Friday, March 12, 2010

Pegangan Ekuiti Bumiputera Semakin Menguncup: Perlukah DPBS lancarkan “Juara Niaga”?


Pertama sekali, sedikit coretan mengenai seminar yang telah saya sertai anjuran DPBS.............Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud telah menganjurkan Seminar Keusahawanan Dan Peningkatan Modal Insan Masyarakat Bumiputera pada 11 Mac yang bertempat di Dewan Datuk Zakariah PDKB. Saya merupakan salah seorang peserta seminar tersebut.

Seawal 7.30 pagi kaunter pendaftaran dibuka. Ketika saya sampai, kelihatan begitu ramai peserta yang datang mendaftar yang dianggarkan dalam lingkungan 250-300 orang peserta. Dengan sambutan yang begitu ramai, Tahniah kepada DBPS.

Seminar telah bermula tepat jam 8.30 pagi walaupun pada asalnya dijadualkan akan bermula jam8.00 pagi. Mungkin disebabkan kehadiran peserta yang diluar jangkaan pada hari itu, menyebabkan majlis lewat bermula. Ceramah pertama telah disampaikan oleh MARA wakil daripada PMD Tuaran kemudian diikuti oleh wakil TEKUN Kota Belud yang disampaikan sendiri oleh pengurusnya dan diteruskan oleh wakil-wakil agensi-agensi lain.

Komen saya terhadap seminar tersebut walaupun kehadiran peserta yang ramai namun hakikatnya seminar tersebut HAMBAR!. Ia berdasarkan beberapa aspek, pertama persediaan pihak penganjur seminar tersebut dari segi peralatan yang kurang memuasakan. Contohnya P.A System gagal berfungsi dengan baik ditambah dengan pengerusi majlis yang  sedikit mengabaikan amalan protokol majlis. Ramai peserta yang duduk di bahagian belakang yang merungut disebabkan apa cuba disampaikan oleh para penceramah serta pengerusi majlis tidak jelas kedengaran.

Aspek seterusnya yang perlu diberi perhatian oleh pihak penganjur dan khasnya kepada para penceramah jemputan adalah siapa audien atau pendengar ceramah tersebut. Ini kerana ketika saya mengikuti ceramah, terdapat penceramah yang terlalu mengunakan istilah yang agak ilmiah/ canggih sedangkan hampir 95 peratus peserta yang hadir ketika itu terdiri daripada golongan warga yang sudah lanjut usia yang kelihatan sememangnya sukar untuk bercakap dalam Bahasa Melayu baku apa lagi dengan menggunakan bahasa-bahasa yang bombastic. Seperkara lagi yang saya fikir agak penting ialah, penceramah dalam keadaan fokus kepada skop/tajuk ceramah seharusnya juga menyampaikan apa yang hendak/ingin diketahui oleh audien/pendengar Bukannya menyampaikan apa yang dia tahu. Agensi/ Jabatan yang menghantar wakil bagi sesuatu seminar seharusnya wakil tersebut hendaklah seorang pegawai/kumpulan pembuatan keputusan. Ini kerana audien/hendakkan jawapan yang tepat bukannya jawapan berikut “perkara ini nanti saya rujuk dengan pegawai/bos saya, kemudian saya akan maklumkan dengan kamu”. 

Ketika menghadiri seminar tersebut, saya agak terkejut namun bukan kerana kedatangan peserta yang agak ramai tetapi kebanyakan peserta yang datang adalah daripada golongan warga yang sudah berusia/ warga emas, saya merupakan antara peserta yang termuda ketika itu... Ke mana perginya generasi muda? Apakah generasi muda bumiputera tidak berminat dalam bidang perniagaan? Itu dari aspek peserta. Sama juga halnya dengan AMT/ Board of Director DBPS pusat dan KB, semuanya orang lama kecuali YDP DPBS pusat adalah orang muda namun itu pun hanya pemangku.

Saya tidak berniat menidakkan keupayaan orang lama yang menerajui DPBS pusat dan Kota Belud, saya sangat menghargai sumbangan mereka untuk memajukan bumiputera. Namun demikian pada hemat saya, DPBS harus dirombak dengan memberi ruang yang lebih luas kepada golongan muda. Ini sebagai usaha untuk rejuvensi yang saya fikir perlu untuk DPBS, memberi ruang kepada golongan muda yang boleh bertindak sebagai golongan pendesak.

Kedudukan pegangan ekuiti bumiputera yang semakin menguncup, menuntut kepada pengorbanan dan perjuangan daripada NGO-NGO bumiputera. Skala perniagaan bumiputera yang semakin mengecil jika dibandingkan dengan non-bumiputera memperlihatkan betapa perlunya DBPS memainkan peranan. DPBS disamping perlu ejuvensi ia juga perlu menjadikan Juara Niaga sebagai fokus utama sepertimana UMNO yang melancarkan program Juara Rakyat. UMNO bukannya tidak juara rakyat tetapi kurang juara ekoran keputusan PRU-12. Begitulah pula halnya dengan DPBS yang perlu pendekatan Juara Niaga.

Maka DPBS mungkin memerlukan beberapa pindaan perlembagaan serta menilai semula mengenai kepincangan/kegagalan bumiputera bersaing dalam dunia perniagaan. Namun apa yang paling penting, DPBS seharusnya memikirkan bagaimana DPBS boleh mendapat kepercayaan kerajaan khasnya dalam urusan pengiktirafan bumiputera, di mana jika berdaftar dengan PMS, PUKONSA dan PKK, memadailah dengan berdaftar di DPBS untuk mendapat pengiktirafan bumiputera. Jika ini yang boleh dilakukan oleh DPBS, maka saya yakin dan percaya DPBS mampu melangkah lebih jauh dalam usaha memperkasa ekonomi bumiputera dan seterusnya melahirkan juara niaga bumiputera.        

No comments: