Menurut cerita yang pernah saya baca, orang-orang Jepun gemar memakan ikan segar. Tapi perairan di persisiran pantai negara Jepun tidak lagi mampu menampung keperluan ikan segar bagi penduduk Jepun yang semakin meningkat bilangannya. Jadi nelayan-nelayan Jepun terpaksa belayar jauh ke tengah lautan untuk menggandakan hasil tangkapan mereka. Semakin jauh mereka belayar semakin lama mereka mengambil masa untuk pulang. Dan sudah tentu ikan-ikan yang ditangkap tidak segar lagi ketika sampai di pantai. Orang-orang Jepun tidak suka rasa ikan yang tidak segar.
Untuk mengatasi masalah ini, syarikat-syarikat perkapalan nelayan Jepun menyediakan kotak ais di dalam kapal-kapal mereka. Ikan yang ditangkap disimpan di dalam kotak ais ini. Walaubagaimana pun orang-orang Jepun masih boleh membezakan di antara ikan segar dengan ikan yang dibekukan dan biasanya ikan yang dibekukan kurang mendapat sambutan.
Sekali lagi syarikat-syarikat perkapalan nelayan Jepun mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut. Kapal-kapal itu kemudiannya dilengkapkan pula dengan tangki ikan. Ikan yang ditangkap, dilepaskan hidup-hidup di dalam tangki ini. Namun selepas beberapa waktu berada di dalam tangki tersebut, ikan-ikan yang ditangkap tidak aktif bergerak. Ikan-ikan itu keletihan kerana terkurung dalam tangki yang terhad ruangnya (jika dibandingkan dengan lautan) tapi ikan-ikan itu masih lagi bernafas. Malang sekali, orang-orang Jepun yang mahir dengan rasa ikan masih dapat membezakan di antara ikan-ikan yang lepas bebas di lautan dengan ikan yang terkurung di dalam tangki. Ikan yang terkurung dalam tangki akan hilang kesegarannya. Orang-orang Jepun suka ikan yang aktif bergerak kerana isinya lebih sedap.
Jadi untuk mengatasi masalah ini, syarikat-syarikat perkapalan nelayan Jepun masih lagi menggunakan tangki tapi kali ini mereka letakkan seekor ikan jerung kecil di dalam tangki-tangki tersebut. Ikan jerung kecil cuma memakan sedikit daripada ikan-ikan yang ditangkap. Apa fungsinya ikan jerung kecil itu? Ia mengekalkan keaktifan ikan-ikan di dalam tangki tersebut kerana masing-masing berjuang dan berenang ke sana ke mari untuk menyelamatkan diri dari dimakan oleh jerung kecil itu
No comments:
Post a Comment