Tuesday, March 16, 2010

Gagasan ilmu perlu dalam kebudayaan, tamadun


Oleh Dr Zaini Ujang
BUDAYA ilmu adalah antara teras konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Menerusi budaya ilmu, masyarakat Malaysia berpotensi menjadi lebih dinamik, bermaruah, berinovasi dan berdaya saing. Antara program pengisian utama budaya ilmu ialah tradisi menghargai sumbangan dan meneladani tokoh ilmuwan. Tradisi ini sangat penting bukan kerana tokoh ilmuwan wajar diberi penghormatan kerana ketokohannya tetapi sumbangan dalam memajukan masyarakat menerusi komitmen dan pengembangan ilmu. Realitinya tokoh ilmuwan sering kali tidak difahami apatah lagi diiktiraf masyarakat sewaktu hayatnya. Malah kebanyakan tokoh ilmu seperti Imam Malik, Ibnu Taymiyyah, Syeikh al-Mutawalli Sya'rawi, Hamka, Galileo Galilei, Leonardo da Vinci dan sebagainya pernah dipenjara kerana komitmen yang ditunjukkan oleh mereka terhadap ilmunya. Masyarakat biasanya lebih nampak dan takjub dengan pemaparan luaran dan sumbangan berbentuk material yang sering mengelirukan. Apatah lagi jika individu itu mempunyai harta, aura dan penonjolan media yang menyerlah. Kalau hartawan, kita nilai kedermawanannya. Kalau penguasa, kita nilai keadilannya. Kalau pujangga, kita nilai kehalusan citranya. Dan kalau sarjana, kita nilai tahap hikmahnya.

Justeru, pada 23 Februari lalu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan majlis pelancaran buku Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in Honour of Syed Muhammad Naquib Al-Attas oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Buku suntingan Wan Mohd Nor Wan Daud dan M Zainiy Uthman itu adalah kumpulan 22 makalah tulisan 24 sarjana antarabangsa dalam menilai sumbangan serta pemikiran Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Dalam titahnya, Raja Nazrin menghargai sumbangan Syed Naquib sebagai ‘insan istimewa, memiliki watak intelek, jiwa intelek, daya intelek dan roh intelek seorang Muslim, perintis dalam mempelopori idea mengIslamkan ilmu’. Selain itu, Raja Nazrin berkenan mengupas isi buku itu secara intelek dan memperihalkan pengalaman bersama Syed Naguib dalam satu pertemuan selama dua jam ketika beliau menjadi Pengarah di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).


Titah Raja Nazrin lagi, pertemuan singkat yang satu-satunya itu - ‘berjabat tangan, bertentang mata, disusuli dengan renungan kata dan perbualan kata’ - memberi nilai baru akan erti dan makna pertemuan ‘bahawa pertemuan bernilai itu tidak memerlukan masa yang lama.’


Secara peribadi, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972) adalah karya Syed Naquib yang pertama saya baca. Ketika itu, saya masih mahasiswa jurusan kejuruteraan kimia yang kehausan idealisme. Awalnya memang sukar memahami pemikiran menerusi laras ilmu bahasa tinggi Syed Naquib. Perenggan pertama halaman pertama saja mengambil masa lebih setengah jam untuk saya berjinak-jinak dengan pelbagai istilah dan nama besar seperti Voltaire dan Macaulay; dan mengenai pengalaman Gulliver di negeri Brobdingnag yang didiami manusia tinggi dan besar seperti raksasa. Tidak tepat jika saya membicarakan ketokohan Syed Naguib kerana Prof Wan Mohd Nor dan Dr Zainiy Uthman lebih layak, akrab dan simbiotik. Saya sekadar melahirkan rasa syukur kerana dalam hidup saya sempat mengenali dan cuba berdampingan dengan seorang tokoh ilmuwan tempatan - dan sempat turut sedikit sebanyak terbabit menerbitkan buku menghargai sumbangan keilmuannya - yang mendapat perhatian dan sanjungan antarabangsa. Sumbangan Syed Naquib cukup bermakna bukan saja menjelaskan konsep dan asas pemikiran mengenai tema besar kehidupan, seperti Islam sebagai satu cara hidup, sejarah dan kebudayaan Melayu, pendidikan, sains, kemajuan, pembangunan, tamadun dan seumpamanya; tetapi turut terbabit dalam penubuhan pelbagai institusi berteraskan ilmu seperti Institut Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ISTAC.


Beliau juga antara pemikir ulung yang terawal membicarakan gagasan pengislaman ilmu dan universiti Islam yang berteraskan kepada konsep ilmu yang tidak bersifat bebas-nilai. Gagasan dan perkembangan ilmu mestilah selaras dengan sesuatu pandangan hidup, kebudayaan dan tamadun. Justeru cendikiawan Muslim dan institusi pengajian tinggi bertanggungjawab menyebarkan ilmu berasaskan pandangan hidup Islam. Inilah yang memperkuatkan jati diri dan idealisme umat Islam mengharungi pelbagai proses dalam membangunkan negara dan tamadun; dan sebagai perisai menghadapi gelombang globalisasi. Program pelancaran buku menghargai Syed Naguib oleh Raja Nazrin meninggalkan impak tersendiri kerana menyedarkan kita mengenai resam budaya ilmu yang sentiasa memuliakan kesarjanaan dan memartabatkan ilmuwan yang mempunyai pelbagai pandangan, idea dan gagasan yang kadangkala tampak sedikit percanggahan. Tetapi itulah hakikat perkembangan ilmu yang semakin subur dengan sifat kepelbagaian dan kerencaman.


Dalam konteks kenegaraan, Raja Nazrin bertitah: “Kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran negara disebabkan budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pimpinan yang sedang berkuasa yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar... Pimpinan yang stabil dan negara yang maju senantiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuwan dan menyediakan persekitaran politik yang tidak memusuhi kumpulan ilmuwan.”


Sumber: Utusan Malaysia

Monday, March 15, 2010

Isu Membasmi Kemiskinan: Antara Sahih Dan Munkar “Apakah Masalah Haqiqatnya?”


Cetusan isi hati setiap pemimpin yang silih berganti tidak dapat tidak akan membangkitkan isu pembasmian kemiskinan. Namun setiap ide yang dikeluarkan hanya mampu mengatasi masalah kemiskinan ini untuk satu jangka masa yang pendek sahaja, dan kemudian masalah yang lain pula timbul hasil dari pelaksanaan ide yang pada mulanya disangkakan bernas tadi, di mana akhirnya isu utama yang cuba diselesaikan makin menjadi rumit dan terus-terusan menjadi phobia di kalangan mereka yang bergelar pemimpin. Selagi masalah ini masih di takuk lama, selagi itulah ia akan terus menghantui pemikiran pemimpin untuk mencari jalan penyelesaian.

Mengikut carta statistik menunjukkan rata-rata kadar kemiskinan di kalangan orang Melayu yang pada zaman 70’an dulu melebihi kadar 50% telah dapat diturunkan sehingga ke paras bawah 5% sekarang. Sekiranya benar ukuran yang digunakan dan sekiranya cuma sekadar 5% kenapa masalah kemiskinan ini masih menjadi agenda utama pucuk kepimpinan? Nyatalah sebenarnya ukuran statistik yang dipamerkan tidak menunjukkan fakta yang sebenar.

Kayu pengukur kadar kemiskinan yang digunakan sudah tidak sesuai lagi untuk digunapakai bagi mengukur kadar kemiskinan zaman ini. Kalau dahulu kita sering mengkaitkan kemiskinan dengan masyarakat luar bandar, tapi sekarang isu kemiskinan ini lebih berat kepada masyarakat bandar. Masyarakat luar bandar yang dirundung kemiskinan masih boleh mengalas perut dengan makan ubi rebus, tetapi masyarakat bandar yang dirundung kemiskinan perlu mendapatkan hasil belas insan lain atau tidak maka terpaksa berlapar ditengah-tengah kota yang mana makanan boleh dikatakan melimpah ruah diseluruh pelusuk tempat. Apa maknanya semua ini? Oleh yang demikian maka sudah pasti ada yang tidak kena dengan cara kita mengatasi masalah kemiskinan ini.

