihat pemimpin politik yang mewakili mereka sebagai role model. Rakyat ingin melihat para pemimpin yang mewakili mereka dan dipilih oleh mereka mengamalkan nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, berkualiti, jujur, amanah, prihatin, telus, bersih serta berpegang kuat pada nilai-nilai ajaran agama tanpa mementingkan diri dan agenda peribadi.


Walaupun di sana sini politik seringkali digambarkan sebagai kotor, hitam dan kejam, namun itulah cabarannya kerana pada asasnya politik adalah murni dan mulia kerana ia adalah wadah untuk kita mengurus dan mentadbir dunia ini.


Persoalannya ialah apakah masyarakat kita khususnya “pemain-pemain” atau orang politik dalam arena politik negara sudah luntur atau hilang integritinya di mana pembudayaan nilai-nilai baik dan akhlak yang mulia sudah tidak ada. Jawapannya tentulah tidak jika isu ini dilihat secara menyeluruh, tetapi apabila isu ini dilihat dalam beberapa aspek yang lebih kecil, dekat dan terperinci tentu kelihatan lompang di sana sini yang perlu ditutupi. Kita perlu mengembalikan atau mewujudkan suatu suasana di mana politik sentiasa dilihat bersih dan murni.


Persepsi masyarakat yang serong dan sinis terhadap politik dengan anggapan-anggapan yang tidak baik perlu diperbetulkan dengan memberikan medan politik yang bersih bersama-sama dengan pemimpin yang juga “bersih”. Rakyat memerlukan pemimpin yang memberi khidmat terbaik kepada rakyat yang memilihnya sebagai pemimpin. Rakyat memerlukan pemimpin yang memperjuangkan hak mereka. Ini adalah tugas kita semua dan parti-parti politik dalam negara tidak kira kerajaan atau pembangkang.


Pemimpin-pemimpin atau ahli-ahli politik yang memelihara integriti politik akan mengekalkan kedaulatan dan peningkatan keutuhan institusi politik itu sendiri. Ini bermaksud wujudnya kualiti unggul dan pengamalan nilai-nilai positif pada diri orang politik yang akan membantunya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jujur, ikhlas, bertanggungjawab, bersih, cekap, amanah dan berdisiplin serta berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing.


Rakyat dan negara menuntut komitmen khususnya para pemimpin politik dalam usaha membasmi kemiskinan, menghapuskan rasuah, penyelewengan dan mengekalkan perpaduan dan keharmonian di kalangan semua kaum. Rakyat menuntut mereka yang menceburi politik supaya bersifat amanah, telus, bertanggungjawab serta benar-benar berkhidmat demi kepentingan rakyat dan negara.


Amaran yang tegas lagi jelas telah diberikan oleh Allah s.w.t. melalui forman-Nya dalam surah al-A’raf, ayat 129 yang bermaksud; “Dan Allah telah melantik kamu sebagai khalifah di atas muka bumi, maka Dia akan melihat apakah yang kamu kerjakan.” Ini disokong pula oleh hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud; “Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan disoal mengenai apa yang dipimpinnya.”

Berikut ini ialah beberapa tindakan atau perkara yang boleh dipertimbangkan bagi mengukuhkan integriti politik negara:

1. Kembali kepada fitrah manusia

Orang politik yang menjadi “pemain” dalam arena politik seharusnya insaf dan sedar akan dirinya adalah makhluk ciptaan Tuhan yang dilahirkan bersamanya amanah dan tanggungjawab untuk menjadi hamba Tuhan. Wujudkan rasa bertuhan (God fear) dalam diri sebagai piawai ukuran dalam membuat sebarang tindakan dan keputusan. Undang-undang dan peraturan hanya dapat mendisiplin manusia secara paksa.

Dalam konteks politik Melayu-Islam, jangan sekali-kali menjadikan Islam sebagai alat. Banyak alat yang lain yang boleh digunakan untuk mencapai matlamat. Kebenaran Islam adalah mutlak. Adalah tidak tepat mendakwa Islam adalah milik kumpulannya dan kumpulannya adalah Islam kerana masih banyak “alat” yang memperjuangkan matlamat yang sama.

