Sunday, September 6, 2009

Senja Di Pelabuhan





Angin laut di sini menolak sepi
Meluruskan getar fikir
Kata-kata meluncur bagai ais
Licin dan sejuk.

Sambil mencicipi makanan panas
Wap rebusan sayur cina
Aromanya di antara riak mata
Terkembanglah birai teluk,
Seperti juga ulangan ceritera ke seribu kali
Aku pencerita segala kisah purba
Kau pendengar setia.

Akulah bidadari laut
Mengurai rambut basah lembut
Sambil
Menjalin bicara senja
Kaukah
Melengkungi sabda jingga
Yang tak tergapai itu
Adalah keinginan
Rahsia sutera termahal
Berhimpun
Seperti muatan kapal yang tak pernah sarat
Sedang pelabuhan kehilangan kelasi.

~ Siti Zainon Ismail

Saturday, September 5, 2009

Membuang sifat ego dan bangga diri

Manusia diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini. Setiap manusia di muka bumi ini berbeza antara satu dengan yang lain. Oleh itu kita hidup di bumi ini perlu saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Ibaratkanlah hidup kita sebagai batu-bata untuk membina rumah. Sekiranya kurang satu batu-batu itu, maka tidak lengkaplah rumah yang ingin dibina.

Sekiranya seseorang manusia diuji dengan ilmu dan kepandaian, janganlah mengaggap dirinya hebat, kita perlulah melihat ke bawah juga. Kadangkala kehebatan dan kepandaian boleh merosakkan iman seseorang. Akibat sifat bangga, takbur dan ego pada diri sendiri, boleh merosakkan keimanan seseorang. Nau`zubillahi min zalik !!.

Sekiranya kita amati, Islam menyuruh kita mempelajari ilmu akhlak terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu-ilmu yang lain. Hal ini amat praktikal, iaitu terjadi apabila seseorang itu, telah menguasai ilmu akhlak, maka dengan mudah baginya menguasai diri dan memandu kehidupannya. Maka hendaklah kita nilai diri kita terlebih dahulu, adakah kita telah menguasai ilmu akhlak?? Atau masih lagi tidak mengetahui asal usul ilmu tersebut.

Apalah yang ada pada ilmu sekiranya tidak disertai dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah ta`ala. Sikap ego dan bangga diri akan lahir apabila melihat diri sendiri hebat dari orang lain. Kehebatan diri jauh lebih baik dari orang lain. Melihat kekurangan yang ada pada diri orang lain sambil mentertawakan orang itu. Begitu juga melihat penderitaan dan kesusahan yang dialami orang lain. Oleh itu cara terbaik mengelakkan diri daripada sifat ego dan membangga diri ialah dengan selalu mendekatkan diri kepada Allah ta`ala. Beristighfar dengan memikirkan kesilapan yang dilakukan dan bertaubat dengan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan. Sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Bantulah insan yang memerlukan bantuan dengan berlapang dada, tanpa disuruh dan tanpa diumumkan. Itu lebih baik dissisi Tuhan rabbul i`zzah.

Sumber: http://blogs.iium.edu.my

Thursday, September 3, 2009

Amalkan politik matang









KUALA LUMPUR 31 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sudah tiba masanya semua pihak khususnya mereka yang berstatus pemimpin mengamalkan politik yang lebih matang demi masa depan negara lebih cemerlang.

Perdana Menteri berkata, sekarang bukannya waktu untuk mereka berdebat atau mengupas sesuatu isu secara retorik kerana perbuatan seperti itu tidak akan memberi faedah terhadap usaha memajukan negara.

"Dalam proses Malaysia memasuki fasa menuju ke arah negara maju selepas 52 tahun merdeka, kita harus sedar bahawa banyak cabaran dan rintangan yang terpaksa kita hadapi. Dunia sekarang telah berubah dan menuntut kita bekerja lebih keras.

"Oleh itu untuk berhadapan cabaran serta perubahan yang berlaku, negara amat memerlukan amalan politik yang lebih matang. Elakkan sebarang perdebatan dan perkara yang bersifat retorik," katanya dalam blog 1Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, saranannya itu amat berkait rapat dengan usaha kerajaan untuk membina kekuatan dan semangat yang tinggi di kalangan rakyat dan pemimpin negara ini dalam mencapai cita-cita tersebut.

"Negara ini kita akan wariskan kepada generasi akan datang dan saya amat berharap dengan kerjasama semua pihak tidak kira kaum kita mampu menyediakan negara yang mempunyai masa depan lebih cerah untuk mereka," katanya.