Kalau di satu masa dahulu di zaman keagungan empayar Islam yang dipimpin oleh Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz, tidak terdapat seorang pun yang memerlukan wang zakat, kenapa contoh yang sama tidak dapat kita lakukan di zaman ini? Tentunya masih ada lagi yang kita tidak faham sehinggakan setiap langkah penyelesaian kita adalah merupakan masalah baru yang kita cetuskan kemudian. Ada tak kita terfikir jika cara kita melaksanakan urusan harian kita ini sahih semestinya hasilnya juga sahih; tetapi kenapa sebaliknya yang berlaku; “hasil yang disangkakan sahih sebaliknya menghasilkan lebih banyak kemungkaran”. Hakikat yang harus kita terima ialah jangan cuba menegakkan benang yang basah, biar pahit mana sekali pun.

Kalau di zaman dahulu mereka yang diklasifikasikan sebagai miskin adalah mereka yang kurang upaya, janda maupun ibu tunggal yang mempunyai anak kecil yang perlu dijaga dan orang tua yang uzur yang tidak mampu untuk bekerja, selain dari golongan ini seharusnya tidak miskin kerana mereka boleh bekerja untuk menampung diri dan juga tanggungan mereka. Apa sahaja kerja yang mereka lakukan pasti memberikan mereka pulangan yang boleh untuk mereka menanggung diri dan tanggungan mereka, sebagai contoh mencari kayu api di hutan ataupun mengail ikan di sungai dan lain-lain. Mereka yang malas bekerja sahaja yang akan menjadi “miskin” kerana tabiat buruk (malas) mereka sendiri. Namun di zaman yang kononnya digembar-gemburkan sebagai zaman bukan sahaja serba moden  malahan globalisasi ini, mereka yang miskin ini bukanlah di kalangan mereka yang malas bekerja, malah mereka ini adalah di kalangan yang ter-rajin sekali, sebagai contoh penoreh getah, pemandu teksi, nelayan, pekerja kilang, pekebun dan petani, buruh kasar membina rumah dan banyak lagi. Cuba bilang masa yang mereka habiskan dalam sehari untuk bekerja, tetapi pulangan yang mereka dapat mengkategorikan mereka di kalangan orang miskin.

Lebih teruk lagi bila di zaman ini ada satu klasifikasi ekonomi yang dipanggil kadar pengangguran. Di mana kadar pengangguran ini bermakna terdapat sebilangan masyarakat yang sedang mencari pekerjaan tetapi tiada pekerjaan yang dapat diuntukkan kepada mereka. Di mana logiknya kadar pengangguran ini? Apakah mereka yang sedang mencari pekerjaan dan tidak mendapat pekerjaan ini yang kemudiannya diklasifikasikan sebagai mereka yang menganggur ini tidak boleh bekerja? Sudah tentu mereka ini boleh bekerja, tetapi kenapa sistem ini menghalang mereka dari bekerja?

Apakah menjadi tangungjawab masyarakat ataupun kerajaan samada awam maupun swasta memberikan pekerjaan, maka bilamana pekerjaan tidak ada maka kerajaan harus dipersalahkan? Bukankah setiap kita ini seharusnya diberikan kebebasan untuk bekerja bagi menyara hidup kita dan tanggungan kita, dan bukannya tertakluk kepada jumlah pekerjaan yang disediakan oleh pihak pemerintah. Seharusnya tidak ada istilah pengangguran kerana rakyat sepatutnya bebas untuk melakukan apa sahaja yang berlandaskan undang-undang untuk mencari rezeki.

Bayangkan jika tidak ada petani yang sanggup menanam pisang kerana hasil jualannya yang tidak setimpal itu, maka dapatkah seorang pegawai yang bekerja di institusi kewangan dapat menikmati kesedapan sebiji pisang. Bagaimanakah untuk seorang nelayan tidak mengeluh dengan usahanya; hasil usahanya yang bertarung dengan nyawa di lautan bergelora, asyik sahaja menurun nilainya. Tahun demi tahun walaupun hasil tangkapannya di lipat kali gandakan tetapi imbuhan yang diterima masih juga tidak setimpal dengan usahanya. Sebagai contoh yang mudah, katakan pada hari ini seorang nelayan menangkap seekor ikan siakap dan dijualnya dipasar dan dia dapat 10 ringgit untuknya, maka dibelinya 5 tin susu untuk kegunaan isi rumahnya, namun pada tahun hadapan nelayan ini telah pergi mengail dan mendapat ikan siakap yang lebih besar daripada tangkapan yang lalu, maka bila dijualnya di pasar dia mendapat 11 ringgit, tetapi apabila dia ingin mendapatkan 5 tin susu, pekedai menyatakan duitnya hanya cukup untuk membeli 4 tin susu. Maka tersentak si nelayan mengenangkan nasibnya, lantas tercetus dimindanya - dimana adilnya?

Mungkin ada di kalangan kita yang mengatakan, inilah yang dinamakan inflasi. Tetapi, yang sebenarnya faktor inflasi adalah cuma satu jawapan kepada mereka yang malas untuk berfikir. Apakah dengan meletakkan alasan ketidakadilan tadi adalah kerana faktor inflasi maka ketidak adilan yang berlaku dapat dihalalkan? Bukankah dengan mendefinisikan inflasi seperti itu membenarkan kita menyatakan bahawa inflasi itu adalah suatu yang mungkar. Kenapa tidak dikaji apakah sebenarnya yang dikatakan inflasi itu dan adakah ianya wujud sejak dari dahulu kala lagi, dan apakah sebenarnya yang menyebabkan inflasi?

Nampaknya isu membasmi kemiskinan ini bukanlah hanya sekadar membantu mereka yang miskin itu untuk keluar dari kategori miskin malah ianya adalah lebih rumit daripada itu. Setakat ini kita dapat merumuskan bahawa terdapat kepincangan di dalam sistem pembayaran yang kita amalkan yang menyebabkan berlaku ketidakadilan tadi. Isu pembayaran inilah yang harus kita tumpukan buat masa ini bagi menyelesaikan sebahagian daripada masalah membasmi kemiskinan. Harus diingat dalam usaha mencari jalan penyelesaian, kebenaran biarpun pahit untuk ditelan tetap perlu dibongkar dan dilaksanakan. Mintalah pedoman Allah SWT supaya dicelikkan yang mana sahih dan yang mana mungkar, Insya’Allah barulah isu membasmi kemiskinan ini dapat diselesaikan buat sekian kalinya.

Friday, March 12, 2010

Pegangan Ekuiti Bumiputera Semakin Menguncup: Perlukah DPBS lancarkan “Juara Niaga”?


Pertama sekali, sedikit coretan mengenai seminar yang telah saya sertai anjuran DPBS.............Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud telah menganjurkan Seminar Keusahawanan Dan Peningkatan Modal Insan Masyarakat Bumiputera pada 11 Mac yang bertempat di Dewan Datuk Zakariah PDKB. Saya merupakan salah seorang peserta seminar tersebut.

Seawal 7.30 pagi kaunter pendaftaran dibuka. Ketika saya sampai, kelihatan begitu ramai peserta yang datang mendaftar yang dianggarkan dalam lingkungan 250-300 orang peserta. Dengan sambutan yang begitu ramai, Tahniah kepada DBPS.

Seminar telah bermula tepat jam 8.30 pagi walaupun pada asalnya dijadualkan akan bermula jam8.00 pagi. Mungkin disebabkan kehadiran peserta yang diluar jangkaan pada hari itu, menyebabkan majlis lewat bermula. Ceramah pertama telah disampaikan oleh MARA wakil daripada PMD Tuaran kemudian diikuti oleh wakil TEKUN Kota Belud yang disampaikan sendiri oleh pengurusnya dan diteruskan oleh wakil-wakil agensi-agensi lain.

Komen saya terhadap seminar tersebut walaupun kehadiran peserta yang ramai namun hakikatnya seminar tersebut HAMBAR!. Ia berdasarkan beberapa aspek, pertama persediaan pihak penganjur seminar tersebut dari segi peralatan yang kurang memuasakan. Contohnya P.A System gagal berfungsi dengan baik ditambah dengan pengerusi majlis yang  sedikit mengabaikan amalan protokol majlis. Ramai peserta yang duduk di bahagian belakang yang merungut disebabkan apa cuba disampaikan oleh para penceramah serta pengerusi majlis tidak jelas kedengaran.

Aspek seterusnya yang perlu diberi perhatian oleh pihak penganjur dan khasnya kepada para penceramah jemputan adalah siapa audien atau pendengar ceramah tersebut. Ini kerana ketika saya mengikuti ceramah, terdapat penceramah yang terlalu mengunakan istilah yang agak ilmiah/ canggih sedangkan hampir 95 peratus peserta yang hadir ketika itu terdiri daripada golongan warga yang sudah lanjut usia yang kelihatan sememangnya sukar untuk bercakap dalam Bahasa Melayu baku apa lagi dengan menggunakan bahasa-bahasa yang bombastic. Seperkara lagi yang saya fikir agak penting ialah, penceramah dalam keadaan fokus kepada skop/tajuk ceramah seharusnya juga menyampaikan apa yang hendak/ingin diketahui oleh audien/pendengar Bukannya menyampaikan apa yang dia tahu. Agensi/ Jabatan yang menghantar wakil bagi sesuatu seminar seharusnya wakil tersebut hendaklah seorang pegawai/kumpulan pembuatan keputusan. Ini kerana audien/hendakkan jawapan yang tepat bukannya jawapan berikut “perkara ini nanti saya rujuk dengan pegawai/bos saya, kemudian saya akan maklumkan dengan kamu”. 

Ketika menghadiri seminar tersebut, saya agak terkejut namun bukan kerana kedatangan peserta yang agak ramai tetapi kebanyakan peserta yang datang adalah daripada golongan warga yang sudah berusia/ warga emas, saya merupakan antara peserta yang termuda ketika itu... Ke mana perginya generasi muda? Apakah generasi muda bumiputera tidak berminat dalam bidang perniagaan? Itu dari aspek peserta. Sama juga halnya dengan AMT/ Board of Director DBPS pusat dan KB, semuanya orang lama kecuali YDP DPBS pusat adalah orang muda namun itu pun hanya pemangku.

Saya tidak berniat menidakkan keupayaan orang lama yang menerajui DPBS pusat dan Kota Belud, saya sangat menghargai sumbangan mereka untuk memajukan bumiputera. Namun demikian pada hemat saya, DPBS harus dirombak dengan memberi ruang yang lebih luas kepada golongan muda. Ini sebagai usaha untuk rejuvensi yang saya fikir perlu untuk DPBS, memberi ruang kepada golongan muda yang boleh bertindak sebagai golongan pendesak.

Kedudukan pegangan ekuiti bumiputera yang semakin menguncup, menuntut kepada pengorbanan dan perjuangan daripada NGO-NGO bumiputera. Skala perniagaan bumiputera yang semakin mengecil jika dibandingkan dengan non-bumiputera memperlihatkan betapa perlunya DBPS memainkan peranan. DPBS disamping perlu ejuvensi ia juga perlu menjadikan Juara Niaga sebagai fokus utama sepertimana UMNO yang melancarkan program Juara Rakyat. UMNO bukannya tidak juara rakyat tetapi kurang juara ekoran keputusan PRU-12. Begitulah pula halnya dengan DPBS yang perlu pendekatan Juara Niaga.

Maka DPBS mungkin memerlukan beberapa pindaan perlembagaan serta menilai semula mengenai kepincangan/kegagalan bumiputera bersaing dalam dunia perniagaan. Namun apa yang paling penting, DPBS seharusnya memikirkan bagaimana DPBS boleh mendapat kepercayaan kerajaan khasnya dalam urusan pengiktirafan bumiputera, di mana jika berdaftar dengan PMS, PUKONSA dan PKK, memadailah dengan berdaftar di DPBS untuk mendapat pengiktirafan bumiputera. Jika ini yang boleh dilakukan oleh DPBS, maka saya yakin dan percaya DPBS mampu melangkah lebih jauh dalam usaha memperkasa ekonomi bumiputera dan seterusnya melahirkan juara niaga bumiputera.        

Wednesday, March 10, 2010

Kota Belud: Kesesakan Jalan Semakin Kronik.



