Oleh Muhamad Razak Idris
Tersiar di Berita Harian: 20 April 2010, Selasa
Tersiar di Berita Harian: 20 April 2010, Selasa
DALAM Islam, segala amalan dan perbuatan adalah ibadah apabila dilakukan secara ikhlas untuk memperoleh keredaan Allah dan disempurnakan mengikut aturan atau tatasusila nilai yang mulia. Menerusi kacamata ini, berpolitik ialah satu bentuk amalan atau perbuatan yang dikategorikan sebagai ibadah jika pembabitannya dilakukan dengan penuh ikhlas dan berakhlak.
Kedudukan kegiatan berpolitik dalam struktur nilai ibadah dalam Islam amat tinggi. Kedudukan yang tinggi ini disebabkan kepentingan peranannya menentukan kesejahteraan urus tadbir sesebuah masyarakat.
Satu daripada urusan terpenting dalam kegiatan politik ialah fungsinya sebagai saluran atau wahana menentukan tonggak kepimpinan sesebuah masyarakat. Oleh itu, dalam sejarah tamadun Islam, urusan berpolitik dalam konteks memilih dan menetapkan kepemimpinan dalam sesebuah masyarakat perlu didahulukan daripada urusan lain apabila berlaku kekosongan kepemimpinan akibat kematian atau peralihan.
Dalam hal ini, barangkali kita selalu mengikuti perbahasan dalam sejarah awal Islam setelah kewafatan Nabi Muhammad, masyarakat Islam mendahulukan majlis untuk memilih pemimpin baru atau khalifah sebelum baginda dikebumikan. Semangat kepentingan terhadap urusan ini juga dapat dilihat dalam amalan pemerintahan Islam sehingga hari ini.
Kenapakah urusan politik atau tugas memilih pemimpin begitu mustahak dalam kehidupan? Pemimpin adalah keperluan asasi sesebuah masyarakat. Peranan pemimpin amat besar dan tanggungjawabnya berat. Masyarakat memerlukan pemimpin kerana mereka memerlukan seseorang yang boleh dipercayai bagi memastikan urusan kehidupan seharian seperti hal ehwal keselamatan, sumber makanan dan kebajikan sentiasa terjamin. Adalah menjadi peranan dan tanggungjawab pemimpin, apabila terpilih untuk menjaga segala urusan kehidupan ini secara bijaksana dan amanah.
Oleh itu, dalam beberapa perbahasan mengenai takrif politik, sebahagian sarjana menyatakan politik ialah satu bentuk seni kepemimpinan bagi mengatur dan mengurus percaturan hidup sesebuah masyarakat. Oleh demikian, tugas seorang pemimpin meliputi tanggungjawab mengendalikan seluruh urusan kehidupan masyarakatnya secara hikmah dan berseni bagi memastikan setiap warga mendapat ruang saksama dan berpeluang maju serta bangkit membangun secara berterusan.
Justeru, beberapa perbahasan dalam teks klasik oleh sarjana Muslim berkaitan kepemimpinan, kriteria yang amat ketat diletakkan untuk memilih seseorang pemimpin masyarakat. Sarjana seperti al-Farabi menyatakan, seseorang pemimpin itu perlu memiliki watak mulia dan terpuji, kebijaksanaan yang tinggi, ikhlas dan beramanah selain bertanggungjawab dan memiliki tahap kerohanian berkualiti.
Dengan memiliki watak dan ciri kepemimpinan ini, seseorang pemimpin itu akan berupaya membawa masyarakatnya menuju kesejahteraan dan kemakmuran. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk memilih kepemimpinan terbaik yang mampu mengurus tadbir percaturan kemasyarakatan dan kenegaraan secara adil serta saksama.
Di negara ini, proses memilih pemimpin harus melalui kegiatan berpolitik. Sejak merdeka, kita bersepakat menerima sistem demokrasi sebagai cara memilih pemimpin masyarakat dan negara. Menerusi sistem ini, semua orang yang merasakan dirinya layak hendaklah mencalonkan dirinya menerusi sebuah institusi pemilihan yang dikenali sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Seseorang yang ingin mencalonkan diri sebagai pemimpin boleh melakukan sama ada secara individu atau menerusi parti politik berdaftar secara sah. Bagi memperoleh sokongan pula, setiap calon perlu berkempen untuk meraih undi dalam pilihan raya.
Seperti dijelaskan sebelum ini, politik adalah satu bentuk ibadah yang tertinggi daripada perspektif agama. Bagi tujuan memastikan segala amalan menerusi kegiatan politik dinilai sebagai satu bentuk ibadah di sisi agama, kita ingin menganjurkan beberapa tatasusila berikut dipatuhi.Pertama, hendaklah mengikhlaskan diri kepada Allah iaitu dengan menyedari bahawa pembabitan kita dalam kegiatan politik bertujuan menyempurnakan ibadah kepada-Nya iaitu bagi menjalankan tugas memilih pemimpin terbaik untuk masyarakat dan negara.
Kedua, hendaklah menjaga tatasusila akhlak dan etika dalam berpolitik. Dalam hubungan ini, kita hendaklah mengelakkan daripada terjebak perbuatan bertentangan dengan prinsip akhlak Islam seperti menipu, merasuah, mencerca, mengaibkan, memfitnah dan menjatuhkan maruah orang lain dalam kempen politik sama ada menerusi ucapan mahupun tulisan.
Ketiga, hendaklah menjaga hubungan silaturahim dan ukhwah sesama kita sepanjang berpolitik. Kita jangan bermusuhan sehingga kepada pergaduhan dan menyakiti hati dan perasaan orang lain. Tugas menjaga kesatuan dan perpaduan masyarakat dan Ummah juga adalah satu bentuk ibadah yang tertinggi menurut perspektif agama yang perlu dijaga oleh kita semua.
Keempat, hendaklah berlaku adil dalam memberi ruang yang saksama kepada semua pihak dalam berpolitik. Semua calon perlu diberikan hak mereka dalam menyampaikan hasrat dan cita kepemimpinannya untuk dinilai oleh masyarakat.
Kelima, rakyat hendaklah memilih calon terbaik yang mampu mewakili inspirasi politik yang terbaik untuk negara kita.
Keenam, hendaklah reda dengan keputusan pemilihan yang diputuskan secara bersama oleh seluruh pengundi yang layak dilaksanakan secara telus, adil dan saksama.
Ketujuh, hendaklah bersatu selepas pemilihan dan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pemimpin terpilih. Pemimpin terpilih hendaklah menjalankan amanah kepemimpinannya tanpa pilih kasih antara rakyat.
Dengan memenuhi tatasusila dan etika politik ini, amalan dan kegiatan politik kita akan terhitung sebagai sebahagian dari nilai ibadah kepada Allah.
No comments:
Post a Comment