Patah tumbuh hilang berganti. Generasi muda pewaris negeri.
Soal pewaris negara tidak wajar dipandang enteng. Kerana negara adalah salah satu daripada aset utama kehidupan. Negara adalah platform dimana kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat dunia yang lain. Kita tidak mahu melihat anak bangsa kita hidup menumpang di tanah orang, ditindas, diabaikan, dinafikan, dianiaya. Itulah kepentingan sebuah negara kepada bangsa.
Tetapi wajar diingatkan bukan tanah negara sahaja yang diwarisi. Bahkan segala bentuk isi kandungnya juga diwarisi sepanjang zaman. Persoalannya apakah sebenarnya yang diwarisi? Apa yang jelas adalah pembangunan fizikal dan masyarakat majmuk.
Dari segi pembangunan fizikal, kita mewarisi pelbagai permasalahan fizikal. Isu alam sekitar yang parah, sungai tercemar, bukit ditarah, ekosistem terganggu. Isu pembangunan berpusat tanpa kawalan yang menyesakkan. Dari segi masyarakat majmuk, kita mewarisi permasalahan perpaduan. Perbezaan taraf hidup antara kaum membangkitkan rasa tidak senang. Ada yang meminta perlindungan, ada yang meminta berlebihan. Masalah sosial menjadi duri dalam daging kehidupan masyarakat. Bagaikan barah ia merebak dengan pantas sehingga ke masyarakat desa, metropolitan, seawal usia remaja sehingga ke tua. Ini adalah warisan peninggalan untuk generasi muda.
Dalam masa yang sama tidak dinafikan peninggalan berharga untuk diwariskan. Warisan ekosistem yang perlu dipelihara, pembangunan ekonomi yang perlu dijaga, kemakmuran rakyat jelata.
Jadi siapa generasi muda ini yang akan mewarisi segala kemewahan dan penyakit dalam negara ini?
>Kelab Wawasan UIAM
No comments:
Post a Comment