Perkembangan sektor pengangkutan darat moden di negara kita bermula pada tahun 1930-an apabila penjajah British meluaskan kuasanya di Tanah Melayu. Kini, sektor ini telah mengalami perkembangan yang pesat, terutama di bandar besar sehingga telah menimbulkan masalah kesesakan jalan raya yang serius.
Kesesakan jalan raya menjadi satu fenomena biasa di bandar besar. Semua orang harus menerima hakikat bahawa jalan raya di bandar besar sudah tidak lagi dapat menampung kenderaan yang semakin bertambah tetapi lain pula halnya bagi Daerah Kota Belud yang belum pun mencapai status bandar besar telah menghadapi masalah kesesakan jalan yang semakin kronik. Seandainya faktor  pertambahan pesat penduduk yang berhijrah dari luar bandar dijadikan alasan, merupakan suatu andaian yang cukup meleset. Ini kerana Daerah Kota Belud merupakan kawasan yang tidak keterlaluan saya nyatakan sebagai kawasan luar bandar dan sebahagian besar kawasan di daerah ini adalah dikategorikan sebagai kawasan pedalaman.   
Biasanya faktor kemalangan juga dikatakan berlakunya kesesakan jalan raya. Apabila kemalangan terjadi, ia akan menghalang lalu lintas dan menyebabkan kesesakan. Memandangkan Malaysia ialah salah sebuah negara yang mempunyai kadar kemalangan  jalan raya yang tinggi di dunia, ia secara langsung mempengaruhi fenomena kesesakan jalan raya. Namun demikian, apa yang biasa kita perhatikan bahawa statistik kemalangan di Kota Belud adalah antara yang terendah di Malaysia. 

Kesesakan jalan raya menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk. Salah satunya ialah masalah masa. Akibat kesesakan lalu lintas, banyak masa yang terbuang. Golongan yang bekerja terpaksa keluar dari rumah awal-awal lagi dan pulang ke rumah lewat petang. Banyak masa yang sepatutnya dihabiskan di rumah bersama anak-anak terbuang bigitu sahaja. Selain pembaziran masa, ia menyebabkan tenaga kerja negara tidak produktif. Ini sekali gus merugikan negara dari segi ekonomi.
Kerja-kerja yang sepatutnya boleh dilakukan dalam masa yang singkat boleh tergendala akibat kesesakan jalan raya. Banyak urusan ekonomi dan perniagaan seperti penghantaran barang dari satu tempat ke tempat yang lain sering tergendala dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasinya walaupun melibatkan jarak yang dekat.

Satu lagi akibat daripada kesesakan jalan raya ialah berlakunya penyakit fizikal. Kesesakan jalan raya yang serius boleh menyebabkan pencemaran paru-paru, sesak nafas dan pening kepala. Bunyi bising enjin kenderaan boleh menyebabkan kerosakan pendengaran dan masalah gangguan konsentrasi. Selain itu, kesesakan jalan raya juga boleh menimbulkan ketegangan psikologi. Ini terjadi kerana para pengguna jalan raya terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya. Kajian yang dijalankan oleh pakar psikologi menunjukkan bahawa masyarakat bandar sering terdedah kepada masalah ketegangan akibat daripada kesesakan jalan raya, pencemaran alam sekitar dan bunyi bising.
Keputusan untuk melaksanakan Projek Jalan Penyuraian (Relief Road) yang telah diumumkan seawal suku keempat tahun 2009 merupakan keputusan yang tepat pada masanya. Umum telah dimaklumkan oleh pihak berkenaan bahawa jalan tersebut sudah di peringkat akhir rekabentuk dan akan ditender secepat mungkin memandangkan kerajaan persekutuan telahpun bersetuju menyediakan peruntukan bagi projek tersebut. Seperkara lagi dikhabarkan bahawa kerja-kerja pembinaan hanya akan mengambil kurang daripada 4 bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
Pengguna jalan yang semakin tertekan dengan masalah kesesakan jalan selama ini, berasa lega dan bersyukur kerana akhirnya rintihan dan suara mereka selama ini telah mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan. Ini kerana jalan tersebut dikatakan mampu untuk menyuraikan sistem trafik kenderaan di Kota Belud dengan lebih berkesan lagi disamping dapat mengurangkan kesesakan jalan yang semakin kronik di Kota Belud.
Namun demikian, beberapa orang pengguna jalan raya baru-baru ini melahirkan rasa kekecewaan, kerana apa diharapkan selama ini jalan raya  berbentuk “Y” yang menjadi hadiah buat pengguna jalan raya, bak kata pepatah seperti “menunggu kucing bertanduk”. Projek ini semakin menjadi tanda tanya kerana tidak menampakkan sebarang tanda-tanda kerja pembinaan bermula. Apakah projek tersebut telahpun dibatalkan? Jika tidak!, kenapa tidak dilaksanakan? Jika Ya! Apakah kaedah penyelesaian altenatif?.
Penantian para pengguna selama ini seperti sedang menantikan hujan yang tidak pernah kunjung tiba sedangkan guru berdentum-dentum di langit bagaikan halilintar membela bumi. Harap pihak berkenaan memberikan penjelasan sewajarnya kepada para pengguna jalan dan amnya rakyat di daerah ini berhubung isu berkenaan.
Kesimpulannya, semua pihak terbabit perlu bertindak segera menangani masalah ini sebelum ia menimbulkan kesan sosioekonomi yang lebih serius. Ini kerana kesesakan jalan di Pekan Kota Belud, adalah isu yang termasuk dalam kategori isu yang tidak pernah selesai di daerah ini.

