Wednesday, March 10, 2010

Kota Belud: Kesesakan Jalan Semakin Kronik.



Perkembangan sektor pengangkutan darat moden di negara kita bermula pada tahun 1930-an apabila penjajah British meluaskan kuasanya di Tanah Melayu. Kini, sektor ini telah mengalami perkembangan yang pesat, terutama di bandar besar sehingga telah menimbulkan masalah kesesakan jalan raya yang serius.
Kesesakan jalan raya menjadi satu fenomena biasa di bandar besar. Semua orang harus menerima hakikat bahawa jalan raya di bandar besar sudah tidak lagi dapat menampung kenderaan yang semakin bertambah tetapi lain pula halnya bagi Daerah Kota Belud yang belum pun mencapai status bandar besar telah menghadapi masalah kesesakan jalan yang semakin kronik. Seandainya faktor  pertambahan pesat penduduk yang berhijrah dari luar bandar dijadikan alasan, merupakan suatu andaian yang cukup meleset. Ini kerana Daerah Kota Belud merupakan kawasan yang tidak keterlaluan saya nyatakan sebagai kawasan luar bandar dan sebahagian besar kawasan di daerah ini adalah dikategorikan sebagai kawasan pedalaman.   
Biasanya faktor kemalangan juga dikatakan berlakunya kesesakan jalan raya. Apabila kemalangan terjadi, ia akan menghalang lalu lintas dan menyebabkan kesesakan. Memandangkan Malaysia ialah salah sebuah negara yang mempunyai kadar kemalangan  jalan raya yang tinggi di dunia, ia secara langsung mempengaruhi fenomena kesesakan jalan raya. Namun demikian, apa yang biasa kita perhatikan bahawa statistik kemalangan di Kota Belud adalah antara yang terendah di Malaysia. 

Kesesakan jalan raya menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk. Salah satunya ialah masalah masa. Akibat kesesakan lalu lintas, banyak masa yang terbuang. Golongan yang bekerja terpaksa keluar dari rumah awal-awal lagi dan pulang ke rumah lewat petang. Banyak masa yang sepatutnya dihabiskan di rumah bersama anak-anak terbuang bigitu sahaja. Selain pembaziran masa, ia menyebabkan tenaga kerja negara tidak produktif. Ini sekali gus merugikan negara dari segi ekonomi.
Kerja-kerja yang sepatutnya boleh dilakukan dalam masa yang singkat boleh tergendala akibat kesesakan jalan raya. Banyak urusan ekonomi dan perniagaan seperti penghantaran barang dari satu tempat ke tempat yang lain sering tergendala dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasinya walaupun melibatkan jarak yang dekat.

Satu lagi akibat daripada kesesakan jalan raya ialah berlakunya penyakit fizikal. Kesesakan jalan raya yang serius boleh menyebabkan pencemaran paru-paru, sesak nafas dan pening kepala. Bunyi bising enjin kenderaan boleh menyebabkan kerosakan pendengaran dan masalah gangguan konsentrasi. Selain itu, kesesakan jalan raya juga boleh menimbulkan ketegangan psikologi. Ini terjadi kerana para pengguna jalan raya terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya. Kajian yang dijalankan oleh pakar psikologi menunjukkan bahawa masyarakat bandar sering terdedah kepada masalah ketegangan akibat daripada kesesakan jalan raya, pencemaran alam sekitar dan bunyi bising.
Keputusan untuk melaksanakan Projek Jalan Penyuraian (Relief Road) yang telah diumumkan seawal suku keempat tahun 2009 merupakan keputusan yang tepat pada masanya. Umum telah dimaklumkan oleh pihak berkenaan bahawa jalan tersebut sudah di peringkat akhir rekabentuk dan akan ditender secepat mungkin memandangkan kerajaan persekutuan telahpun bersetuju menyediakan peruntukan bagi projek tersebut. Seperkara lagi dikhabarkan bahawa kerja-kerja pembinaan hanya akan mengambil kurang daripada 4 bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
Pengguna jalan yang semakin tertekan dengan masalah kesesakan jalan selama ini, berasa lega dan bersyukur kerana akhirnya rintihan dan suara mereka selama ini telah mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan. Ini kerana jalan tersebut dikatakan mampu untuk menyuraikan sistem trafik kenderaan di Kota Belud dengan lebih berkesan lagi disamping dapat mengurangkan kesesakan jalan yang semakin kronik di Kota Belud.
Namun demikian, beberapa orang pengguna jalan raya baru-baru ini melahirkan rasa kekecewaan, kerana apa diharapkan selama ini jalan raya  berbentuk “Y” yang menjadi hadiah buat pengguna jalan raya, bak kata pepatah seperti “menunggu kucing bertanduk”. Projek ini semakin menjadi tanda tanya kerana tidak menampakkan sebarang tanda-tanda kerja pembinaan bermula. Apakah projek tersebut telahpun dibatalkan? Jika tidak!, kenapa tidak dilaksanakan? Jika Ya! Apakah kaedah penyelesaian altenatif?.
Penantian para pengguna selama ini seperti sedang menantikan hujan yang tidak pernah kunjung tiba sedangkan guru berdentum-dentum di langit bagaikan halilintar membela bumi. Harap pihak berkenaan memberikan penjelasan sewajarnya kepada para pengguna jalan dan amnya rakyat di daerah ini berhubung isu berkenaan.
Kesimpulannya, semua pihak terbabit perlu bertindak segera menangani masalah ini sebelum ia menimbulkan kesan sosioekonomi yang lebih serius. Ini kerana kesesakan jalan di Pekan Kota Belud, adalah isu yang termasuk dalam kategori isu yang tidak pernah selesai di daerah ini.

No comments: