Kisah dua ekor katak yang jatuh ke dalam satu tempayan susu lembu segar. Dinding-dinding tempayan itu licin dan curam mankala susu lembu di dalamnya begitu dalam dan sejuk.
”Alamak bagaimana ni?” kata katak yang pertama. ”Ini takdir, tidak ada orang yang akan menolong kita. Selamat tinggal, sahabatku! Selamat tinggal dunia yang menyedihkan!” katanya lagi sambil menangis dan akhirnya dia pun tenggelam.
Tetapi, katak yang kedua itu terus mengayuhkan kakinya dan mula berenang. Sesekali dia berhenti bagi menyapu mukanya dan mengeringkan matanya yang penuh dengan susu itu.
”Biarlah aku berenang sekejap. Tidak ada gunanya sekiranya seekor lagi katak mati”.
Jadi, si katak pun terus berenang. Selama beberapa jam dia menendang dan berenang, tidak sekalipun dia mengeluh. Kayuhan kaki katak yang tidak berhenti-henti itu akhirnya membuatkan susu lembu di dalam tempayan itu menjadi keras. Selepas susu berubah menjadi mentega, katak itu pun melompat keluar daripada tempayan dan berjaya menyelamatkan dirinya.
Satu perkara yang membezakan dua ekor katak tadi adalah cara mereka melihat keadaan dunia di sekeliling mereka dan bagaimana mereka bertindak terhadap dugaan dan cabaran yang dihadapi.
Dalam 2 bulan yang lepas senario politik sedunia amat meriah dan menarik sekali. Di celah-celah dunia digemparkan dengan peristiwa ledakan gunung berapi di Iceland yang walaupun tidak mengorbankan satupun nyawa tetapi mendatangkan kemudaratan kepada alam sekitar serta menyebabkan ramai orang terkandas di banyak lapangan terbang seluruh dunia.
Sebagaimana menggelegaknya isi perut bumi dengan beberapa siri ledakan gunung berapi serta gempa bumi, begitu juga di atas permukaan bumi dengan berbagai-bagai peristiwa dan gelagat makhluk bernama manusia.
Peristiwa yang agak menarik berlaku di Britain dan Thailand, dua buah negara yang mengamalkan demokrasi dengan sistem Parlimen dan Raja Berperlembagaan yang boleh menjadi penunjuk kepada keadan kecelaruan politik di Malaysia.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, sekarang ini peristiwa yang berlaku di seluruh dunia bagaikan berlaku di sebelah kita saja. Ini adalah berkat kehebatan ledakan era telekomunikasi serba canggih yang melapurkan pelbagai bentuk berita selama 24 jam sehari tanpa henti.
Seperti mana berputarnya bumi di atas paksinya begitulah juga peristiwa yang berlaku yang dilapurkan oleh media massa dan media lain termasuk internet, twitter, facebook, sms dan lain-lain.
Dalam banyak-banyak peristiwa yang dilapurkan ada beberapa peristiwa yang menarik perhatian kita yang boleh dijadikan panduan serta pengajaran kepada halatuju politik tanah air.
Pertama adalah mengenai pilihanraya Britain yang berlaku yang mendapat perhatian dunia terutama negara-negara 'Commonwealth' yang mana struktur politik masing-masing mendapat inspirasi darinya termasuk Malaysia.
Kerajaan campuran yang terbentuk antara Parti Konservatif pimpinan David Cameron yang memenangi pilihanraya tanpa mendapat majoriti mutlak, dengan Parti Liberal Demokrat pimpinan Nick Clegg iaitu parti yang mendapat tempat ketiga jauh di bawah Parti Buruh pimpinan bekas Perdana Menteri Gordon Brown.
Ini menunjukkan bahawa dalam sesuatu pilihanraya umum, keputusan yang diputuskankan oleh rakyat tidak semestinya memihak secara mutlak kepada parti politik pemerintah.
