Saturday, May 9, 2009

Glosari Kewangan - sekuriti

Belian Margin (buying on margin)
Pembelian Sekuriti menggunakan wang tunai untuk sebagian daripada urusniaga, manakala sebahagian lagi dipinjam,dengan sekuriti berkenaan dijadikan cagaran bagi pinjaman ini.

Belian Semula (buy in)
Pembelian semula sekuriti oleh pihak berkuasa pasaran kerana kegagalan pelabur berkenaan membuat penghantaran skrip sesuatu sekuriti yang dijual sebelum ini pada tarikh yang ditetapkan. Biasanya pembelian ini dilakukan pada suatu aras harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran yang wujud ketika itu.

Bentuk Kepala & bahu (head & shoulder formation)
Carta harga atau volum dalam analisis sekuriti yang seolah-olah menyerupai dua bahu dan satu kepala di tengah-tengahnya. Bentuk ini biasanya digunakan oleh pengalisis sebagai panduan menjual atau membeli sekuriti.

Bentuk W (w formation)
Pola carta dalam analisis teknikal yang berbentuk W yang menunjukkan dua aras harga terendah yang pernah dicapai. Bianya bentuk ini memberi petanda yang harga pasaran akan naik.

Bon (bond)
Sekuriti hutang yang mempunyai tarikh matang tertentu, yang membayar semula pokok pada akhir tempoh matang dan membayar faedah yang tetap secara berkala berdasarkan kadar kupon tertentu.

Bon Berkupon Penuh (full coupon bond)
Bon yang kadar kuponnya bersamaan atau hampir sama dengan kadar faedah semasa di pasaran.

Bon Berkusyen (cushion bond)
Bon yang dijual pada harga premium dengan kadar kuponnya lebih tinggi daripada kadar faedah semasa di pasaran.

Bon Berkupon Semasa (current coupon bond)
Bon yang kadar kuponnya bersamaan atau hampir sama dengan kadar faedah semasa di pasaran.

Bon Berlaras Dua (double barreled bond)
Bon majlis tempatan atau majlis berkuasa tempatan (municipal) yang pembayaran pokok serta faedahnya disokong atau dijamin oleh pihak berkuasa yang menerbitkannya, berserta dengan entiti yang lebih besar daripadanya, seperti entiti kerajaan negeri atau kerajaan pusat.

Thursday, May 7, 2009

Gurindam Kelebihan Bercakap Benar

Kalau diamal bercakap benar,
mulia peribadi akhlak bersinar.

Bohong menipu hasutan syaitan,
elok dihindar mengelak kejahatan.

Mahkota diri baik pekerti,
Sahabat taulan senang dekati.

Kata ditutur orang percaya,
bersih hati disirami cahaya.

Tulus bicara tidak berdusta,
tenangnya hidup tanpa sengketa.

Bercakap benar dalam perhubungan,
suasana harmoni kekal berpanjangan.

Bercakap benar bukti kejujuran,
tegak sentiasa tiang kebenaran.

Bercakap benar sepanjang masa,
amalan diperbaiki diampuni dosa.

Bercakap benar sempurna iman,
insan bertakwa hidupnya aman.

Bercakap benar banyak kelebihan,
amal ibadah diterima tuhan.


Dipetik Daripada penyair.wordpress.com/category/puisi-tradisional/

Hasil Nukilan:

NAZIM MOHD. SUBARI,
Endau, Johor.

Wednesday, May 6, 2009

Ke Manakah Arah Tuju Politik Iranun?

Politik bukanlah istilah baru dalam kamus hidup masyarakat Iranun. Ia juga merupakan perkataan ajaib dan penuh hikmat kerana ia boleh menyatukan masyarakat dan boleh memecahbelahkan masyarakat dalam konteks politik Iranun. Apabila berbicara soal politik, rasanya saya terlalu kerdil untuk mengungkap bicara dan telahan berkaitan isu politik namun demikian atas dasar tanggungjawab terhadap bangsa, saya terpanggil untuk mencoretkan secebis pandangan “arah tujuh politik Iranun”.

Berdasarkan pemerhatian saya terhadap sistem politik masyarakat Iranun, tidak kurang hebatnya berbanding kaum-kaum lain. Tan Sri Pandikar merupakan kayu pengukur pencapaian politik Iranun secara relatif. Sebut saja Tan Sri Pandikar... siapa tidak kenal? Beliau merupakan ikon besar politik Iranun. Namun demikian timbul satu persoalan besar yang memerlukan penelitian yang mendalam iaitu selepas Tan Sri Pandikar.... siapa??? Siapakah pemimpin yang boleh kita tonjolkan yang mempunyai semangat perjuangan berwajahkan Iranun, yang benar-benar berjiwa rakyat. Memang tidak dinafikan ramai dikalangan masyarakat Iranun yang mempunyai ketokohan sebagai pemimpin tetapi apa yang kita mahukan pemimpin yang terpimpin dengan ilmu perjuangan bangsa, berani serta berakhlak tinggi. Namun demikian jauh sekali untuk menafikan ketokohan para pemimpin dari kalangan masyarakat Iranun, saya akui bahawa kriteria ini memang ada pada kebanyakan pemimpin pelapis Iranun tetapi peluang membataskan mereka untuk maju ke pentas arus perjuangan politik perdana.

