Friday, June 12, 2009

Kota Belud Berpotensi Dimajukan Pusat Pelancongan


Kota Belud terletak di Pantai Barat Utara Negeri Sabah. Daerah ini menyimpan seribu satu macam khazanah alam yang tidak terbanding nilainya. Sesiapa yang datang berkunjung ke Kota Belud pasti akan terpegun dengan keindahan alamnya yang cukup mendamaikan. Ia membuatkan pengunjung leka dan terlupa akan segala macam masalah, akibat keasyikan menghayati panorama alam yang cukup menakjubkan.

Deruan air terjun yang memecah kesunyian hutan seakan-akan menjemput pengunjung datang bertandang menghayati keindahan alam yang belum terusik oleh arus pembangunan. Manakala pantainya yang indah memutih, sesuai untuk tempat beriadah dan berkelah terutamanya pada hujung minggu bersama keluarga mahupun teman-teman. Bagi yang gemar memancing, Kota Belud merupakan tempat yang paling sesuai kerana memiliki sungai-sungai yang yang jernih dan terpelihara daripada masalah pencemaran alam. Keunikan adat serta kekayaan budaya masyarakat Iranun, Bajau dan Dusun mampu menjadi daya tarikan khasnya kepada pelancong-pelancong asing.

Daerah ini juga suatu ketika dahulu mendapat jolokan sebagai Pekan Cowboy kerana Daerah Kota Belud tidak keterlaluan saya umpamakan sebagai lost world of Kota Belud dengan kerbau dan lembu memenuhi padang ragut bebas ditambah dengan kuda padi yang merupakan sebahagian daripada identiti Kota Belud. Tamu merupakan sebahagian lagi keunikan budaya perniagaan bagi masyarakat khasnya Iranun, Bajau dan Dusun yang mana menjadi pusat urusniaga utama dan keunikan budaya perniagaan ini tercatat dalam kalendar pelancongan yang mana Tamu Besar akan diadakan pada setiap penghujung tahun di Kota Belud. Selain daripada itu dalam aspek pengangkutan, pastinya akan mengejutkan dan menjadi suatu pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan bagi mereka yang pertama kali datang ke Kota Belud yang mana pick-up menjadi kenderaan utama yang setanding dengan bas dan teksi bagi lain-lain tempat di Malaysia.

Dalam beberapa buah filem dari Filipina yang pernah saya tonton, saya lihat kenderaan awam yang digunakan di sana lebih kurang sama dengan di Kota Belud iaitu pick-up cuma bezanya di sana pick-up dihiasi dengan indah. Jadi para pengusaha kenderaan pick-up perlu mengambil inisiatif untuk menghiasi pick-up masing-masing kerana ini mampu menjadi daya tarikan pelancong.

Namun demikian kelebihan Kota Belud tidak akan dapat dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi sekirannya tiada perancangan serta implementasi kearah memajukan Kota Belud sebagai pusat pelancongan dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti insentif pelancongan daripada pihak berkuasa. Penduduk-penduduk kampung seharusnya diberikan galakan melibatkan diri dalam industri pelancongan untuk menyediakan kemudahan homestay memandangkan Kota Belud dewasa ini belum punya sebarang hotel yang sempurna cuma rumah tumpangan sementara serta beberapa resort kecil. Malahan pelancongan di Kota Belud juga berpotensi sebagai pusat agro-tourism memandangkan kebanyakan penduduknya menjadikan pertanian dan perikanan sebagai sumber pendapatan utama tambahan lagi Kota Belud telahpun diisytiharkan bakal salah satu jelapang padi di Malaysia. Usaha-usaha menarik para pelabur seperti promosi atau publisiti meluas serta insentif pelaburan seperti membantu pengusaha pelancongan mendapatkan tempat yang sesuai untuk mendirikan hotel dan sebagainya harus diberi perhatian bagi menjadikan Kota Belud sebagai pusat pelancongan terkenal dan menajdi tumpuan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Tuesday, June 9, 2009

Kata-kata Obama tidak akan mengaburi penjajahan Amerika

"BERSAMA MENDOAKAN KEBEBASAN PALASTINE"


Apabila penjajah Eropah, Napoleon Bonaparte, menceroboh Mesir sebagai salah satu langkah untuk menguasai dunia, beliau berkata kepada penduduknya: Kamu sekalian sudah diberitahu bahawa saya datang untuk menghapuskan agama kamu. Jangan percaya kepada dakyah tersebut….Saya menghormati Tuhan kamu, RasulNya dan Quran berbanding golongan Mameluk (Raja)” dan berbagai lagi kata-kata manis yang lain.

Ucapan Barack Obama di Mesir disanjungi oleh mereka yang mengatakan bahawa akan berlaku polisi baru kepada dunia Islam. Walaupun ianya dilihat sebagai suatu perkembangan yang positif untuk dunia Islam, tindak-tanduk pentadbiran Obama pada hakikatnya adalah tidak banyak berbeza dengan pentadbiran Bush sebelum ini. Beliau hanya berbeza daripada Bush di mana Bush meluahkan perasaan benci secara terang-terangan terhadap umat Islam, tetapi Obama mengunakan kata-kata manis yang menutupi perasaan sebenarnya terhadap Islam. Daripada mempercayai retorik, marilah kita melihat kepada fakta-fakta berikut:

Pakistan: Dalam masa beberapa bulan menjawat jawatan sebagai Presiden Amerika, pentadbiran Obama telah mengakibatkan seramai 3 juta orang menjadi pelarian dengan mengarahkan rejim Zardari untuk melancarkan perang di wilayah Swat. Sebelum dia menjawat jawatan sebagai Presiden, dia telah mengatakan bahawa Pakistan adalah Negara yang paling merbahaya di dunia, dan dia akan mengebom Islamabad sekiranya perlu. Polisinya di rantau tersebut adalah untuk mengekalkan kekuasaan Amerika di Afganistan dan Pakistan, dan berperang menentang 'pemberontak yang disokong rakyat' -cuma dia terpaksa menggunakan tentera Pakistan dan bukannya Amerika untuk tujuan tersebut. Kita telah menyaksikan rancangan keji tersebut melalui tindakan CIA di Iraq dan di Amerika Tengah, yang mana mereka telah menanamkan rasa permusuhan sesama umat Islam, dan Obama telah berkali-kali melakukan pengeboman dengan menggunakan pesawat kawalan jauh di Pakistan.

Palestine: Obama mengatakan bahawa beliau mahu melihat pelan damai “road-map” untuk mewujudkan sebuah negara Palestin. Sesetengah orang melihat usaha ini sebagai suatu yang positif, sebab beliau terpaksa bertembung dengan ahli politik Israel yang menentang idea tersebut. Tetapi ramai tidak mengetahui bahawa pelan damai “road-map” penubuhan negara Palestin hanyalah suatu propaganda yang menjurus kepada suatu penjara yang besar, di mana pengawal penjara adalah orang Palestin dan bukan Israel. Sekiranya mereka (orang Palestin) tidak menjaga keselamatan Israel menurut piawaian yang ditetapkan oleh Israel, maka Israel akan menceroboh lagi.

Sokongan ke atas Israel: Obama telah melantik Rahm Emanuel, anak kepada kumpulan pengganas Irgun (semasa pemerintahan British), sebagai ketua kepada para pegawainya. Emanuel berkata bahawa Obama tidak perlukan pengaruhnya untuk mengarahkan “polisi Amerika untuk menyokong Israel”. Ini adalah benar kerana, sebelum Obama menjadi Presiden, beliau berkata: “Kita mesti memelihara tanggungjawab unik kita terhadap pertahanan Israel dengan membiayai ketenteraan dan pembuatan peluru berpandu Arrow dan program pertahanan yang berkaitan”. Beliau juga telah mengeluarkan perkataaan yang belum diungkapkan oleh mana-mana Presiden Amerika Syarikat sebelum ini iaitu: “Jerusalem (Baitul Muqqadis) mesti kekal menjadi ibukota negara Israel dan tidak boleh dibahagikan kepada sesiapa”. Beliau juga mengeluarkan komen terhadap keganasan Israel di Gaza: “Amerika mempunyai tanggungjawab besar terhadap keselamatan Israel, dan kami akan sentiasa menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri mereka terhadap apa-apa serangan”.

Berkenaan penderaan di Teluk Guantanamo: Obama mengisytiharkan bahawa beliau akan menutup penjara tahanan di Teluk Guantanamo, dan semua menjangkakan tribunal ketenteraan akan berakhir. Walau bagaimana pun, para tahanan sebenarnya akan dipenjarakan di tempat lain dan beliau masih meneruskan tribunal ketenteraan yang penuh kontroversi. Walaupun beliau telah membuat banyak kritikan terhadap CIA yang melakukan penderaan tahanan, beliau belum pernah melaksanakan hukuman terhadap pendera-pendera yang bersalah, malah beliau tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan penderaan bagi mendapatkan maklumat di tempat-tempat lain di dunia.

Mengenai pemenjaraan tanpa keputusan mahkamah: Pada bulan Mei 2009, Obama telah menyatakan sokongan beliau terhadap penahanan tanpa keputusan mahkamah di Amerika Syarikat. Beliau menggunakan retorik seperti Bush, dengan mengatakan bahawa terdapat segolongan “manusia paling merbahaya” di mana tidak ada bukti yang mencukupi terhadap mereka, oleh itu mereka mesti dipenjarakan.

Sokongan terhadap diktator dan penguasa zalim di negara kaum muslimin: Obama memberikan sokongan terhadap para penguasa zalim di negara-negara muslim sebagaimana Presiden-Presiden sebelumnya. Di dalam wawancara beliau dengan Perbadanan Penyiaran British (BBC), beliau mengatakan bahawa Mubarak, yakni Firaun Mesir yang membuat penahanan dan penderaan terhadap golongan yang membangkangnya sebagai: “Seorang yang merupakan sekutu kuat kepada Amerika Syarikat…dan merupakan individu yang bertanggungjawab kepada kestabilan dan kebaikan di rantau tersebut”. Beliau juga menyanjung Mubarak yang “melaksanakan pelan damai dengan Israel” yang termasuk menghalang penduduk Gaza daripada mendapat bekalan perubatan dan makanan semasa pencerobohan Israel.

Umat Islam haruslah tidak terperangkap dengan kata-kata palsu Obama. Amerika Syarikat adalah negara Kapitalis. Institusinya hanya mahu meneruskan penjajahan terhadap dunia, walaupun terpaksa mempergunakan orang lain dalam mencapai matlamatnya; yakni mereka mahu menghapuskan mana-mana kuasa yang bersaing dengan mereka, walaupun ini akan menyebabkan pesaing mereka ini hidup dalam penjajahan dan kezaliman. Oleh itu, tidak kira sama ada pemimpin mereka adalah Bush atau Obama atau mana-mana yang lain, asas kepada polisi dan kepentingan Amerika Syarikat tidak akan berubah.

Sebab sebenar mengapa Obama melakukan lawatan rasmi dan syarahan untuk memulihkan imej Amerika adalah mereka tidak mempunyai penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi AS sekarang. Asas kepada sistem ekonominya telah dibongkar sebagai rapuh dan akan runtuh bila-bila masa. Walaupun mereka mengatakan janji untuk memulihkan masalah kemiskinan dan menjana kekayaan, hakikatnya mereka telah menyebabkan kemiskinan kepada berbillion penduduk dunia. Laungan terhadap sistem politiknya yang dikatakan mulia dengan sistem demokrasi dan hak asasi manusia, telah dibuktikan palsu, di mana mereka telah melakukan pembunuhan, pemenjaraan dan penderaan terhadap orang yang tidak bersalah.

Apa yang Obama sedang lakukan adalah menghalang kemunculan kuasa saingan dari umat Islam. CIA telah meramalkan kemunculan sebuah negara Khilafah di negara-negara umat Islam pada tahun 2020. Negara ini merupakan negara yang tidak akan melancarkan keganasan seperti Amerika Syarikat, tetapi ia adalah negara yang akan menamatkan penajajahan dan mewujudkan keselamatan dan kestabilan kepada umat Islam. Negara ini adalah negara yang mempunyai sistem ekonomi yang didirikan di atas asas yang kukuh dan mampu menyelesaikan masalah kemiskinan dan memberikan kestabilan kepada penduduk dunia. Negara ini adalah negara yang mendirikan Ahkam Syariah, mempertahankan kemuliaan Rasulullah SAW dan rakyatnya.