2. Jelas matlamat dalam berpolitik

Kemelut politik juga ada kaitannya dengan pemahaman dan pengetahuan orang politik tentang politik. Mereka harus bertanya mengapa mereka menyertai politik. Asas kepada matlamat ini ialah kemaslahatan individu dan masyarakat. Dalam hal ini orang politik dituntut bersikap moderat, seimbang dan sederhana dalam setiap perilaku dan perbuatannya.

Sikap moderat menuntut keseimbangan antara kepentingan individu dan kepentingan sosial serta mencegah sesuatu yang mengancam kehidupan individu dan masyarakat. Seimbang pula berdiri atas arah yang diukur bedasarkan kualitatif dan situasi manakala sederhana pula sentiasa mengikuti jalan lurus tanpa menyimpang dari landasan dengan mengambil pendekatan yang ekstrem.

Wujudkan sikap berpolitik secara profesional berdasarkan analisa ilmu, hujah, fakta, bukti yang kukuh dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Berilah peluang kepada calon dan orang politik yang layak dan mempunyai kredibiliti.

Sikap “cantas-mencantas” termasuk di kalangan ahli sesama parti perlu dihapuskan lebih-lebih lagi melihat orang yang lebih berkelayakkan muncul di hadapan kita. Seorang ahli politik atau pentadbir yang cekap dan amanah mungkin tersingkir kerana ada calon lain yang lebih diyakini pendirian politiknya. Bayangkan jika ini berlaku melibatkan kepentingan negara, dan jika sikap sama menular dalam bidang pendidikan, ekonomi, budaya, sukan dan sebagainya, lama-kelamaan kita akan kekurangan orang-orang yang pakar dan layak dalam semua bidang.

3. Memahami adab perbezaan pendapat

Hidup berpolitik akan mendedahkan kita pada pelbagai karenah dan ragam manusia. Pada masa berbincang mungkin ada perbezaan pendapat. Dalam masa mereka mengambil alih suatu tugasan, pendekatan dan stail yang digunakan mungkin berbeza. Malah di kalangan ulama’ dan ilmuan Islam pun, perbezaan pendapat ini adalah lumrah.

Perbezaan pendapat yang berlaku dengan cara yang betul merupakan jalan kepada kebijaksanaan. Hormat-menghormati dan bersopan dalam memberikan pandangan menjadi asas kepada lahirnya lebih banyak sudut pandangan.

Apa yang penting ialah bersikap profesional menguruskan perbezaan dan konflik antara parti-parti. Perpaduan, kesatuan atau kerjasama bukan bermakna kita ingin hanya wujud satu parti sahaja yang memerintah. Adanya pembangkang dan kerajaan itu baik sebagai check and balance di mana pada akhirnya check and balance itu akan menguntungkan rakyat.

Perbezaan dalam perpaduan hendaklah diterima dan diraikan. Sebagai contoh, jangan kita “menghakmilikkan” agama, bangsa dan negara dalam kerangka dan sentimen politik parti masing-masing. Agama, bangsa dan negara adalah pokok perpaduan sebagaimana kita boleh menerima dengan lapang dada apabila orang berkata, “awak umat Islam”, “awak bangsa Melayu” dan “awak rakyat Malaysia”.

4. Berpolitik secara matang

Relatifnya pemilihan kepemimpinan politik di Malaysia ditentukan secara demokrasi di mana kepemimpinannya dibuat oleh rakyat terbanyak. Justeru, cara kita berpolitik hendaklah berjiwa rakyat dalam erti kata bertanggungjawab untuk membela rakyat dari sebarang bentuk kezaliman dan penindasan baik dari segi dasar, strategi dan program pembangunan yang akan dilaksanakan.

Amalan politik kepartian perlu dilakukan secara matang dan dewasa. Prinsip-prinsip keadilan, kebebasan dan persamaan hendaklah dipegang teguh. Nilai-nilai materialisme, individualisme, politik ala-Machiavelli dan kerakusan kepada kuasa yang merebak dalam gelanggang politik negara tidak harus dibiarkan berterusan.