Dalam pada itu Najib berkata, erti kemerdekaan amat bermakna buat dirinya kerana beliau membesar ketika negara baru mencapai kemerdekaan daripada British.

"Saya lahir empat tahun sebelum negara merdeka. Pada masa itu negara ini masih baru dan muda dan saya menyaksikan bagaimana negara ini mengalami perubahan. Saya akui semangat patriotik saya amat tinggi.

"Saya juga adalah anak kepada salah seorang Perdana Menteri dan anak saudara kepada seorang lagi Perdana Menteri. Semangat patriotik mereka mengalir ke dalam diri saya. Seperti mana mereka, saya juga berjanji dan berjuang untuk kesejahteraan negara ini," katanya.

Sementara itu beliau berkata, usia 52 tahun merdeka bukan satu masa yang panjang tetapi dalam tempoh tersebut Malaysia berjaya mengecapi pelbagai kejayaan antaranya daripada negara berteraskan pertanian kepada negara berasaskan pembuatan serta perkhidmatan.

"Begitu juga dengan kejayaan kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan. Pada tahun 1957, lebih sebahagian rakyat kita hidup dalam keadaan miskin tetapi pada masa ini kurang daripada empat peratus mereka yang hidup dalam keadaan miskin.

"Usaha ini (pembasmian kemiskinan) akan diteruskan dan kejayaan ketika menurunkan kadar kemiskinan adalah hasil daripada tumpuan kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pendidikan serta kesihatan.

Sumber : Utusan Malaysia

Tuesday, September 1, 2009

WIRAKU GAGAH GEMILANG TERBILANG (Istimewa buat Pak Amin)











Aku teringat pada Gatotkaca
tokoh wayang dari daratan Jawa
bertulang besi berurat kawat
boleh terbang ke udara.

Kini aku bersemuka di depan pintu realiti
insan berperasaan berdenyut nadi
dengan lirih doa merata dalam setiap gerak geri.

Kaukah yang memikul bulan di bahu
dan memberi salam agung
lewat celah jendela awan?

Dan dari perut sejarah
telah lahir bayi
bernama Wira Gagah Gemilang Terbilang.

Kau telah memetik matahari
dan memasukkannya ke dalam mangkuk kristal
lalu kuletakkan di dada bumi
di depan ribuan mata telanjang
dengan sekawah doa.

Terasa haruman bunga di jiwamu
merebak ke serata alam
dan orang-orang bersorak
bersama alu-aluan kepalan tangan kanan
menggapai ke langit
dengan satu laungan kebanggaan.

Kau adalah bintang
yang menyinari bumi bertuah...bangsa bertuah
aku cuma kunang-kunang
hanya dapat menyinari lingkaran diri
lewat celahan ketiak daun.

Kutulis puisi: kutulis semarak api kebanggaan
Kusaksikan: aroma wangi bangsa kian semerbak.

Dipetik dan diubahsuai dari: http://puisisajakmelayu.blogspot.com

Pemanasan global jejas kesihatan.

Aktiviti pemanasan global meningkatkan suhu bumi hingga boleh menjejaskan kesihatan manusia. Menurut kajian yang dilakukakn oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan iklim yang telah terjadi sejak tahun 1970-an telah menyebabkan 150 ribu kematian setahun akibat peningkatan kejadian penyakit.

Jangkitan virus, bakteria dan kuman pembawa penyakit dikatakan akan semakin berleluasa. Jika dahulu, penyakit influenza hanya akan menyerang ketika di musim dingin (di negara empat musim) atau di musim hujan ( di Negara iklim tropika), tetapi kini sudah mula menyerang tidak mengira musim lagi.

Oleh itu, berwaspadalah dan pelihara kesihatan anda setiap waktu. Berhati-hati dengan penyakit-penyakit akibat bakteria dan kuman. Ikuti beberapa panduan di bawah:

  1. Cirit birit.

Perubahan iklim yang berkaitan dengan pola hujan mempengaruhi penyebaran berbagai mikro organisma penyebar penyakit. Hujan mencemari air dengan cara memindahkan kotoran manusia dan haiwan ke air tanah. Antara organisma yang dikaitkan dengna penyakit cirit-birit adalah Kriptosporodium, Giardia dan E.Coli. Walaupun begitu, penularan penyakit ini bukan hanya disebabkan olah organisma-organisma yang disebutkan sahaja. Ia juga boleh berlaku akibat kontaminasi air dan sebagainya.