Apa yang diperlukan dari umat Islam seluruh dunia adalah istiqamah di atas jalan dakwah, dengan mematuhi Sunnah Rasulullah SAW., menamatkan kekuasaan penguasa zalim di negara umat Islam dan mendirikan semula kekuasaan umat, iaitu negara Khilafah buat kali kedua.



"Dan Allah telah menjanjikan, kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih di antara kamu, sesungguhnya Dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada di dalam katakutan menjadi aman sejahtera, mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutu sesuatu pun dengan Aku. Dan barangsiapa yang tetap kafir sesudah janji itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [An-Nur, 24:55, Terjemahan Singkat Tafsir Ibnu Katsir Jilid 5]

Hizb ut-Tahrir

Wilayah British

11 Jumada al-Thani 1430 / 4 Jun 2009

http://mykhilafah.com/hizb-worldwide/1412-kata-kata-obama-tidak-akan-mengaburi-penjajahan-amerika

Thursday, June 4, 2009

Mencari Cerita Bohong

sebuah cerita dari Timur yang diceritakan semula secara bebas


Seorang pengembara muda – Lawi tiba di sebuah kampung setelah mengembara terlalu lama. Dia singgah di sebuah gerai, memesan makanan dan minuman.

Dilihatnya begitu ramai penduduk kampung itu menjamu selera sambil bercerita tentang perkara-perkara yang tidak masuk akal. Setelah itu berderailah hilai tawa mereka.

Dalam banyak-banyak pelanggan gerai itu, terdapat dua pemuda yang sejak tadi memerhati gelagat Lawi.

“Itu nampaknya macam orang luar. Mari kita kenakan...” kata salah seorang pemuda itu, Hasaan kepada rakannya Hussin.

“Nak buat macam mana?” tanya Hussin.

“Apalah kau ni...kita ajak dia bercerita, tentu dia kalah.” Kata Hassan lagi lantas menyambung. “Dengan mudah kita akan dapat wang atau hartanya”.

“Kalau kita yang kalah?” kata Hussin spontan.

“Ah, tak kan kita kalah! Tengok rupanya dengan mudah kita dapat kalahkan dia”, kata Hassan.

Setelah yakin mereka akan menang, Hussin dan Hassan menghampiri Lawi. Kedua-duanya memperkenalkan diri masing-masing. Selepas berbual agak panjang, mereka pun menyatakan hasrat untuk mengajak Lawi bercerita.

“kalau tuan boleh bercerita tapi kami mengatakan cerita itu bohong, tuan dikira menang. Pertaruhannya ialah diri kami. Kami sanggup melakukan apa saja yang tuan suruh jika menang, tapi jika tuan kalah, segala harta yang ada menjadi milik kami. Setuju!” kata Hassan.

Lawi berfikir sebentar. Dia dapat mengagak, kedua-dua pemuda ini ingin mengenakannya. “Aku harus berhati-hati...” bisiknya. Kemudian dia berkata: “Baiklah, saya setuju”.

“Boleh kita mulakan sekarang. Kalau sudah sedia, saya akan bercerita dulu”, kata Hassan. Hussin cuma mengangguk-angguk sambil tersenyum simpul.

“Waktu ibu mengandungkan saya, ibu mengidam nak makan buah nangka. Saya pun keluar dari perut ibu lalu pergi keluar kampung masuk kampung mencari buah itu.

“Setelah jumpa, nangka itu saya bawa pulang dan berikan kepada ibu. Ibu bukan main seronok. Beberapa kali dia mengucapkan terima kasih kepada saya sambil memuji-muji akan kehebatan saya seaklipun saya belum patut keluar ke dunia daripada rahimnya”, kata Hassan.

Lawi mengangguk-angguk mendengar cerita Hassan. Sesekali dia tersenyum, pada masa yang lain dia mengerut-ngerutkan dahi.

Melihat Lawi diam, Hassan bertanya. Dia sudah dapat bayangkan betapa senang hidupnya kelak setelah mendapat wang daripada pertaruhan Lawi.