Apa pun boleh berlaku termasuk yang mengejutkan rakyat dan yang tidak disangka-sangka, tidak mustahil boleh berlaku.
Yang menarik perhatian adalah semua ini berlaku dalam suasana amat bertamadun, dengan perbincangan demi perbincangan, manipulasi serta percaturan politik dan semuanya menurut perlembagaan, undang-undang serta mendapat restu pehak istana Britain.
Dan yang lebih menarik lagi adalah terbentuknya sebuah kerajaan campuran antara dua parti yang sebelum ini memusuhi antara satu sama lain dengan ideologi yang jauh berbeza.
Kerajaan campuran ini adalah yang pertama semenjak perang dunia kedua yang tercatit di dalam sejarah politik moden.
Kedua-dua pemimpin ini sanggup mengenepikan berbezaan ideologi mereka demi kestabilan negara dan kemakmuran Britain. Dibuktikan bahawa kekuatan negara adalah lebih penting dari kekuatan parti dan peribadi, satu sifat unggul tetapi masih belum terbukti keampuhan dan ketahanannya lagi.
Tanpa mengambil masa yang lama, kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat dan China terus mengiktiraf kerajaan campuran yang baru terbentuk dan suasana seharian politik dunia terus berjalan seperti sedia kala.
Di sebelah Asia Tenggara pula lain jadinya. Sebuah kerajaan berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang agar besar iaitu Thailand pula masih tidak dapat keluar dari kemelut politik mereka.
Secara ringkasnya, kekalutan ini bermula lebih empat tahun lalu apabila Taksin Shinawatra yang telah memenangi pilihanraya secara demokrasi telah digulingkan pada tahun 2006.
Penggulingan ini berlaku dengan kuasa tentera yang bergabung dengan kumpulan elit Thai (kumpulan baju kuning) yang bimbang akan pengaruh Taksin yang meningkat dengan mendadak dan polisinya yang banyak membantu orang-orang miskin dan petani Thai yang dilihat adalah sebagai perisai politik yang dibentuk oleh Taksin sendiri.
Ramai orang tahu bahawa Taksin yang merupakan seorang 'bilionair' boleh melakukan apa sahaja demi kekayaan peribadi termasuk menjual saham syarikat telekomunikasi Thailand kepada satu syarikat telekomunikasi Singapura.
Setelah melarikan diri selepas digulingkan, beliau dengan dibantu oleh konco-konco beliau di dalam negeri segera membentuk 'People Power Party' (PPP) yang telah menang besar pada pilihanraya tahun 2007.
Walaubagaimanapun Parti PPP telah di bubarkan apabila Mahkamah Agong Thai memutuskan ianya tidak mengikut perlembagaan.
Dengan keputusan itu Parlimen Thailand telah melantik pemimpin Parti Demokratik yang kalah pilihanraya iaitu Abhisit Vejjajiva sebagai Perdana Menteri.
Taksin yang masih tidak berpuas hati telah segera membentuk kumpulan baju merah dengan gabungan penyokong setianya dan rakyat miskin dan petani Thai.
Ada berita angin juga mengatakan bahawa pegawai rendah tentera Thai juga bersama-sama dalam kumpulan ini.
Tujuan utama kumpulan ini dibentuk adalah untuk memberi tekanan kepada kerajaan Abhisit yang dianggap, terbentuk tanpa mandat rakyat melalui pilihanraya.
Abhisit yang pada mulanya mahu berunding telah menunjukkan belangnya dengan mengarahkan askar bertindak keras terhadap kumpulan baju merah tersebut.
Dengan kekerasan dilawan kekerasan ada tanda-tanda bahawa satu perang saudara akan meletus jika tindakan tidak diambil untuk membawa kedua-dua kumpulan ini ke meja rundingan.