  1. Demam Denggi Berdarah dan Malaria

Udara lembap dan hangat menjadi habitat yang paling digemari nyamuk, terutama nyamuk jenis Anopheles dan Aedes Aegypti. Nyamuk jenis ini merupakan penyebar parasit malaria dan virus denggi. Jika dulu nyamuk ini kerap muncul ketika transisi musim hujan dan kemarau, tetapi kini serangannya boleh dikatakan berlaku hamper di kesemua musim sepanjang tahun. Suhu lebih panas ternyata memendekkan kitaran hidup nyamuk-nyamuk ini sekaligus mengurangkan tempoh matang kuman yang terdapat di dalam badan nyamuk. Akibatnya, populasi nyamuk tersebut meningkat dan penularannya semakin cepat. Apa yang boleh lakukan untuk mencegah gigitan nyamuk:

· Tidur dalam kelambu

· Sapukan krim pencegah gigitan nyamuk.

· Sembur ruangan kediaman anda dengan semburan nyamuk satu jam sebelum masuk tidur.

Untuk membanteras sarang nyamuk:

· Bersihkan bekas-bekas yang memudahkan air bertakung

· Bersihkan semak belukar di sekitar rumah.

· Pelihara ikan untuk membunuh larva nyamuk.

· Taburkan ubat khas yang mampu membunuh larva nyamuk di dalam bekas seperti pasu bunga, kolam ikan, kolam air dan sebagainya.

· Pastikan tiada kain yang bergantungan di rumah.

Apa yang boleh anda lakukan:

  • Biasakan mencuci tangan dan kaki setiap kali anda pulang ke rumah. Ini kerana anda berkemungkinan terkena kotoran atau kuman sepanjang anda berada di luar rumah.
  • Tempatkan alas kaki di pintu depan atau bahagian dapur rumah bagi mencegah penyebaran kotoran atau parasit yang boleh masuk melalui kulit.
  • Elakkan tabiat membeli makanan di tempat yang kotor atau diketahui tahap kebersihan yang rendah.

  1. Kanser kulit.

Gas rumah kaca yang terkumpul di atmosfera bumi menyumbangkan peningkatan pemanasan global dan seterusnya merosakkan lapisan ozon. Jika dalam keadaan normal, atmosfera bumi boleh menahan 95 peratus radiasi ultra lembayung matahari dan hanya lima peratus daripada sinaran tersebut yang masuk ke bumi, tetapi kini lapisan tersebut sudah tidak mampu untuk menahannya, terutama di sekitar kawasan kutub selatan.

Keadaan ini seterusnya menyebabkan penduduk di kawasan itu terdedah kepada penyakit kanser kulit. Walaupun begitu, ia tidak bermaksud bahawa kita di sini bebas untuk terdedah di bawah sinaran matahari tanpa sebarang pelindung. Yang boleh kita lakukan:Pastikan anda sapukan krim atau losyen pelindung matahari 20 minit sebelum anda keluar dari rumah. Sebaik-baiknya yang mempunyai SPF 15 atau lebih.Sebaik-baiknya, sapukan juga krim tersebut pada kedua telinga dan kaki anda. Jika anda rasakan anda akan berada di bawah sinaran matahari untuk tempoh waktu yang panjang, pilihlah losyen yang mempunyai SPF 30 atau lebih. Ia lebih berkesan menahan sinaran matahari yang berbahaya kepada kulit anda.

  1. Penyakit Paru Obstruktif Kronik.

Rata-rata kenaikan suhu udara global ‘hanya’ 0.8o Celcius. Namun di beberapa tempat, suhu udara naik cukup tinggi, termasuklah suhu air laut hingga ada ketikanya membuatkan sesetengah tempat bertekanan rendah. Angin kencnag mudah terbentuk ketika ini. Tiupan angin kencang yang bercampur dengan udara kering boleh membentuk percikan api sehingga akhirnya mengakibatkan kebakaran hutan. Akibatnya, timbul asap tebal yang memenuhi ruangn udara. Debu halus dan pelbagai oksida karbon itu menyebabkan gangguan pernafasan seperti asma dan lebih teruk lagi boleh menyebabkan penyakit paru obstruktif kronik. Selain itu, asap tersebut juga membawa racun dioksin yang boleh menimbulkan kanser paru-paru dan gangguan kehamilan. Sebaliknya bahan kayu yang terbakar di hutan pula menghasilkan jutaan gas-gas rumah kaca yang akhirnya pemanasan global.

Apa yang boleh anda lakukan:

Jika sudah mengalami penyakit paru obstruktif kronik, elakkan daripada anda mengidap influenza atau pneumonia, yang boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan anda. Sebaiknya lakukan vaksinasi influenza setiap tahun dan vaksinasi pneumokokus setiap enam tahun atau lebih.

Sumber: http://www.sabah.org.my