Berdasarkan senario politik kini, saya berat hati untuk menyatakan bahawa politik Iranun dilema persimpangan. Ini bukan bertujuan membuka pekung di dada tetapi inilah hakikatnya. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini tetapi pada fikiran saya kalau kita sangkal kenyataan ini wujudlah persoalan “KENAPA AKU TIPU AKU?

Pemimpin-pemimpin Iranun dewasa ini tiada kesepakatan dalam perjuangan. Masing-masing mahu kehadapan. Tidak salah untuk semua kehadapan. Tetapi dengan rendah diri, saya mencadangkan agar kita memilih seorang pemimpin yang boleh kita tonjolkan sebagai ikon kedua selepas Tan Sri Pandikar dan kesepakatan harus wujud demi survival politik Iranun.

“Usah menebas pohon pisang yang tumbuh subur menghijau, bajalah ia mungkin siapa tahu pisang tersebut boleh tersebut mendatangkan hasil yang diharapkan”. Dalam menempuh arus globalisasi politik, kita harus keluar dari kotak pemikiran zaman. Kalau lombong emas menjadi ukuran kekayaan dan kejayaan tetapi jangan lupa ada lagi satu lombong yang lebih menguntungkan iaitu lombong pemikiran. Nah!!! Kenapa kita tidak menggunakan lombong pemikiran sebagai cara bagi mewujudkan serta memantapkan agenda perjuangan politik Iranun.


“Sebatang anak tangga itu bukanlah dimaksudkan sebagai tempat merehatkan sebelah kaki sipemanjatnya, tetapi sekadar sebagai tempat berpijak sejenak cukup untuk membolehkannya meletak kaki yang sebelah lagi di suatu tempat yang lebih tinggi (Thomas Henry Huxley)”

Tuesday, May 5, 2009

RASUAH

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri serta bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “ memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Antara punca berlakunya rasuah ialah :

I. Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

II. Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

III. Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

IV. Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.

Sunday, May 3, 2009

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kontrak & Akta Rahsia Rasmi?

Undang-undang kontrak yang hendak dikupas adalah undang-undang yang terkanun di dalam Akta Kontrak 1950 (Disemak: 1974). Kecuali sekiranya dinyatakan sebaliknya. Akta ini merupakan enakmen semula Ordinan Kontrak (NNM), 1950 yang hanya terpakai dalam NNM. Akta semakan diperluaskan ke Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Apabila kita menggunakan istilah “kontrak” dari sudut undang-undang, kita takrifkannya sebagai perjanjian yang mengikat pihak yang terlibat daripada aspek perundangan: mengikut seksyen 2(h), kontrak adalah “suatu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang”. Oleh itu, semua kontrak mestilah berdasarkan kepada suatu perjanjian walaupun bukan semua perjanjian secara automatik menjadi kontrak. Bagi menjadikan sesuatu itu kontrak, maka perlu ada unsur-unsur selain perjanjian biasa. Unsur-unsur yang mesti ada ialah termasuklah ketentuan, balasan dan adanya niat untuk mewujudkan hubungan daripada aspek undang-undang di antara pihak-pihak yang berkontrak.

Kerajaan telah memperkenalkan Akta Rahsia Rasmi, 1972 (Akta 88) bagi tujuan memberi perlindungan undang-undang kepada ‘rahsia-rahsia rasmi’. Mengikut seksyen-seksyen 2 dan 2B Akta 88 (seperti pindaan di bawa Akta A 660/86), ‘rahsia-rahsia rasmi’ bermaksud sebarang dokumen, rekod keputusan dan penyampaian Jemaah Menteri atau Majlis Mesyuarat Kerajaan, dokumen-dokumen mengenai keselamatan negara, pertahanan dan perhubungan antarabangsa dan sebarang maklumat dan bahan berkaitan dengannya termasuklah juga sebarang dokumen rasmi, maklumat dan material yang dikelaskan ‘Rahsia Besar’, ‘Rahsia’, ‘Sulit’ atau ‘Terhad’ sama ada oleh seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau penjawat awam yang dilantik oleh mereka itu.

Akta 88 ini juga meliputi dokumen-dokumen dan bahan-bahan badan berkanun (seksyen 2 Akta). Mengikut seksyen 2 itu juga, takrif ‘dokumen’ termasuklah, sebagai tambahan kepada dokumen yang ditulis, ialah juga peta, pelan, model, geraf, lukisan, gambar, disk, pita, trek suara dan seumpamanya, filem, dan seumpamanya. Dan ‘bahan’ pula termasuklah sebarang alatan, perkakas atau objek. Jika jika perhatikan senarai itu, sebahagian daripada dokumen tersebut terdapat dalam milik pegawai yang menguruskan projek pembinaan, yakni memilikinya secara ‘corpus possesionis’ (yakni dalam kawalannya)(Bird, R. 1986), seperti pelan, peta, bil kuantiti, anggaran harga, anggaran peruntukan kewangan, dan lain-lain lagi).