“Ya... saya percaya dengan cerita itu. Awak memang hebat”, kata Lawi membuatkan Hassan terkulat-kulat.

“Baiklah, dengar cerita saya pula”, kata Hussin.

“Semasa berumur seminggu, saya turun tanah dan masuk ke dalam hutan. Saya bertemu seekor harimau yang cukup besar. Segera saya melompat ke atas belakang harimau itu lalu saya patah-patahkan tengkuknya.

“Boleh tuan percaya cerita saya ini?” tanya Hussin sinis.

“Ah, memang boleh dipercayai!” jawab Lawi tersenyum.

Hassan dan Hussin terasa badan mereka mula berpeluh! Hasrat untuk menang tipis benar. Mereka saling pandang memandang dan kemudian terkulat-kulat.

“Ha... sekarang giliran saya pula bercerita”, kata Lawi. “Adakah kamu sedia mendengar cerita saya ini?” tambahnya lagi. Hussin dan Hassan mengangguk-angguk.

“Tidak lama dulu, ada dua orang hamba di rumah saya. Mereka melakukan semua kerja daripada menjaga lembu di kandang, membajak di ladang hingga kepada memasak untuk keluarga saya. Baru-baru ini mereka lari dari rumah. Saya mengembara ke sana sini mencari mereka. Rupa-rupanya mereka lari ke kampung ini. Hari ini baru saya jumpa!”

“Siapa mereka tu...?” tanya Hussin dan Hassan serentak.

“Kamulahhhhh...” jawab Lawi menuding ke arah mereka berdua.

“Pak cik bohong!!! Kami tak pernah jadi hambah pak cik!” kata Hassan.

“Ha...ha...ha...! Kamu mengaku cerita saya bohong. Kamu berdua sudah kalah. Sekarang kamu mesti ikut saya pulang ke rumah menjadi hambah!” sergah Mat Lawi.

“Oh... jangan begitu tuan. Kasihanilah kami”, rayu Hussin dan Hassan.

“Mana boleh! Kamu sendiri yang berjanji begitu tadi”, kata Lawi.

“Maafkanlah kami”, rayuHussin pula.

“Saya percaya, kamu berdua ini memang berniat jahat dan sombong. Kamu mesti berjanji mengubah sikap. Barulah saya maafkan”, kata Lawi.

“baik, kami janji tidak akan menganiaya sesiapa lagi”, kata Hussin dan Hassan.

Mereka berdua pun pergi dari situ dengan perasaan malu. Lawi meneruskan pengembaraannya.

Tuesday, June 2, 2009

Gelombang Kegawatan Ekonomi 2009 Dan Sistem Kewangan Islam


Masyarakat dunia amnya sudah sedia maklum bahawa dewasa ini dunia sedang menghadapi bahang kegawatan ekonomi yang kebanyakannya dirasai terutamnya di Amerika Syarikat. Penganalisis ekonomi mula khuatir kerana adalah diramalkan bahawa gelombang kegawatan ekonomi yang kita sedang hadapi lebih teruk jika dibandingkan dengan krisis kewangan 1997.

Semenjak penghujung tahun 2008 hingga suku kedua tahun 2009, dunia diselubungi dengan kelembapan ekonomi yang bakal memberikan impak besar kepada masyarakat dunia dan masyarakat Malaysia juga tidak terlepas menerima tempiasnya. Apapun teorinya, kenyataannya cuma satu, Malaysia terpaksa akur bahawa gelombang kemelesetan ekonomi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sudah pastinya akan menular ke Malaysia.

Berdasarkan dengan apa yang dapat kita perhatikan bahawa punca-punca berlakunya kegwatan ekonomi dunia bermula di Amerika Syarikat, United Kingdom, Ireland, Jerman dan beberapa negara maju di Eropah. Amerika Syarikat yang mana merupakan kuasa besar ekonomi dunia telah gagal menguruskan dasar kewangan dan polisi antarabangsanya yang akhirnya global kini diancam oleh gadai janji sub-prima. Gadai janji sub-prima yang berlaku di AS boleh diperhatiakan sejak tahun 7 tahun yang lalu ketika dunia dilanda kegawatan ekonomi sekitar tahun 2001 dengan langkah Presiden Amerika, George W Bush atas nasihat bekas, Pengerusi Rizab Persekutuan US, Alan Greespan ketika itu cuba merangsang perbelanjaan rakyat di Amerika Syarikat. Beliau telah melaksanakan dasar fiskal dan monetari yang kurang berkesan. Selain itu faktor kenaikan harga minyak dan seterusnya membawa kepada kenaikan harga makanan yang disusuli dengan kadar inflasi yang semakin tinggi menyebabkan prospek kelangsungan pertumbuhan ekonomi global menjadi tidak menentu.

Singapura mengalami krisis ekonomi yang paling teruk dalam sejarahnya, India semakin hilang taring gergasi industrinya dan Rusia semakin tandus krisis tenaganya. Baru-baru ini dalam ucapan Presiden Obama pun, dia telah menegaskan bahawa Amerika akan mula memandang ke negara-negara mundur kerana berjuta lepasan Ijazah/Master/PHD`nya sekarang masih lagi menganggur.

Timbul persoalan Malaysia bagaimana? Hakikatnya walaupun secara kasar tanpa teori sekalipun, kita dapat perhatikan bahawa tidak seteruk manapun kesan gelombang kegawatan ekonomi terhadap Malaysia. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak terjejas langsung. Dalam beberapa berita yang disiarkan melalui media arus perdana, telah terbukti bahawa semakin banyak pembuangan pekerja yang dilakukan dalam bidang industri khasnya industri pembuatan. Ini sungguh menyedihkan kerana beratus keluarga akan terjejas kehidupan mereka setelah bergelar penganggur.

Sektor perindustrian terjejas teruk. Pekerja-pekerja yang bekerja di sektor pembuatan banyak bergantung kepada kerja lebih masa sebagai pendapatan utama kerana gaji pokok yang kecil telah mengurangkan pendapatan mereka seawal suku keempat 2008 kerana ketiadaan kerja lebih masa. Kebanyakan kilang-kilang dilaporkan terpaksa mengurangkan pengeluaran sehingga 70% dari kapasiti biasa kerana kekurangan permintaan. “Mass Vacation” atau cuti secara beramai-ramai atau didalam ertikata lain penutupan kilang sehingga 2 minggu didalam satu bulan telah menjadi satu amalan biasa. Pihak pengurusan kilang-kilang terpaksa mengambil langkah tersebut untuk mengurangkan kos kerugian yang lebih besar. Kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka berpanjangan dan masih tiada kepastian penghujungnya telah menyebabkan kebimbangan pelabur-pelabur khasnya pelabur asing untuk melabur mereka lebih berhati-hati membuat pelaburan.

Hasil pertanian utama negara seperti kelapa sawit dan getah mengalami penurunan harga yang mendadak. Harga getah juga telah menguncup lebih dari separuh berbanding sebelum ini. Pekebun-pekebun kecil mahupun ladang-ladang besar menghadapi suasana sukar kerana penurunan harga yang begitu mendadak. Kesan kemelesetan ekonomi sudah pasti akan menjejas perolehan negara kerana hasil kutipan cukai akan mengurang. Petronas yang menyumbang lebih dari 50% pendapatan negara juga akan menguncup pendapatannya kerana harga minyak dunia telah menurun secara mendadak dari USD147 pada pertengahan tahun 2008 ke hanya sekitar USD40 bagi setiap “barrel” (Setiap 1 barrel adalah sekitar 159 liter) pada awal tahun 2009.

Dalam usaha menangani gelombang kemelesetan ekonomi global, para ahli ekonomi mencadangkan pelbagai teori atau pendekatan untuk menyelesaikannya. Namun yang menarik perhatian saya adalah kenyataan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown yang memberi petunjuk bahawa beliau mahu melihat terdapat pengurangan kos untuk peminjam, seorang pengasas Jawatankuasa Dasar Kewangan Bank of England, Charles Goodhart memberi pandangan luar biasa dengan mencadangkan supaya kadar faedah perlu dikurangkan pada tahap sifar. Goodhart bukan calang-calang orangnya kerana beliau merupakan profesor emeritus perbankan dan kewangan di London School of Economics dan anggota jawatankuasa dasar Bank of England antara 1997 dan 2000.