Monday, March 8, 2010

Kota Belud: Dilema Keperluan Asas.


Isu-isu berkaitan perkhidmatan dan bekalan air bersih di Negeri Sabah merupakan salah satu isu yang hangat diperkatakan dewasa ini. Tambahan pula ekoran kenyataan beberapa pihak termasuk wakil rakyat berhubung urusan pengurusan dan bekalan air bersih di Sabah. Satu perkara yang jelas ialah di Kota Belud masalah  perkhidmatan bekalan air bersih di daerah ini yang semakin kritikal ekoran musim kemarau yang berpanjangan. Segelintir penduduk berpendapat bahawa penswastaan merupakan kaedah terbaik bagi mengatasi masalah bekalan air bersih. Manakala sebahagian pula tidak bersetuju, sebaliknya ia ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadikan air sebagai satu komoditi yang diuruskan oleh syarikat swasta, yang bertujuan untuk mengaut keuntungan. Namun, apa yang penting di sini ialah air merupakan keperluan asas bagi semua hidupan di muka bumi ini. Bekalan air bersih ini hendaklah mampu dinikmati oleh semua orang tidak kira status sosial atau di mana ia berada dengan mudah dan pada kadar yang berpatutan.


Umumnya negara kita merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber air. Menurut Kajian Sumber Air Kebangsaan, 97 peratus air mentah yang diproses untuk kegunaan domestik dan industri adalah daripada sumber air permukaan seperti air sungai.' Kalau kita teliti pula, peratus kependudukan yang menerima bekalan air bersih ini, satu kajian yang dilakukan oleh Buletin Kesihatan Masyarakat, dalam keluaran khasnya, menunjukkan bahawa pada tahun 1950-an, hanya 23 peratus sahaja anggota masyarakat yang menerima bekalan air bersih. Angka ini telah meningkat sehingga mencecah 51 peratus pada tahun 1970-an. Pada akhir tahun 1997, 96 peratus masyarakat bandar dan 86 peratus masyarakat luar bandar telah menerima bekalan air bersih. Satu lagi isu yang perlu diambil kira ialah penawaran dan permintaan bekalan air di negara kita. Kajian Sumber Air Kebangsaan turut menunjukkan bahawa permintaan air bagi sektor domestik, industri dan perparitan akan meningkat sebanyak 63 peratus, iaitu 10,833 juta kubik meter pada tahun 2000 kepada 17,675 juta kubik meter pada tahun 2050. Apa yang boleh kita simpulkan di sini ialah, walaupun negara kita mempunyai sumber air yang banyak tetapi ia tidak semestinya dapat menampung keperluan penduduk yang kian meningkat ini. 3 Matlamat Pembangunan Milenium, atau Millenium Development Goals yang diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, inginkan 191 negara, termasuk Malaysia yang menjadi anggota PBB ini agar dapat mencapai lapan objektif dalam tahun 2015 yang telah digariskan pada tahun 2010. Di antaranya ialah pembangunan lestari yang akan merangkumi isu-isu pemuliharaan dan pemeliharaan sumber semulajadi.



Berbalik kepada isu bekalan air bersih yang semakin kritikal di Kota Belud. Masalah bekalan air bersih di Kota Belud bukanlah isu baru di daerah ini, ianya samalah seperti masalah kesesakan lalu lintas dan lembu terbiar di Pekan Kota Belud yang merupakan permasalahan tuntas.

Berbagai kenyataan dan penerangan dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berkenaan mengenai isu ini. Ada pihak yang menyatakan bahawa loji lama dan loji baru di Bayayat tidak mempunyai sambungan selain tekanan air tidak cukup kuat dan andainya tekanan air dipertingkatkan dikhuatiri saluran paip akan pecah. Suatu kenyataan yang mungkin ada benarnya tetapi cukup mengelirukan!