Kedua-dua peristiwa ini sengaja dibawa dan dibentangkan secara terperinci di sini untuk pembaca menilai, menimbang seterusnya mengambil apa jua pelajaran serta pengajaran akan apa yang boleh berlaku apabila kuasa politik tidak diseimbangkan dengan kuasa undi dari rakyat.
Di Malaysia selama sejak kemerdekaan sehingga beberapa tahun terdahulu kita telah menikmati satu keadaan agak tenteram, di mana kita telah ditadbir urus secara seimbang, adil dan progresif.
Parti Perikatan dengan diwakili oleh UMNO, MCA dan MIC telah memerintah agak lama sehingga tahun 60'an.
Kemudian dengan kemasukan parti-parti yang menyokong ideologinya dan dengan masuknya Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia maka terbentuklah parti Barisan Nasional.
Siapakah yang telah mendidik anak bangsa sehingga ke satu tahap di mana kita berada sekarang? Anak Malaysia telah sampai ke angkasa, juga telah mengelilingi dunia secara solo.
Kita juga telah sampai ke puncak gunung Everest. Kalau nak disenaraikan pencapaian kita satu persatu memang agak mustahil tetapi hakikatnya tiada siapa yang boleh menafikan dan tiada siapa jua yang boleh merampas hak kepada fakta yang 'sudah terang lagi bersuluh' ini tentang siapa yang bertanggungjawab memungkinkan ini semua boleh terjadi.
Masalah yang selalu timbul tanpa kita sedari ialah, biasanya dengan kemakmuran datangnya kemajuan dan dengan kemajuan datangnya kemewahan.
Selalunya dalam kemewahan manusia akan terlupa dan alpa asal usul mereka. Dan yang menyedihkan lagi adalah dengan kemewahan selalunya kita lupa diri dan keimanan akan menipis.
Sebab itulah kalau kita kaji sejarah kerajaan Islam, syiar Islam terbentuk dari jati diri dan keimanan yang utuh, semangat setiakawan yang erat, pembangunan ekonomi yang adil dan saksama penuh dengan kasih sayang dan keperihatinan, keadilan sosial yang ampuh dan yang palig penting sekali adalah asas kerajaan yang terbentuk dari nur Al-Quran dan petunjuk sunnah.
Apa yang boleh kita pelajari dari peristiwa di atas dan juga mungkin dari keadaan sosio-politik dan ekonomi negara kita Malaysia, kita lihat banyak kepincangan-kepincangan datang dari sifat-sifat penuh nafsu manusia tanpa kawalan iman dan akal.
Kemewahan yang membuat manusia menjadi tamak haloba, yang haram dan halal sudah disamarata dan dimajmukkan, sumber pendapatan sudah tidak di pastikan kebersihannya, zuriat keturunan yang sudah tidak dipedulikan kesuciannya dan kerajaan yang dipilih melalui emosi tidak terkawal, fitnah-memfitnah, rasuah politik, janji-janji manis tapi kosong sehingga boleh membawa kepada pergaduhan serta peperangan dan bunuh membunuh antara kaum, saudara dan seagama yang membawa malapetaka yang tidak ada kesudahannya.
Kalau dulu pepatah melayu ada mengatakan umpama 'katak bawah tempurung' tetapi dengan kecanggihan alat siar-raya, dengan internet berada di mana-mana dan sumber berita berterusan selama 24jam, pepatah sudah berubah menjadi 'seperti katak dalam rumah kaca'.
Tetapi katak tetap katak yang tidak peduli akan apa yang berlaku di persekitaran dia.
Sudahlah tidak peduli, malangnya dia juga tidak peka kepada apa jua yang berlaku di luar rumah sehingga apabila dilanda Tsunami barulah terkapai-kapai mencari ranting untuk berpaut. Takut waktu dan keadaan sudah amat meruncing sehingga tiada apa yang boleh dibuat untuk menyelamatkan dirinya.
Setiap kejadian itu, ada pengajaranNya. Maka sebaiknya kita, ambillah iktibar. Oleh : Dr Rashid Mokti