Goodhart menyatakan bahawa kaedah pengurusan kadar faedah ini pernah dilakukan oleh Jepun pada tahun 1990-an apabila Jepun berhadapan dengan kemelesetan. Cadangan Goodhart untuk mengurangkan sehingga sifar bermaksud tiada kadar faedah langsung. Ini bertepatan dengan sistem kewangan Islam yang mengharamkan riba. Maknanya di sini bahawa sistem kewangan Islam yang didukung serta diperluaskan oleh Malaysia merupakan satu kaedah yang mampu menyelsaikan kemelut ekonomi global. Pandangan Goodhart itu dianggap sesuatu yang luar biasa oleh kerana ia pastinya tidak sama dengan amalan sistem kapitalisme yang dianggap sebagai terbaik di dunia pada masa kini.

Dengan pengurangan kadar faedah sehingga ke tahap sifar (0%) ianya boleh merangsangkan semula kegiatan ekonomi terutama permintaan barangan dalam pasaran. Israel contoh paling dekat yang mana merupakan golongan minoroti di dunia tetapi mampu mempengaruhi perkembangan ekonomi dunia. Saya bukan memuji Yahudi tetapi kagum dengan kebijaksanaan mereka dalam pengurusan ekonomi serta kewangan yang mana turut membuat keputusan menurunkan kadar faedah sehingga 3.5 peratus pada November 2008, sebagai usaha mengurangkan kesan krisis ekonomi global. Alasan yang digunakan oleh Bank of Israel adalah untuk mengurangkan kos kredit para ahli perniagaan serta isi rumah yang menghadapi masalah kelembapan ekonomi berikutan krisis ekonomi global.

Namun demikian sehingga kini belum menampakkan sebarang reaksi yang lebih serius daripada pakar kewangan Islam untuk mengadakan musyawarah bagi membincangkannya dan seterusnya mengambil ketetapan untuk mengusulkan satu teori atau kaedah bagaimana kearah penyelesaian krisis ekonomi global memandangkan konsep kewangan Islam telah diperakui sendiri oleh Goodhart. Maka dengan ini golongan pakar ekonomi kewangan Islam seharusnya tampil untuk mengambil peluang membuktikan bahawa sistem kewangan Islam mampu menangani krisis ekonomi global dengan mengeluarkan teori dan penyelesaian berkonsepkan sistem kewanagn Islam.

Sejarah Krisis Ekonomi Dunia


Kepanikan 1797

Krisis ekonomi berlangsung selama 3 tahun dari 1797 hingga 1800. Akibat dari deflasi Bank of England yang menrebak hingga lautan Atlantik dan Amerika Utara dan menyebabkan hancurnya perdagangan dan pemasaran real estate di Amerika Serikat dan sekitar Caribbean. Ekonomi Inggris terpengaruh akibat adanya pembalikan deflasi selama perang dengan Perancis ketika revolusi Perancis.

Depression 1807

Depression terjadi selama tujuh tahun sejak 1807 hingga 1814. Undang-undang embargo Amerika Syarikat 1807 pada ketika itu telah diluluskan oleh kongres Amerika sewaktu presiden Thomas Jefferson. Hal ini menghancurkan industri yang berkaitan dengan pengapalan. Kaum federal berusaha melawan embargo ini dan berusaha melakukan penyeludupan di New England.

Kepanikan 1819

Krisis terjadi selama 5 tahun dari 1819 hingga 1824. Ini adalah krisis kewangan pertama yang mempengaruhi kewangan Amerika Syarikat secara besar-besaran, bank-bank muflis, munculnya pengangguran, dan merosotnya pertanian dan industri pembuatan. Ini juga menandakan berakhirnya ekspensi ekonomi yang mengikuti Perang 1812.

Kepanikan 1837

Berlangsung antara 1837 hingga 1843. Ekonomi Amerika jatuh secara merudum disebabkan kegagalan institusi perbankan dan kurangnya keyakinan pada wang kertas. Spekulasi pasaran kewangan menyebabkan bank di Amerika berhenti menjalan transaksi dalam bentuk koin emas dan perak.