Apakah dengan sekadar jawapan sedemikian sudah cukup untuk menjelaskan isu berkenaan setelah sekian lama permasalahan ini membelenggu rakyat di Kota Belud khasnya penduduk di kawasan perkampungan. Rakyat yang terhimpit dengan masalah kritikal bekalan keperluan asas ini bukanlah cuba untuk menidakkan segala penerangan/ jawapan daripada pihak-pihak yang berkenaan namun demikian Apakah dengan memberikan jawapan sedemikan sudah memadai? Jika inilah masalahnya, Apakah tidak ada jalan penyelesaian altenatif? Barangkali penyelesaian yang lebih baik dan ekonomik!

Mungkin ada yang berfikiran bahawa artikel  ini merupakan suatu pandangan sinis. Namun bagi saya, sebagai rakyat yang turut terlibat sama dengan permasalahan ini yang tahu akan betapa peritnya mendapatkan bekalan air bersih mengharapkan suatu jalan penyelesaian atau setidak-tidaknya pun cadangan yang menjurus ke arah penyelesaian bukannya hanya sekadar alasan yang asalkan logik untuk diterima akal fikiran. 

Saturday, March 6, 2010

Pentingnya Air Bersih Terhadap Kesihatan Manusia

Mungkin bagi kebanyakan kita, air seolah-olah tidak memainkan peranan yang begitu penting. Namun pada hakikatnya air, selain oksigen, merupakan bahan yang paling penting yang diperlukan oleh setiap manusia sepanjang hayatnya. Malangnya air sering diabaikan dalam diet, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Dalam kajian yang dilakukan di Hong Kong baru-baru ini, hanya 50 peratus daripada mereka yang ditinjau minum air sebanyak lapan gelas sehari. Manakala, yang lain-lainnya hanya minum apabila berasa dahaga saja.

Sebenarnya, kita perlu memberikan perhatian terhadap kebaikan minum air dan menggalakkan kanak-kanak berbuat sedemikian. Amalan minum air yang cukup akan dapat menghindarkan berlakunya pendehidtratan dan mengekalkan amalan membuang air besar. Di samping itu, kesihatan kulit dan rambut akan terjaga.

Kita memperoleh air daripada cecair seperti air paip, susu, jus buah-buahan, kordial, minuman ringan dan sup. Makanan seperti nasi, roti, mi, buah-buahan, dan sayur-sayuran turut mempunyai sedikit air walaupun tidak cukup untuk memenuhi keperluan cecair kita.

Air membentuk kira-kira 55-57 peratus daripada berat badan kita dan mempunyai peranan yang penting dalam hampir setiap fungsi utama badan. Air melaraskan suhu badan di samping membawa nutrien dan oksigen ke sel, serta menghapuskan sisa. Air turut melindungi sendi serta mengawal organ dan tisu. Tanpa makanan, manusia dapat hidup selama lapan minggu, tetapi tanpa air manusia akan mati dalam masa tiga hari.

Jumlah air yang hilang sebagai keringat adalah berbeza-beza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Hal ini bergantung juga pada suasana sekitar, tahap kegiatan, dan saiz badan. Dalam kegiatan biasa, kita mengeluarkan kira-kira 500-600 ml peluh sehari. Input air perlulah sekurang-kurangnya sama dengan output air. Orang dewasa biasanya memerlukan air antara 8-12 gelas sehari. Jumlah air yang diperlukan oleh kanak-kanak pula bergantung pada umur, berat, dan kegiatan fizikal mereka. Oleh sebab saiz tubuh mereka adalah kecil, mereka akan mengalami pendehidratan yang cepat. Selain itu, keperluan air meningkat sekiranya kita banyak menghabiskan masa di luar rumah dalam cuaca panas, kerap bersenam, atau berada dalam bilik yang berhawa dingin.

Meminum minuman yang bersih dan selamat adalah penting kerana kebanyakan penyakit adalah bawaan air. Masa yang terbaik bagi kita untuk minum air ialah sebelum kita berasa dahaga. Artikel seterusnya akan cuba merungkai permasalahan bekalan air bersih di Kota Belud...........