Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Tuesday, October 20, 2009

Hari Kemerdekaan...31 Ogos atau 16 September....?


Umumnya tarikh kemerdekaan negara ialah 31 Ogos 1957 dan kita merayakan hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos pada setiap tahun. Jelas di sini kita telah terlepas pandang tarikh 16 september. Fakta sejarah mencatatkan 16 september ialah hari Malaysia di mana Tanah Melayu yang telah merdeka bercantum dengan Sabah, Sarawak dan Singapura yang belum merdeka. Soalanya adakah Sabah dan Sarawak merdeka pada 31 Ogos? Malaysia sebagai sebuah negara wujud pada 16 September 1963 bukan pada 31 Ogos 1957. 31 Ogos 1957 hanya Persekutuan Tanah Melayu merdeka, tidak Sabah dan Sarawak, oleh itu 16 September sebenarnya adalah tarikh yang lebih penting daripada 31 Ogos kerana negara kita Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.


Jika mengikut fakta sejarah, 31 Ogos adalah tarikh bagi hari kemerdekaan Tanah Melayu sahaja dan pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman hanya mengumumkan kemerdekaan Tanah Melayu bukannya Malaysia. Ketika itu belum ada idea untuk menamakan Tanah Melayu sebagai Malaysia. Walaubagaimana pun, cadangan memasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura menjadi alasan utama untuk penubuhan Malaysia. Negeri-negeri berkenaan diberikan syarat agar bergabung dengan Tanah Melayu sebelum dimerdekakan secara mutlak. Akhirnya 16 September 1963 menjadi saksi akan penubuhan Malaysia dan sekaligus Sabah Sarawak dan Singapura merdeka dari kolonial British.


Pembentukan persekutuan baru ini pada mulannya dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan Tanah Melayu ke-6.

Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat referendum di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.


Jadi jika dinilai dari aspek sejarah 16 September bukanlah sekadar hari penubuhan Malaysia tetapi kemerdekaan mutlak semua negeri yang bergabung dalam Malaysia. Tanah Melayu pula selepas itu disebut sebagai Semenanjung dan setiap negeri dalam Semenanjung mempunyai kuasa negeri sama seperti Sabah Sarawak dan Singapura.


Sambutan 31 Ogos setiap tahun sebenarnya hanyalah dinikmati maksudnya oleh penduduk Semenanjung tetapi di Sabah Sarawak ianya tidak memberikan makna yang besar kerana tiada kaitan dengan negeri mereka. Hari Malaysia pada 16 September merupakan cuti am di negeri Sabah dan Sarawak. Ia bukan merupakan cuti am di Semenanjung Malaysia. Ini mengelirukan generasi baru kerana ada dua bentuk cuti atau perayaan yang berbeza untuk negara ini.


Sebagai menyahut seruan kebangsaan serta semangat 1Malaysia, seharusnya 16 September diiktiraf sebagai hari sebenar Malaysia ditubuhkan dan kemerdekaan Negara. Isu ini nampak macam isu kecil, tapi hakikatnya ramai rakyat kita yang tersilap kerana menganggap negara ini merdeka pada 31 Ogos. Fakta ini harus diperbetulkan dan tarikh kemerdekaan itu hendaklah diubah agar generasi akan datang faham dan sedar tarikh sebenar negara ini wujud dan merdeka dengan rasminya.

sumber: e-mail drp seorang sahabat