Kepanikan 1857

Terjadi selama tiga tahun hingga tahun 1860. Kejatuhan Perusahaan life assurance dan Kepercayaan Ohio menimbulkan ledakan spekulasi di sektor transportation Amerika Syarikat. Lebih dari 5000 bisnes gagal kurang dari setahun sejak terjadinya kepanikan dan golongan penganggur melakukan protes di kawasan urban.

Kepanikan 1873

Terjadi selama enam tahun disebabkan masalah ekonomi di Eropah mengakibatkan jatuhnya Jay Cooke & Company, bank terbesar di Amerika Syarikat. Hal ini juga menimbulkan spekulasi terhadap perang saudara di Amerika. Undang-undang koin 1873 juga memberikan kontribusi dalam jatuhnya harga perak yang menghancurkan industri pertambangan Amerika Utara.

Depression Berpanjangan

Sesuai namanya, depression ini menelan waktu 23 tahun sejak 1873 hingga 1896. Runtuhnya Bursa Efek Vienna menyebabkan economics depression yang merebak ke seluruh dunia. Ini sangat penting dicatat dimana pada saat ini, produksi industri global meningkat pesat. Di Amerika Syarikat misalnya, pertumbuhan produksi mencapai empat kali ganda.

Kepanikan 1893

Terjadi selama tiga tahun hingga 1896. Terjadi akibat kegagalan Reading Railroad Amerika Syarikat dan penarikan investor Eropha terhadap pasaran saham serta jatuhnya bank-bank.

Recession Perang Dunia I

Terjadi selama tiga tahun hingga 1921. Terjadinya hiper inflasi di Eropah menyebabkan kelebihan produksi besar-besaran di Amerika Utara.

Depression Besar 1929

Depression yang paling besar dan dikenang sepanjang sejarah. Terjadi selama 10 tahun sejak 1929 hingga 1939. Pasaran saham di seluruh dunia saat itu jatuh merudum dan bank-bank di Amerika Serikat mengalami kemuflisan. Penigkatan pengangguran dalam kadar yang tinggi dan paras kemiskinan meningkat.

Recession 1953

Terjadi selama satu tahun. Setelah saat inflasi perang Korea berakhir, banyak wang yang ditransferkan untuk keamanan nasional Amerika Syarikat. Berubahnya kebijakan The Fed yang lebih membatasi tahun 1952 menyebabkan terjadinya inflasi yang lebih lanjut.

Krisis Minyak 1973

Terjadi selama dua tahun hingga 1975. Naiknya harga minyak yang ditetapkan oleh OPEC dan tingginya biaya yang dikeluarkan Amerika Syarikat pada Perang Vietnam menyebabkan terjadinya stagflasi di Amerika Syarikat.

Recession Awal 1980

Terjadi di awal tahun 1980 selama dua tahun, revolusi Iran menyebabkan melonjaknya harga minyak dan munculnya krisis energi 1979. Pergantian rezim di Iran menyebabkan menurunnya pengeluaran minyak sehingga harga minyak melambung. Dasar monetery di Amerika Syarikat untuk mengawal inflasi menyebabkan terjadi resession lainnya.

Recession Awal 1990

Terjadi selama satu tahun dimana perdagangan produk industri dan pembuatan menurun.

Recession Awal 2000

Terjadi selama dua tahun dari 2001 hingga 2003. Keruntuhan bisnes dot-com, serangan 11 September, dan skandal pembukuan menyebabkan krisis di sekitar Amerika Utara.

Depression Ekonomi 2008

Depression yang bermula 2008 hingga kini 2009, tengah melanda dunia. Hal ini disebabkan beberapa faktor diantaranya naiknya harga minyak yang menyebabkan naiknya harga makanan di seluruh dunia, krisis kredit dan muflisnya pelbagai investor bank, meningkatnya pengangguran sehingga menyebabkan inflasi global. Bursa saham di beberapa negara terpaksa ditutup beberapa hari termasuk di Asia, harga-harga saham juga turut merudum. Diramalkan depression ekonomi kali ini separah atau mungkin lebih parah daripada depression ekonomi 1929.