Tidak salah mempunyai pelbagai parti politik. Biarlah kita banyak persatuan tetapi kita mempunyai kesatuan. Kepelbagaian parti akan memperlihatkan kepelbagaian cara, kaedah, idea dan pandangan untuk mentadbir negara. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menguruskan kepelbagaian itu dengan baik dan secara profesional, bertolak-ansur dan hormat-menghormati dalam semangat patriotik: cintakan negara tidak berbelah bahagi.

Jika ada pun kritikan, ia disuarakan secara matang di meja perundingan dengan penuh hujah, kredibiliti, kewibawaan dan kompeten. Politik matang tidak akan mengheret dan melibatkan seluruh rakyat untuk turut sama berpolitik tidak kira masa, tidak kira tempat dan tidak kira perkara.


Integriti politik di Malaysia secara umumnya masih terpelihara. Bagi memastikan amalan politik yang bersih, berprinsip, telus, bertanggungjawab dan matang tidak semestinya mencipta semula budaya politik baru (reinventing of a new political culture). Pokoknya “pemain-pemain” atau ahli politik harus berpegang kepada kualiti unggul seperti akhlak yang baik, bersih, amanah, berilmu, beriman dan bertakwa, berfikiran luas dan tajam, berwawasan, telus, ikhlas, komited terhadap perjuangan dan sebagainya.


Sejarah Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat boleh dijadikan contoh bagaimana mengadakan kematangan berpolitik. John McCain yang tewas dalam perebutan jawatan presiden menentang Barack Obama hujung tahun lalu terlalu hebat kata-mengata demi memenangi hati rakyat untuk menguasai White House. Uniknya, selepas itu tiada lagi kata-mengata, tuduh-menuduh dan hentam-menghentam yang berlaku di antara keduanya. Pemimpin yang terpilih boleh terus menjalankan tugasnya dan pihak yang kalah akur dan memberikan ketaatan sebagai rakyat. Selepas itu rakyat Amerika tidak mengira parti terus bekerja membina negara dengan polisi dan prinsip kerajaan yang memerintah. Masing-masingg berfikir dan bertindak bagaimana hendak membela kebajikan rakyatnya.


Di Malaysia, titik persamaan untuk bekerjasama sebenarnya banyak. Kita seolah-olah terlupa bahawa “kerja untuk membina negara” masih banyak sedangkan fokus dan tumpuan kita ialah “kerja untuk meruntuhkan negara” dengan mengheret sebanyak mungkin sokongan rakyat untuk “berperang”.

Jangan sesekali kebencian membunuh rasional dan profesionalisme. Seringkali kita mendengar parti-parti politik di negara ini melaung-laungkan kerjasama, perpaduan dan kesatuan. Namun, semangat itu tidak diterjemahkan ke dalam diri ahli politik parti itu dan juga dalam parti itu sendiri. Masakan mesej yang ditawarkan itu akan sampai kepada rakyat kerana ia tidak lebih dari “guru kencing berdiri” sahaja.


Bangsa yang maju dari segi ekonomi dan mewah dari sudut material tetapi rosak dari segi moral dan akhlaknya tidak akan dapat mengekalkan survivalnya pada masa depan. Kita harus sedar dan insaf bahawa kehilangan integriti akan menghancurleburkan tamadun dan masyarakat sebagaimana yang berlaku pada bangsa Lut, Thamud, Empayar Firaun, mahligai Qarun dan sebagainya.

Apa yang kita hasratkan pada matlamat akhirnya penciptaan integriti politik negara ini ialah mencapai status sebuah negara yang akan mendapat limpahan keampunan dan rahmat Allah s.w.t. iaitu masyarakat baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur (Surah Saba’, ayat 15). Inilah rupa bentuk sebuah negara yang ditadbir oleh “khalifah” Allah.

1 comment:

Kuda Berhias said...

Salam Ziarah.
Teruskan penganalisaan anda. Baik untuk bacaan semua.